JANUARI 11 — Penghujung tahun 2014, adalah tahun yang penuh dengan dugaan bagi negeri negeri di sebelah pantai timur sana yang dilanda bencana banjir, terutamanya di Kelantan. Kesannya banyak harta benda yang rosak dan melibatkan kehilangan nyawa.

Kerugian jangan ceritalah. Harta benda, nyawa, kerosakan dan segala galanya merupakan bala dan malapetaka yang melanda di negeri negeri yang terlibat. Kita melihat negeri Kelantan, antara yang paling teruk terjejas kesan banjir.

Kelantan adalah negeri yang diperintah kerajaan PAS sejak lama dulu. Juga dikenal Serambi Mekah. Maknanya mereka ini dikuasai oleh golongan ulamak. Ulamak adalah golongan yang dihormati di kalangan masyarakat.

Itu mungkin dulu, sekarang kebanyakan ulamak pun hidup mereka untuk dunia juga, kiblat mereka pun kebendaan dan penuh dengan nafsu juga. Sebab? Mereka hanyalah manusia, sama seperti kita.

Advertisement

Bezanya kita rakyat biasa, mereka dipandang tinggi. Bayaran untuk ceramah pun ribu ribu. Pakai pun kereta mewah, dulu sebelum terkenal duduk rumah flat, bila dah popular tinggal di banglo pula. Yang mereka jaja hanyalah cerita cerita fekah yang sudahpun kita belajar di sekolah menengah dulu.

Nak jumpa ulamak yang mengamalkan cara hidup marhaen seperti di zaman nabi dulu, jangan haraplah. Sebab bagi saya, dunia untuk orang yang beriman hanyalah persinggahan. Bukan untuk kita bermegah megah. Apatah jika dilabelkan sebagai seorang ulamak. Dunia ini adalah seperti hampas kelapa sahaja.

Itu sebab kita lihat hari ini ada ulamak atau penceramah yang ditangkap khalwat dan dirakam gambar video khalwat mereka dan berbagai lagilah. Kalau kita nak percaya atau tak percaya itu terpulanglah.

Advertisement

Sebabnya hari ini masyarakat kita memang suka menonton ceramah agama, sebab ceritanya ada lawak jenaka, dipenuhkan cerita indahnya syurga dan azabnya neraka. Kalau kita hidup bermegah dan menunjuk nunjuk, itupun antara yang paling tidak disukai Tuhan juga.

Kalau harga ceramah kita dibayar harga yang sangat mahal, itu pun tak patut juga, sebab menyampaikan ceramah dan cerita agama adalah tanggungjawab sesama insan.

Kebanyakan nabi dan para sahabat dulu, mereka ini hidup miskin walau dianugerahkan dengan harta dan kekayaan. Maknanya pemahaman mereka tentang jiwa dan kebendaan itu mantap dan seimbang.

Jiwa adalah cerita tentang roh, roh bukan kebendaan. Roh yang akan mengadap pencipta. Kalau ianya dipenuhi cerita dunia dan angan angan macamana nak ‘innalillah’?

Jadi bila kerajaan negeri Kelantan yang katanya sibuk nak mengamalkan hukum hudud, saya rasalebih baiklah mereka ini terlebih dulu bergotong royong pergi ke bukit yang semakin botak di sebelah Gua Musang sana dan kawasan yang terlibat. Kita lihat bukit sudah semakin habis ditarah. Panjatlah bukit yang semakin botak itu, bermuhasabahlah. Tanamlah semula pokok pokok sehingga tumbuh subur dan mekar.

Memang negeri negeri lain pun masalahnya sama sahaja, antara faktornya kesan pembalakan. Tapi Kelantan adalah negeri yang katanya mengamalkan cara hidup Islam, diperintah para ulamak, jadi benda benda yang asas ni sepatutnya tidak berlakulah.

Banyakkan lah mendengar lagu lagu yang berunsurkan alam selain lagu nasyid. Jemputlah pemuzik dan penyanyi yang menyanyikan lagu yang mesejnya tentang betapa pentingnya alam dan hijau ini dipelihara. Bila dengar lagu yang memuji alam, janganlah dikatakan sesat pula. Sebab alam adalah ciptaan tuhan juga. Dan janganlah tutup telinga atau berkerut kening menunjukkan rasa tidak minat.

Lihatlah hasil kerakusan kita, demi ringgit dan kuasa, alam makin tercemar. Saya punya ramai kenalan warga tua yang datang dari Kelantan. Kata mereka, dulu kalau banjir berlaku di sana, airnya jernih dan budak budak seronok bermain air. Hari ini airnya keruh seperti teh tarik. Apatah manusia, binatang pun boleh lemas. Dari mana datangnya air yang keruh ini?

Memelihara alam adalah perkara asas dalam kehidupan. Benda ini patut dititikberatkan. Kalau otak kita hanya fikirkan tentang untung dan rugi, payahlah.

Bagi saya kalau di zaman nabi atau para sahabat dulu yang mahu mengamalkan hudud, itu kita bolehlah percaya. Tapi hari golongan ulamak ini kebanyakannya ilmu jiwa pun kurang, hidup penuh dengan nafsu serakah juga.

Jadi dari segi pelaksanaannya memang susah nak percayalah, sebab mereka juga hanya manusia yang serba lemah. Mulut semua akan bercerita tentang segala yang indah dan suci belaka, tapi hati pun kadang kusut masai penuh dengan daki.

Kita lihat negara yang mengamalkan hudud seperti Sudan, Arab Saudi, Pakistan antaranya bukanlah boleh kita contohi. Negara pun huru hara, ekonomi pun hancur. Bangsa Arab pula hidup kebanyakannya penuh dengan sifat rakus penuh dengan nafsu dan haloba belaka.

Melihat cara mereka makan dan cara hidup mereka sudahlah, pula dikelilingi para gundik dan sebagainya. Jadi dari sudut pelaksanaannya, memang susahlah kita nak percaya. Macamana kita nak percaya jika golongan yang seperti ini yang mahu mengamalkan hudud?

Bagi saya sistem atau undang undang Islam yang sudah sedia ada di negara kita ini sudah lengkap. Kita hidup bermasyarakat, berbilang kaum terbukti sejak dari dulu sampailah ke hari ini. Tidak ada masalah apabila melibatkan agama juga adat resam, kerana ada sikap saling hormat menghormati, itu yang lebih penting.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.