Jangan khianati mandat yang diberikan rakyat

24 FEB — Ketika artikel ini ditulis, negara kita semalam digemparkan dengan beberapa siri mesyuarat khas melibatkan parti-parti politik seperti Parti Bersatu, Umno, PAS, GPS, Warisan, dan serpihan parti PKR di Kuala Lumpur.

Apa yang dibincangkan bagaimanapun tidak pula dinyatakan. Tambah membingungkan, tidak ada sebarang sidang media rasmi yang dibuat oleh pihak-pihak terbabit biarpun kelihatan kelibat pemimpin-pemimpin parti tertinggi masing-masing.

Ketiadaan pengumuman rasmi berhubung mesyuarat-mesyuarat itu menghangatkan lagi spekulasi bahawa terdapat percubaan oleh parti-parti politik yang disebutkan tadi untuk membentuk sebuah kerajaan campuran yang baharu.

Jika ini benar, bermakna fasa politik semasa di Malaysia kembali bergolak dan pelan peralihan kuasa seperti yang dijanjikan oleh Tun Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan kesampaian. Bermakna juga, senario politik yang berlaku pada 1998 bakal berulang.

Soal siapakah yang mendalangi percubaan tersebut bukanlah perkara pokok yang akan dibincangkan dalam artikel ini. Sebaliknya, apa yang lebih mendesak mutakhir ini ialah rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa kepada percaturan politik oleh segelintir politikus.

Suara rakyat seharusnya dihormati kerana kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah sekarang diundi oleh rakyat. Sebarang percubaan untuk memecah-belahkan kerajaan sedia ada bererti politikus-politikus tersebut bukan sahaja tidak menghormati suara rakyat bahkan menjadikan medan politik untuk memenuhi nafsu serakah mereka.

Rakyat mengundi wakil-wakil rakyat ini untuk membela nasib dan kebajikan mereka, bukannya disajikan dengan drama politik yang tidak berkesudahan. Apalah nasib rakyat sehingga mereka mendapat wakil-wakil rakyat sebegini? 

Bukankah mereka sudah berjanji semasa kempen pilihan raya bahawa mereka akan membela nasib rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka? Di manakah janji-janji mereka itu? Sudah lupa kah?

Itu sebabnya apa yang keluar daripada mulut si politikus tidak boleh dipercayai 100%. Benarlah kata orang bahawa si politikus mempunyai dua wajah yang berlainan. Belakang cakap lain, depan cakap lain. Sampai bilakah kita harus percaya akan kata-kata dan janji yang diberikan oleh politikus?

Terpulanglah kepada kita sebagai pengundi untuk menilai dan melakukan sesuatu. Sekiranya mereka beranggapan usaha untuk membentuk sebuah kerajaan persekutuan baharu melalui percaturan politik sebegini adalah salah, maka hukum pemimpin-pemimpin ini pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Apakah nasib Malaysia dalam suhu politik semasa yang kian bergolak ini? Mungkinkah akan terjadinya gerakan Reformasi kali kedua? Apakah nasib gabungan parti-parti politik dalam Pakatan Harapan?

Hanya masa yang akan menentukannya!

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

You May Also Like