Apa sudah jadi?

NOVEMBER 11 — Gelagat manusia sekarang makin hari makin kalut dan gila.

Perkara yang tidak sepatutnya dilakukan dan diharap tidak berlaku akhirnya menjadi kenyataan.

Lebih menyedihkan, perkara-perkara sensitif dan “common-sense” yang bercanggah dengan norma-norma masyarakat menjadi ikutan.

Justeru, apabila baru-baru ini ada berita mengenai sekumpulan individu yang membuat penggambaran di tanah perkuburan awam dengan alasan untuk tujuan promosi sesuatu yang mengarut.

Kepada pihak yang berkenaan, mengapakah tanah perkuburan dijadikan sebagai tempat penggambaran? Di manakah sensitiviti anda terhadap mereka yang telah meninggal dunia? Perlukah sampai menggunakan tanah perkuburan untuk mempromosikan pakaian perkahwinannya?

Semua sedia maklum bahawa tanah perkuburan merupakan lokasi persemadian untuk mereka yang sudah meninggal dunia. Sebarang perbuatan untuk menidakkan atau melanggari kesucian tempat berkenaan boleh mengundang kesan yang tidak elok.

Episod ini juga memberi iktibar kepada kita semua untuk sentiasa peka kepada sensitiviti di sekeliling kita. Sentiasalah beringat bahawa kita hidup dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama, masing-masing dengan sensitiviti serta budaya tersendiri. Silap cakap atau buat boleh mengundang padah yang dahsyat.

Ya, memang pihak yang berkenaan tempoh hari telah pun memohon maaf atas insiden tersebut. Namun begitu, apa yang kita harapkan episod yang serupa tidak akan berulang di kemudian hari.

Di sebalik keghairahan untuk mengejar publisiti sekalipun, ingatlah bahawa di sebalik keghairahan mengejar publisiti dan keuntungan, jangan sesekali membiarkan kedua-dua aspek itu mengaburi pemikiran kita. Sepatutnya "common-sense" diutamakan.

Oleh yang demikian, manfaatkan akal fikiran yang telah dikurniakan oleh Tuhan untuk melakukan sesuatu yang lebih bermakna dan signifikan.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.