22 FEBRUARI — Baru baru ini saya ada membaca kisah si Tegar, penyanyi cilik kelahiran Indonesia yang meletup tiba tiba menjadi fenomena dalam beberapa tahun lepas, kembali hidup susah akibat ditipu di sana sini.

Saya simpati dengan nasibnya tapi jika kita hadir ke persada seni dan hiburan tanpa berbekalkan ilmu dan bakat yang hebat dan konsisten, memang begitulah nasibnya.

Saya tidak berminat mengulas tentang bakat budak ini dalam muzik dan nyanyi, sebab dia masih terlalu budak dan terlalu naif untuk mengenal ilmu muzik. Yang dia ada hanyalah bakat yang sedikit, selebihnya adalah kejujuran mahupun simpati.

Lagunya ‘Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang’ bukanlah sebuah lagu yang berkualiti seperti lagu Anak Kampung nyanyian penyanyi kelahiran Sabah, Jimmy Palikat. Lagu Aku Yang Duludari segi muziknya sangat tipikal dan biasa, liriknya pula lebih kepada simpati bertambah pula budak ini hidup asalnya hanyalah sebagai pengamen sebagaimana anak anak jalanan di Indonesia.

Advertisement

Lagunya yang hit itu memang meletup, tapi untuk dia mencapai tahap konsisten, itulah masalah utamanya. Mereka yang diluar pula hanya melihat duit dan bagaimana mahu bikin untung dari budak ini. sukar untuk kita mencari kejujuran dan nilainya dalam seni dan industri muzik. Putar belit itu bukan suatu yang pelik, melainkan sudah menjadi kebiasaan.

Itu sebab selepas lagu itu, walau dia cuba dengan lagu lagu baru, hasilnya seperti tidak menjadi lagi seperti sebelumnya.Bertambah pula dengan kelemahannya dalam mentafsir makna kemasyuran dan kenyataan hidup atas faktor umur dan sekeliling, tidak ada apa yang dapat membantunya.

Bila sudah popular dan hidup mewah, gaya hidup pun sudah berubah. Ke sana sini hidup sebagai selebiriti, otak pula diisi dengan elemen dan materi yang membodohkan. Kita ingat orang puja kita itulah kehebatannya, padahal itu hanyalah ujian sahaja.

Advertisement

Lagu Anak Kampung pula meletup sebelum lagu Aku Yang Dulu, bezanya penyanyi ini bagi saya seorang yang bijak dalam lirik dan lagunya. Sampai hari ini saya masih menyanyikan lagu Anak Kampung kerana muziknya yang catchy dan liriknya punya mesej yang positif dan masih punya ciri ciri egonya sebagai seorang lelaki, itu yang penting.

Dengan ilmu muziknya yang sejengkal, Tegar tidak akan kemana mana dalam seni dan perjuangannya. Seperti diberitakan keluarganya kembali hidup susah dan ibunya kembali menjadi pengemis di jalanan. Inilah nasib dan perjalanan hidup kita di dunia ini.

Duit adalah punca segala masalah. Pekerjaan sebagai artis dan penyanyi adalah antara perkerjaan yang paling mudah di dunia. Siapa yang tak mahu hidup sebagai penyanyi dan hidup mewah hasil menyanyi? Tak perlu bangun pagi, tak perlu bersusah payah memerah otak dan tenaga demi sesuap nasi.

Kerja kita hanya menyanyi dan mampu hidup senang.

Kalau album saya mampu terjual dalam ratusan ribu unit, saya tidak perlu busking dari siang sampai ke malam lagi dan melakukan berbagai bagai kerja. Saya hanya lakukan itu untuk kepuasan jiwa saya sahaja, jika saya boleh hidup dengan jual album dan menjadi penyanyi.

Antara pengamen di Indonesia dan di sini sangat berbeza dari segi penerimaan dan situasi. Di sini pembusker masih boleh hidup dengan menjadi busker dan mampu meraih pendapatan yang lumayan jika mereka tekus dan fokus. Bertambah pula banyak badan badan dari kerajaan mahupun swasta yang memberikan sokongan.

Kita banyak disediakan tempat dan ruang, manakala penerimaan masyarakat hari ini jauh berbeza dari sebelumnya. Kita tidak perlu menyanyi sewaktu traffic light berhenti untuk menghiburkan mereka yang di dalam kereta.

Kita tidak perlu naik turun bas atau keretapi untuk menghiburkan penumpang. Kita tidak perlu bersusah payah menjaja bakat di sana sini seolah kita ini seperti pengemis di jalanan.

Kita masih mampu bernyanyi dan berlagu dalam bentuk kita seadanya dan kita masih punya harga diri sambil menjaja bakat kita. Itu bezanya.

Di Indonesia, dengan populasi penduduk yang menghampiri hampir 300 juta orang, kita boleh bayangkan betapa terdesaknya mereka untuk mencari sebuah kehidupan. Terlalu ramai pengamendi sana. Klon Tegar sahaja tidak terkira jumlahnya.

Jika mereka mendapat peluang yang lebih baik seperti pengamen Pudjiono yang menyertai pertandingan realiti dan sempat mendapat perhatian tahun lalu, saya percaya beliau tidak akan kembali menjadi pengamen di Indonesia.

Bayangkan, subuh sudah keluar rumah untuk busking di dalam keretapi, juga dari rumah ke rumah atau di mana mana saja lokasi dengan jumlah pendapatan tak sampai rm 30 sehari duit kita. Itulah yang mereka lalui dan saya faham ianya bukan lagi semata mata untuk keseronokan, melainkan untuk terus hidup dan survival.

Saya tidak tahu apa akan jadi pada Tegar yang dulu bukanlah yang sekarang itu. saya berharap takdir hidupnya akan jadi lebih baik di masa depan. Orang suka bila kita sedang laku, bila sudah tidak laku kita akan dicampakkan seperti mereka menilai kita sewaktu kita tidak punya apa dulu.

Tegar adalah sebahagian dari mereka yang tergelincir di dalam meniti titian kehidupan, takdir dan permainannya. Dia memerlukan sokongan dan kejujuran dari pihak yang berminat dengan bakat dan imejnya.

Masih adakah lagi nilai sebuah kejujuran itu di didunia yang katanya indah dan bergemerlapan itu?

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.