FEBRUARI 1 — Jika merotan anak menjadi satu kesalahan jenayah, saya percaya akan ramai para ibu dan bapa yang akan masuk penjara. Ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan ada juga yang bersetuju.

Saya tidak pernah merotan anak anak, tapi saya rasa undang undang sedia ada sudah cukup sempurna, sesuai dengan budaya masyarakat kita dari zaman dulu sampailah sekarang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, merotan anak bakal menjadi kesalahan jenayah jika rang undang undang baru diperkenalkan untuk menggantikan Akta Kanak Kanak 2001 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat selewat lewatnya Julai depan, diluluskan.

Saya percaya dalam dunia ini manusia memang ditakdirkan untuk memilih watak dan skrip yang perlu mereka lakonkan. Itu sebab kita lihat akan ada orang baik dan orang jahat. Mereka ini akan sentiasa ada silih berganti sejak zaman Habil dan Qabil lagi sehinggalah kiamat.

Advertisement

Adalah berita yang sangat menyedihkan jika anak anak kita tersalah memilih lorong dalam kehidupan mereka nanti. Namun apa yang perlu kita lakukan adalah selalu tanamkan elemen yang baik dan bermanfaat ke dalam jiwa mereka.

Seperti anak anak kita hari ini, fitrah memungkinkan mereka memilih jalan hidup mereka, yang mungkin tidak pernah kita jangkakan. Apatah kalau anak kita itu sentiasa dibelai manja selalu walaupun setiap hari mereka ketuk kepala kita dengan penyapu.

Maka akan jadilah mereka anak anak yang nakal dan buas seperti dalam filem klasik Anakku Sazali lakonan P.Ramlee yang sering kita tonton di kaca televisyen.

Advertisement

Saya rasa cara kita mendidik anak di zaman ini dan zaman dulu berbeza. Dulu bapa kita biasanya garang terhadap anaknya. Pun itu untuk kebaikan juga, sehinggalah kebanyakan mereka hari ini sudah pun berjaya dalam kehidupan, “cruel to be kind,” bak kata orang putih.

Arwah bapa saya memang garang terhadap anak anaknya. Saya pernah dirotan dan adik beradik lain pun begitu juga. Kesannya mereka hari ini menjadi insan yang berjaya dalam hidup.

Sewaktu hari pertama persekolahan, awal awal lagi bapa saya sudah bagi “green light” pada guru yang mengajar saya, katanya asal jangan patah kaki dan tangna sudahlah.

Sewaktu di sekolah rendah, guru matematik saya, Mr Tang namanya, memang garang. Kemana mana dibawanya rotang panjang. Semua murid sangat takut termasuklah saya. Tapi perlakuan garang itu hanyalah sekadar imejnya sahaja.

Sewaktu di sekolah menengah juga begitu, guru matematik, Encik Mohd Amin memang garang, ke sana sini siap dengan rotan. Apatah beliau juga merupakan guru disiplin. Sering saya lihat beliau merotan pelajar yang melanggar arahan sekolah.

Cuma garang mereka itu atau rotan mereka itu bukan dengan emosi, melainkan hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dalam mendidik anak bangsa ke arah yang lebih baik di masa depan.

Sewaktu itu jika kita gagal dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), maknanya kena mengulanglah. Matapelaran wajib waktu itu matematik dan bahasa Malaysia.

Perkembangan dan peredaran zaman sudah berubah. Hari ini sering kita baca di akhbar, murid bakar sekolah, murid ditangkap menghisap dadah si sekolah, bergaduh sana sini. Mereka juga bergaul dengan para gangster dan kongsi gelap. Ini adalah perkembangan yang menakutkan, sehingga para guru pun takutkan anak murid.

Mereka yang nakal dan jahat ini, di rumah pun saya percaya kelakuan mereka pun serupa juga seperti di sekolah. Adakah mereka pernah di rotan oleh bapa mereka atas sebab kenakalan? Atau kerana terlalu manja sehingga kelakuan mereka sukar di kawal?

Budak yang nakal dan jahat akan selalu ada, melengkap atau menambah seri warna warni kehidupan, itu sebab adanya sekolah Henry Gurney.

Seperti kes yang berlaku pada pasangan ibubapa yang dihukum penjara di Sweden kerana pencabulan serius terhadap anak anak mereka. Saya tidak pasti adakah mereka lakukan itu bersama emosi yang tidak terkawal atau memang itu cara mereka mendidik anak anak?

Kita boleh saja bersetuju ataupun tidak dengan akta Kanak Kanak yang bakal diperkenalkan nanti.

Syukur jika anak anak kita dilahirkan ke dunia penuh dengan sifat kemanusiaan dan kasih sayang.

Kitalah yang mencorakkan warna dan pemikiran mereka, maka semaikanlah benih benih cinta ke dalam jiwa mereka, itu yang lebih penting dari kita merotan jika mereka melakukan kesalahan.

Saya tidak akan merotan anak anak. Itu seperti saya merotan diri saya sendiri. saya percaya benih kasih dan sayang yang saya dan ibu mereka semai sejak dari bayi sehinggalah menjangkau ke usia remaja mereka, akan menghasilkan kesan yang positif dan diberkati.

Anak anak adalah darah daging kita. Tanggungjawab kita adalah mendidik mereka dengan nilai nilai murni. Kitalah ikon mereka. Kalau kita pun berserabut, macamana mereka nak mencontohi kita?

Semua kita bukanlah sempurna dalam segala segi dan aspek. Namun selagi perjalanan kita ini dua hala tujunya, akan ada jalan dan penyelesaiannya.

Apapun seperti pendapat saya sebelum ini, jika merotan anak menjadi satu kesalahan jenayah, ramailah para ibu terutamanya kaum bapa yang akan masuk penjara.

Saya masih berfikir samada perlu bersetuju atau tidak dengan akta baru yang akan diperkenalkan nanti.

Adakah kita diberi pilihan untuk itu?

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.