21 DISEMBER — “ Macam ini susahlah Meor mahu cari makan, takkan nak main kompang?”, itu respon seorang bekas student gitar saya yang berbangsa Tionghua setelah membaca isu yang dibangkitkan dari mereka di kalangan segelintir para ulama yang mengatakan bermain gitar itu haram.

Saya sebenarnya malas untuk mengulas isu agama, terutamanya apabila melibatkan agama yang saya anuti sendiri, agama Islam (di Malaysia). Sebab ianya sangat sensitif untuk dibicarakan.

Tersilap cakap dikatanya kita ini liberal. Terlebih bicara kita ini dikatanya menunjuk pandai pula.

Apapun saya cuba untuk mengulas dalam bentuk atau mengikut pendapat saya sebagai seorang pemuzik yang beragama Islam di negara kita ini.

Advertisement

Saya percaya kepada kesederhanaan. Apa-apa hal pun eloklah kita bersederhana sahaja. Agama mendidik kita menjadi seorang yang rasional. Rasional itu lebih baik dari kita suka menghukum.

Kita lihat di negara kita ini, saya suka dengan panorama dan nilai yang tersemai dalam masyarakat kita hari ini.

Saban hari saya bermain muzik dan bernyanyi, sebab itu kerja saya menghiburkan khalayak. Ada yang suka, ada yang indah tak indah, ada yang menghargai, ada yang biasa biasa sahaja.

Advertisement

Majoritinya masyarakat hari ini termasuk yang bertudung mahupun yang berkopiah, mereka turut terhibur dengan petikan gitar dan nyanyian saya.

Hasilnya mereka turut menghulurkan sumbangan mengikut kemampuan. Saya sangat menghargai nilai keterbukaan yang ada dalam diri mereka.

Instrumen gitar bukanlah suatu yang asing di negara kita ini. Ramai di kalangan pemuzik akan bermain gitar di mana-mana sahaja tempat, tidak kira di majlis ceramah agama mahupun di majlis-majlis formal.

Takkanlah jika kita menyanyikan lagu “Perjalanan Hidup” yang dipopularkan oleh Datuk Ramli Sarip yang penuh dengan mesej yang bermanfaat untuk jiwa, pun akan dilabel sebagai haram?

Penyanyi lagenda dunia, Cat Steven atau nama Islamnya Yusuf Islam di waktu awalnya memeluk Islam pernah melupakan gitar sehinggalah berpuluh tahun kemudiannya beliau kembali memetik gitar dan menyanyi hinggalah ke hari ini.

Menurut penulis, muzik bergantung kepada apa mesej yang mahu kita sampaikan, alat muzik itu hanya sejenis alat sahaja. — file pic
Menurut penulis, muzik bergantung kepada apa mesej yang mahu kita sampaikan, alat muzik itu hanya sejenis alat sahaja. — file pic

Saya pernah membuat persembahan gitar dan nyanyi di hadapan Tuan Guru Nik Aziz dalam satu majlis kesenian yang berlangsung suatu waktu dahulu. Tentulah lagu-lagu yang saya sampaikan berunsurkan ketuhanan dan kehidupan dan nyata Tuan Guru yang waktu itu duduk di hadapan sekali turut menghargainya.

Muzik bergantung kepada apa mesej yang mahu kita sampaikan, alat muzik itu hanya sejenis alat sahaja. Mereka yang menyuarakan tentang cinta dan kasih sayang itu bukanlah subjek kejahatan pula, bergantung pada nawaitu kita sendiri sebenarnya.

Muzik juga baik untuk terapi minda. Terbukti dari sudut sains muzik mampu menghilangkan stress atau tekanan dalam diri kita. Ramai pelajar gitar saya belajar bermain gitar untuk menghilangkan stress selepas penat bekerja.

Belum lagilah saya dengar ada orang yang meninggal dunia bila mendengar alunan dan petikan gitar dari seorang pemuzik dan belum lagilah saya dengar cerita manusia saling berbunuhan sesama sendiri apabila mendengar si pemain gitar memainkan gitarnya.

Saya suka melihat pemandangan dan sikap keterbukaan yang ada dalam masyarakat dan kepimpinan kita hari ini.

Saya sangat sedih apabila mendengar keluhan seorang kenalan saya, seorang pemuzik kelahiran Iran yang pernah dimasukkan ke penjara hanya kerana bermain gitar di satu majlis. Adakah kita mahu melihat negara kita mengamalkan sistem yang sebegitu?

Sehingga akhirnya membuatkan kenalan saya itu nyata selesa tinggal di negara kita ini berbanding di negaranya sendiri.

Setiap kita punya peranan dan watak untuk dimainkan. Walaupun mereka itu pemuzik, mereka juga berperanan membentuk nilai nilai yang positif ke dalam jiwa masyarakat dan pendengar.

Kita lihat hari ini, ramai para remaja perempuan yang muncul dengan imej Islamik dan bertudung mengusung gitar ke sana sini. Ini bukanlah pemandangan yang asing lagi di negara kita ini.

Dalam agama Islam sendiri ada berbagai fahaman, ada yang terbuka dan ada yang tidak. Ada yang konservatif dan ada yang non konservatif.

Kerajaan Negeri Kedah yang dibawah kepimpinan kerajaan PAS pada awal tahun 2013 dulu pernah membuat kejutan dan peraturan baru yang melibatkan seni dan hiburan di negeri Kedah.

Antara dasar mereka yang menarik perhatian dan membuatkan saya termenung dan berfikir seperti kalau kita nak bermain alat muzik, itu tidak dibenarkan kecuali dengan iringan muzik minus one.

Itulah hasil yang mereka dapat dari sikap mereka yang cepat menjatuhkan hukum mengikut apa yang mereka faham. Saya tidak pasti bagaimana mereka boleh berfikir sesingkat itu?

Arahan itu telah dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Seni dan Warisan waktu itu, Datuk Dr Hamdan Muhamed Khalib dan diserahkan kepada Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Bakar Din pada 9 Januari, 2013.

Hasilnya atau mungkin itulah salah satu sebabnya kerajaan mereka tumbang kepada kerajaan BN pada pilihan raya 2013. Hari ini kita lihat Kedah semakin maju, semakin ke hadapan dalam berbagai aspek berbanding sewaktu kerajaan PAS memerintah Kedah dulu.

Agama adalah satu cara hidup. Semua agama menuntut umatnya menjadi baik. Yang paling bagus jika kita mampu menerapkan nilai yang sederhana kerana kita ini hidup bermasyarakat dan perlukan nilai harmoni dan sejahtera itu disematkan ke dalam jiwa kita.

Hasil dari pemikiran yang ekstrimis akan membuatkan kita menjadi golongan yang gagal berfikir secara rasional melainkan melingkupkan nilai keamanan dan kasih sayang itu sendiri.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.