17 FEBRUARI — Akhbar Berita Harian semalam melaporkan bahawa pihak polis telah membuka empat lagi kertas siasatan berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai jangkitan coronavirus (Covid-19) di media sosial.

Dengan perkembangan terbaru tersebut, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang disiasat setakat ini berjumlah 27 kes kesemuanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman (Risikan dan Operasi), Datuk Mohd Roze Shaari, berkata daripada jumlah itu, lima lagi kertas siasatan mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan di mahkamah minggu depan. Sebelum ini, tiga (3) kes sudah dituduh di mahkamah, masing-masing di Kuala Lumpur, Terengganu dan Sabah.

Syabas diucapkan kepada pihak polis dan pihak berkuasa yang lain atas ketegasan mereka memerangi penyebaran berita palsu yang kian menjadi-jadi kebelakangan ini. Mesej yang disampaikan oleh pihak berkuasa kepada mereka yang gemar menyebarkan berita palsu, berani buat, beranilah tanggung.

Advertisement

Tidak kiralah sama ada individu itu berpangkat tinggi hinggalah kepada rakyat marhaen, undang-undang perlulah ditegakkan. Maka kerana itu, kepada para netizens, janganlah sesekali cuba menguji kesabaran pihak berkuasa. Sepandai-pandai tupat melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Dalam konteks ini, Internet sebenarnya tidak bersalah. Sebaliknya, yang patut dipersalahkan adalah si pengguna itu sendiri. Kita telah dikurniakan dengan teknologi yang canggih. Malangnya, ada segelintir manusia yang gagal memahami fungsi dan peranan Internet. Disebabkan oleh perbuatan bodoh si pengguna itu, tempias juga terkena kepada orang lain.

Tidak dinafikan, tindakan untuk mendakwa si pesalah-pesalah ini adalah sesuatu yang tidak popular, namun ia adalah sesuatu yang perlu untuk menghantar isyarat jelas kepada netizens agar lebih bertanggungjawab dan berwaspada ketika menggunakan Internet.

Advertisement

Sudah banyak peluang dan nasihat yang diberikan kepada para netizens tersebut akan tetapi setiap kali sikap berlembut oleh pihak berkuasa disambut dengan perbuatan yang lebih biadap. Sampai bila lagi perbuatan sedemikian perlu dibiarkan?

Usahlah ada pihak yang bercakap ini adalah mengenai isu hak asasi manusia dan demokrasi. Ya, setiap rakyat di negara ini mempunyai hak untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat namun harus diingatkan bahawa kebebasan bersuara itu tidak bermakna seseorang mempunyai kebebasan untuk bercakap apa sahaja.

Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya!

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.