8 OGOS ― Malaysia semakin gila. Malaysia semakin hancur. Kini itulah kata yang dilontarkan rakyat Malaysia meski tetap ada yang mengatakan Malaysia masih di jalan yang benar. Itu sudah dijangkakan, apatah lagi jika pelontar kata membandingkan dengan negara tetangga Indonesia.

Apa yang dialami Malaysia sekarang seperti karma atas kesombongan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap Indonesia, negara serumpun yang terus menerus mengejar Malaysia dalam tingkat kesejahteraan. Keberadaan Indonesia selama ini adalah nikmat bagi kerajaan Malaysia dan pendukungnya yang mempunyai hobi bersyukur buta. Mereka sering berkata, “Nak jadi miskin macam Indonesia?”

Meski gila, Malaysia memasuki tahap seru (perkelahian atau perlawanan) seperti mana serunya perkelahian Malaysia dan Indonesia dalam banyak bidang; dari bola sepak hingga ke muzik. Najib lawan Mahathir, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia lawan Polis Diraja Malaysia, Parti Islam Semalaysia lawan Gerakan Harapan Baru dan kerajaan lawan media adalah antara perlawanan yang seru untuk disaksikan. Liga Inggeris yang bakal bermula dan Liga Super Malaysia yang menghampiri penghujung tidak ada apa-apanya.

Meski serumpun, cara rakyat Malaysia dan Indonesia melihat serunya masalah mereka nyata berbeza. Serumpun tetapi tidak sama. Di kala rakyat Malaysia keluh kesah dengan peningkatan kos hidup, rakyat Indonesia menyikapi masalah sama dengan santai bersahaja atau pasrah. Tiada kemarahan seperti rakyat Malaysia yang mudah terpesona lalu percaya dengan kempen pembangkang yang menyatakan Malaysia harus lebih baik atau setidaknya sama tahap dengan Singapura. Jalan berlubang bertahun-tahun saja mereka masih mampu tenang. Bandingkan dengan rakyat Malaysia di Selangor.

Advertisement

Tambah seru rusuhan Low Yat antara kaum Cina dan Melayu yang heboh diperkatakan sebenarnya tiada apa-apanya di Indonesia. Pada 2012, ratusan rumah kampung masyarakat Bali di Lampung Selatan, Sumatera dibakar oleh masyarakat Lampung hanya kerana masalah perempuan dan baru-baru ini sebuah masjid dibakar oleh penganut Kristian di Tolikara, Papua. Itu tidak termasuk insiden pembunuhan antara kaum dan agama yang marak terjadi pasca-reformasi. Di kala rakyat Malaysia keturunan Melayu dan Cina saling menabur benci di media sosial, tetangga kita dengan santainya membakar dan membunuh di dunia nyata.

Tidak semuanya Indonesia negatif. Lihat saja isu nama Allah yang disikapi santai Muslim di Indonesia tetapi direspon sangat keras oleh banyak Muslim di Malaysia. Meski serumpun, umat Islam Indonesia jauh lebih terbuka dan maju dalam pemikiran. Pergi saja ke kedai buku di Indonesia, buku dengan nama Allah ada di rak buku Kristian dan buku Islam. Damai. Bahasa Indonesia benar-benar bahasa penyatuan sehingga umat lain dibenarkan menerbitkan buku agama mereka dalam bahasa kebangsaan. Kita marah-marah bukan Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu tetapi enggan melawan angkuh dan sombong Ketuanan Melayu.

Ketika media Malaysia dicabul kebebasannya dan hujah pendukung kerajaan tidak jauh lebih baik dari murid tingkatan 3 di Indonesia, nasib malang semakin mendekati. Tambah cemas hujah pendukung pembangkang menghampiri tahap pendukung kerajaan, perkelahian yang tidak seru. Jika ditakdirkan kesejahteraan Indonesia menyamai atau melebihi Malaysia, bersedialah kita dihina-hina seperti mana kebiasaan kita menghina pekerja Indonesia di Malaysia. Sudahlah ekonomi negaranya lemah kerana tidak tahan bersaing, pemikiran rakyatnya juga lemah akibat ketertutupan media. Malang nasib kita.

Advertisement

Hanya satu hal barangkali kita serumpun tetapi sama iaitu rasuah. Baik Islam Hadhari, Islam Nusantara, Melayu Islam Beraja, Islam Liberal, Hindu Bali dan lainnya tetap jua gagal. Serumpun kita bukan lagi soal adat, bahasa dan agama tetapi budaya rasuah atau “derma”. Ini perkelahian yang seru. Melawan rasuah, nanah kepada penyakit negara dan masyarakat. Semua ini memberikan gambaran kerumitan masalah yang dihadapi di kedua negara. Kedua-duanya jauh dari sempurna. Masalah-masalah yang muncul menerbitkan peluang untuk kita berbuat sesuatu menyelesaikannya. Ini jauh lebih seru.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.