14 DISEMBER — Tinggal 17 hari sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun baharu 2016.
Pastinya, setiap daripada kita sudah memula mencongak dan memikirkan resolusi-resolusi baharu yang ingin dicapai di ambang Tahun Baharu nanti. Namun banyak ketikanya, resolusi-resolusi Tahun Baharu ini hanya tinggal resolusi semata-mata.
Ini kerana, kebanyakan resolusi yang dicapai itu berkemungkinan terlalu banyak, sememangnya tidak mungkin dapat direalisasikan mahupun sikap acuh tak acuh individu.
Untuk resolusi Tahun Baharu 2016 ini, penulis mengharapkan satu perkara sahaja iaitu menggesa rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik untuk mengikis sikap berfikiran satu hala dan berkelakuan ‘silo’ dalam apa jua tindakan.
Misalnya, tingkah laku kita di tempat kerja. Tidak dinafikan, ramai pekerja di mana-mana organisasi lebih cenderung untuk bersikap ‘silo’ ketika melakukan sesuatu pekerjaan. Bagi kumpulan individu sedemikian, mereka enggan berubah dan mahu terus berada dalam zon selesa.
Keengganan untuk berhadapan dengan cabaran baharu ada kaitannya dengan persepsi mereka bahawa apa yang mereka lakukan adalah betul sedangkan perkara sebaliknya yang berlaku.
Dalam konteks ini, sikap ‘silo’ yang dimaksudkan termasuklah bekerja secara sambil lewa, enggan memberikan kerjasama kepada pasukan dan mempamerkan kualiti kerja yang kurang memuaskan. Sebagai seorang pekerja dalam sesebuah organisasi, adalah penting untuk semua pekerja memberikan sepenuh komitmen kepada kerja yang diberikan.
Janganlah disebabkan teguran atau komen yang kurang enak daripada majikan, seseorang pekerja itu cuba mensabotaj dan mempamerkan sikap yang tidak baik. Selain sabotaj, ada pula yang menikam dari belakang dan menyebarkan gosip yang tidak berasas hinggakan suasana persekitaran di tempat kerja menjadi semakin tidak kondusif.
Banyak ketikanya, teguran yang diberikan adalah untuk memperbaiki diri seseorang, bukannya berdendam. Apakah yang mereka peroleh jika enggan bekerjasama dengan majikan? Apakah dengan keengganan untuk memberikan komitmen kepada misi yang ingin dicapai akan memberi kepuasan kepada mereka?
Realiti, perkara sebaliknya yang berlaku. Kenapa kita perlu berdegil dan mempamerkan sikap buruk kita? Tidak rugi untuk seseorang pekerja itu untuk mempamerkan profesionalisme mereka ketika bertugas. Ingatlah rajin dan usaha tangga kejayaan. Sesungguhnya, mereka yang selalu berusaha akan diberkati dan menuai nikmat di kemudian hari. Tuhan akan membantu mereka yang membantu diri mereka sendiri.
Oleh yang demikian, nasihat dan pesan penulis kepada semua pekerja baik di sektor swasta mahupun di sektor awam, jadikan profesionalisme sebagai tunjang atau asas utama ketika bertugas. Gunakan platform ini untuk berjihad ke arah menjadi seorang pekerja yang bukan sahaja serba boleh, berkaliber, berpengetahuan bahkan juga seorang yang disegani.
Pesanan dan nasihat ini juga ingin penulis sampaikan kepada para pemimpin politik negara yang nampaknya lebih gemar untuk berpolitik daripada menunaikan tanggungjawab hakiki mereka. Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat di peti undi, para pemimpin politik wajar meletakkan kepentingan rakyat dalam perjuangan mereka.
Paling mustahak ialah jangan sesekali menggunakan isu agama dan kaum untuk meraih undi pengundi. Sebagai seorang pemimpin politik yang mewakili 30 juta penduduk Malaysia, maka seharusnya mereka bertindak dalam konteks Kemalaysiaan.
Jika mereka ikhlas berjuang untuk kebajikan rakyat, para pemimpin politik negara wajar dan mestilah bersikap jujur dalam kelakuan mereka. Jangan jadi seorang yang hipokrit. Jangan sesekali cakap tak serupa bikin dan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat.
Kesemua pesanan ini penting kerana rakyat secara keseluruhannya mahu dan dahagakan wakil-wakil rakyat yang profesional, jujur dan amanah ketika menjalankan tugas mereka.
Cukuplah dengan gelagat yang kurang sopan dari kalangan ahli Parlimen tertentu yang mencetuskan kontroversi dengan kenyataan-kenyataan kurang bijak mereka di Parlimen.
Dengarlah nasihat dan teguran daripada rakyat marhaen. Memang pedas teguran yang disampaikan tetapi semuanya dilakukan demi kebaikan pemimpin-pemimpin politik dan negara kita yang tercinta.
Moga-moga apa yang diluahkan dalam ruangan ini akan mencetuskan kesedaran kepada semua agar sentiasa berfikiran terbuka terhadap sebarang kritikan. Lebih mustahak lagi, ialah kesediaan untuk bermuhasabah dan menjadi seorang yang lebih baik di tahun baharu kelak.
*Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
