15 OGOS ― Ogos boleh dianggap bulan kemerdekaan bagi negara-negara Asean. Meski tidak semua, Singapura meraikannya pada 9 Ogos lalu, Indonesia 17 Ogos mendatang dan Malaysia di tanggal 31 Ogos. Setiap kali menjelang kemerdekaan, pertanyaan sama muncul. Di mana semangat cinta negara? Kenapa tidak mengibarkan bendera?

Meski sama-sama merayakan kemerdekaan, soal semangat dan cinta negara Indonesia dengan mudah muncul sebagai pemenang mengatasi Singapura dan Malaysia, dua negara yang rakyatnya masih keliru dan bingung dalam makna bernegara. Negaranya sejahtera tetapi rakyatnya tidak mudah dipuaskan. Keluh kesah dan kalut adalah identiti khas.

Kembali ke Indonesia. Dalam satu survei akhbar Kompas terhadap warga Jakarta yang tersiar tanggal 12 Ogos, 60.4 peratus responden menjawab ya apabila ditanya, “Apakah anda terlibat dalan kegiatan hari kemerdekaan di lingkungan rumah? dan 91.8 peratus responden menjawab ya untuk soalan, “Apakah anda memasang bendera Merah Putih untuk memperingati hari kemerdekaan?”. Jumlah peratusan yang tinggi. Kegiatan lazim hari kemerdekaan adalah sukaneka, gotong-royong, menghias persekitaran, kerja sosial, pebarisan dan upacara menaikkan bendera.

Upacara menaikkan bendera Indonesia.
Upacara menaikkan bendera Indonesia.

Penulis yang menetap di Bali turut merasakan kemeriahannya. Sepanjang jalan dari Kuta ke Kintamani yang dihiasi bendera merah putih dalam jumlah yang banyak, warga dari semua kalangan bersemangat mengikuti latihan perbarisan. Di pinggir jalan peniaga menjual bendera dan dikerumuni warga yang ingin membelinya. Bandingkan saja dengan kita di Malaysia, diberi bendera percuma saja tidak mahu apalagi disuruh dikibar dan digantung.

Advertisement

Ya, memang tidak sepenuhnya tepat mengukur cinta negara melalui hal-hal berupa simbol. Akan tetapi tidaklah sepenuhnya tepat menghina dan menyindir mereka yang menzahirkan kecintaan dengan simbol. Acapkali penulis mendengar hujah berbunyi, “Pengisian kemerdekaan seperti mempekukuh demokrasi, melawan rasuah, memperkuat institusi awam dan seumpamanya itu lebih penting “. Hujah klise kerana mementingkan pengisian tidak semestinya meminggirkan simbol.

Penulis memahami banyak kalangan di Malaysia merasa simbol-simbol negara terutama bendera telah dirompak makna dan nilainya. Jalur Gemilang dan bendera Barisan Nasional dijadikan sama menerusi projek pembodohan di sekolah dan pejabat kerajaan terutamanya. Mengibarkan Jalur Gemilang bermakna meyokong kerajaan, menyokong kerajaan bermakna menyokong Barisan Nasional. Sebuah penghinaan.

Pembodohan tidak harus dilawan dengan pembodohan. Mengapa kita terlalu bodoh tidak tahu membezakannya? Mengapa kita menerima begitu sahaja perendahan dan peremehan nilai serta makna Jalur Gemilang? Adakah kita malas dan lemah pemikiran sehingga mudah menerima hujah mengibarkan bendera itu tidak penting? Mengapa kita seperti menerima fakta bahawa Malaysia itu Barisan Nasional? Anda jawab tidak, mana ada. Mari kita nyanyikan lagu ini kerana kata-kata adalah doa.

Advertisement

Malaysia Berjaya

Malaysia kita sudah berjaya

Aman makmur bahagia

Malaysia abadi selamanya

Berjaya dan berjaya

 

Berbagai kaum sudah berikrar

Menuju cita-cita

Satu bangsa satu negara

Malaysia berjaya

 

Dari Perlis sampailah ke Sabah

Kita sudah merdeka

Negara makmur rakyat mewah

Kita sudah berjaya

 

Dengan semboyan kita berjaya

Menuju di angkasa

Satu bangsa satu negara

Malaysia berjaya

Lagu ini penulis hafal sekali kerana disiarkan hampir setiap malam selepas Malaysia muncul pemenang pertandingan badminton Piala Thomas pada 1992. Meremang bulu roma setiap kali mendengarnya seperti mana meremang bulu roma setiap kali meneriak laungan reformasi.

Sudah saatnya kita bebas dan merdeka dari dibodohi kerajaan, aktivis pembangkang dan diri sendiri. Zahirkan kecintaan kita terhadap negara ini dalam bentuk kulit dan juga isi seperti mana sepasang kekasih menzahirkan cinta mereka. Marahlah kerajaan, marahlah Barisan Nasional tetapi jangan memusuhi Malaysia. Penulis tidak berharap banyak, cukup dengan berhenti menghina mereka yang menzahirkan rasa cinta kepada negara. Jangan bandingkan nasionalisme kita dengan nasionalisme Indonesia, jauh langit dan bumi. Kita soal bahasa sahaja tidak pernah selesai.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.