2 MAC — Tempoh seminggu yang lalu merupakan satu tempoh yang cukup mendebarkan dalam landskap politik negara. Elemen suspen, klimaks, anti-klimaks..semuanya ada!

Krisis politik terburuk negara dalam tempoh dua dekad itu menyaksikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan.

Keputusan mengejutkan itu menukar landskap politik negara sekaligus menyebabkan Pakatan Harapan yang pada ketika itu sebagai parti pemerintah kehilangan mandat untuk memerintah.

Keputusan tersebut juga menyebabkan parti-parti politik mula melakukan pensejajaran kuasa mereka. Secara tidak langsung juga, parti-parti politik baik daripada parti pemerintah mahupun pembangkang mula mencongak peluang mereka.

Advertisement

Maka berlakulah tindakan tawar-menawar, usaha ‘merisik’ dan sebagainya semuanya dengan tujuan bagi memastikan kelangsungan politik mereka terpelihara. Kesetiaan atau loyalty yang begitu gah diperjuangkan sebelum ini, kini sudah tidak kelihatan.

Begitulah resam dalam dunia politik. Yang balk dan jujur tidak semestinya menang dan sikap kesetiaan hanyalah satu retorik pada bibir para politikus. Janji boleh dimungkari dan kesetiaan juga boleh dikhianati.

Amat menyedihkan apabila para pemimpin dari kedua-dua belah pihak masing-masing cuba menyaingi antara satu sama lain seolah-olah mandat rakyat sudah tidak penting buat mereka. 

Advertisement

Pesanan dan nasihat kepada para politikus, jangan mudah lupa diri dan ingat akan janji-janji anda kepada rakyat semasa Pilihan Raya Umum yang lalu. Undi dan mandat yang diberikan oleh rakyat tidak seharusnya diperlekehkan tetapi sebaliknya dihormati dan ditunaikan dengan sebaik mungkin. 

Mujurlah selepas seminggu, hasil kebijaksanaan dan kewibawaan Yang Di-Pertuan Agong kemelut politik tanah air berjaya diselesaikan dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 negara. Sesungguhnya, Tuanku bukan sahaja berjaya mempamerkan kewibawaannya sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat bahkan juga kemampuan Tuanku dalam menyelesaikan kemelut politik secara berhemah. 

Pada masa yang sama juga, para pemimpin politik di negara ini adalah diingatkan untuk sentiasa meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan mereka. Tanpa mandat dan sokongan rakyat, siapalah anda!

Kepada mereka yang masih mahu mengheret negara ini ke kancah anarki fikir semula. Negara kita perlu bergerak ke hadapan daripada episod hitam ini dan memberikan fokus kepada isu-isu yang lebih mendesak. Apakah yang akan negara dan rakyat dapat sekiranya para politikus masih berbalah secara terbuka antara satu sama lain? Daripada terus bercakaran sesama sendiri, bukankah lebih baik jika semua pihak duduk semeja dan mencari jalan penyelesaian kepada isu-isu yang dihadapi?

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.