Seorang kawan mengadu dengan saya tentang hal seekor kucing peliharaannya.

Ceritanya begini, dia dan isterinya membela seekor kucing. Tidak menghairankan kucing adalah sejenis binatang yang mudah manja dan comel kerana bentuk fizikalnya.

Perkara yang paling tak ‘best’ bagi kawan saya itu adalah tentang pembahagian tugas terhadap kucing yang mereka pelihara dengan penuh kasih sayang itu. Bab yang tak best semuanya diserahkan kepada si suami, manakala bab yang best si isterilah yang menggalasnya.

Bab yang tak best itu seperti kena bagi kucing makan ubat dan memandikan si kucing. Si kucing memang tak suka makan ubatlah, termasuklah untuk memandikan. Jadi setiap kali melihat kawan saya, kucing itu akan lari dan enggan untuk bermanja dengan kawan saya itu.

Advertisement

Bab yang best pula bagi makan, membelai dan segala yang disuka oleh si kucing semuanya digalas oleh si isteri. Jadi kucing itu memang manjalah dengan si isteri. Yang jadi mangsanya si suamilah.

Kedua mereka suami isteri memang sayangkan kucing. Saya tak tahu apa jadi dengan kucing pelihaharaan itu sekarang. Masihkah dia akan lari jika berjumpa kawan saya itu?

Kucing memang antara haiwan peliharaan yang paling disukai, terutamanya di kalangan  masyarakat Melayu. Anjing juga diminati tapi majoriti yang membelanya di kalangan masyarakat Cina, India mahupun lain lain bangsa selain Melayu.

Advertisement

Kucing pun disayangi, apatah lagilah jika anak kita. Apabila bercerita tentang anak anak, saya punya beberapa kenalan rapat yang sudah berkahwin mahupun berstatus duda yang punya anak.

Selalulah bila berjumpa kami akan berbual dan bertukar tukar pandangan tentang hal anak anak.

Anak adalah kurniaan Tuhan yang paling bermakna bagi kita, para ibu bapa. Membesarkan mereka adalah perkara terbaik yang dianugerahkan kepada kita, melebihi apa saja kenikmatan yang terdapat di dunia ini.

Biasanya anak anak saya lebih rapat dengan ibu mereka walaupun ibu mereka itu kuat berleter dan marah atas sebab kenakalan mereka. Maklumlah anak lelaki, biasanya begitulah.

Bukan mudah untuk mendidik anak anak, yang itu saya faham sangat. Sehari suntuk isteri saya bersama anak anak dan melayan kerenah mereka yang berwarna warni itu, saya pun akan pening juga.

Isteri saya selalu berpendapat yang saya ini terlalu memanjakan anak anak. Saya rasa anak anak lebih manja dan rapat dengan ibu mereka. Buktinya apabila si ibu berenggang dengan anak anak walau dalam jangka masa satu jam, si ibu akan merasa risau dan tidak tenteram jiwanya.

Dalam bab dan hal menjaga anak anak, isteri saya lah yang menggalas tugas dan tanggungjawab itu. Waktu saya banyak dihabiskan diluar, jadi waktu bersama anak anak itu agak terhad. Pun begitu saya akan cuba luangkan masa bersama mereka.

Apabila terlalu rapat, walau selalu kena marah dengan ibu mereka, mereka tidak pernah ambil hati malah kadang kadang tidak ambil serius akan ketegasan ibu mereka itu.

Apabila leteran si ibu mereka indah tak indah, jadi terpaksalah saya mengambil alih tugas menegur anak anak saya yang nakal itu.

Memarahi anak anak dalam bentuk menegur mereka dalam nada yang agak keras, ‘cruel to be kind’ bak kata orang putih, adalah perkara yang tak ‘best’ untuk saya lakukan sebenarnya.

Memarahi mereka seperti saya marahkan diri saya sendiri, tapi disebabkan hanya saya yang mereka takut berbanding ibu mereka, saya gagahkan jugalah.

Saya akan merasa amat bersalah selepas memarahi mereka, dan itu bukanlah perkara ‘best’ yang perlu saya lakukan.

Mungkin saya ini akan jadi seperti bapaknya si Sazali dalam filem P.Ramlee, Anakku Sazali, yang terlalu memanjakan anaknya sehingga menghancurkan masa depannya sendiri.

Itu sebab dalam bab dan hal menjaga anak anak isteri sayalah yang lebih bijak dari saya. Saya akui saya agak ‘longgar’ dalam bab mendidik anak anak.

Mungkin juga kerana saya tidak mahu mereka takutkan saya seperti saya takut dengan arwah bapak saya sewaktu saya kecil dulu.

Saya pun sewaktu kecil sampailah ke besar, kepada mak jugalah saya mengadu. Nak mengadap muka bapak pun saya takut. Bapak saya sangat jarang menzahirkan kasih sayangnya pada saya, anaknya. Mungkin itu memang cara orang dulu dulu dalam mendidik anak.

Kesannya perhubungan saya dengan arwah bapak tidaklah rapat. Pun begitu saya tetap menghormatinya sebagai seorang bapak.

Kesannya, saya tidak mahu perkara begitu terjadi dalam keluarga saya. Saya rasa kita perlu zahirkan benih kasih sayang itu kepada anak anak melalui butir butir penzahiran, kemesraan dan kasih sayang yang dijelmakan, bukan disimpan di dalam hati.

Kasih sayang ibarat benih. Untuk memastikan ianya subur sentiasa, kita perlulah membaja dan menjaga tahap suburnya sehingga ia membesar menjadi pokok yang subur.

Begitu juga nilai kasih sayang dan perhubungan kita dengan anak anak. Kita mahu rasa kasih dan sayang itu terbit dari jiwa mereka sendiri, tertanam di dalam sejak dari kecil sehinggalah membawa ke alam dewasa mereka.

Kita tidak dapat melakukan apa apa jika apabila dewasa nanti mungkin mereka melupakan jasa kita, para ibu bapa yang banyak berkorban untuk mereka.

Apa yang kita lakukan adalah menjalankan tanggungjawab sebagai ayah dan ibu dengan penuh kasih sayang dalam membesarkan kehendak dan mimpi mereka, selebihnya adalah siri siri takdir yang perlu kitga tempuh dan hadapi sendiri untuk melengkapkan diari hidup kita sebagai seorang pengembara di muka bumi Tuhan ini.

* Artikel diatas adalah pendapat peribadi penulis.