NOVEMBER 30 — Sesetengah kita percaya, kehidupan ini hanyalah sekadar mimpi belaka. benarkah begitu ? Sesaat, sedetik, seminit, sehari bahkan sebulan waktu berjalan dan hari ini mahu tidak mahu kita terpaksa bersetuju akan kebenaran kata-kata itu.

Mimpi hanya mainan tidur. Itu kata mereka yang tidak suka dibuai cerita dan angan yang datang dari kelompok perasaan yang hinggap dan berkumpul untuk diluahkan ke alam mimpi. Siapa yang melihat cerita mimpi kita di alam tidur sedang mata kita tertutup waktu itu?

Nyatalah kita di sini hanya mampu menterjemahkan apa yang ada di kotak minda semata. Selainnya segala hal yang berkaitan dengan jiwa dan rahsianya, kita hanyalah umpama setitis air dibanding seluas lautan yang maha luas.

Kata mereka jangan di usul yang asal itu. apa yang nampak di mata itu sudah memadai, kata mereka. Yang di dalam dan tidak nyata itu boleh saja ditakrif dalam konteks akal, fikir dan angan angan bersesuaian dengan kehendak kita di dunia ini.

Advertisement

Dunia ini adalah tentang siapa kita dan apa yang kita miliki. Kaya atau miskin, kita tetap punya hak untuk memiliki. Walau siapapun kita, kehadiran kita ini secara keseluruhan dan sejak awalnya sudahpun dimiliki oleh sang pencipta melalui janji yang termateri sejak awal kejadian di luh mahfuz dulu.

Hadir ke dunia adalah atas kehendak kita sendiri atas restu yang maha esa. Sedang kita pun tidak diberi banyak pilihan untuk itu.

Maka hadirlah kita ke dunia dengan berbagai sifat bersesuaian dengan kehendak dan kebesarannya. Ada yang dilahirkan ke dunia dalam keadaan sempurna, ada pula yang cacat. Ada yang cantik dan kacak, ada pula yang hodoh dan menjengkelkan.

Advertisement

Jasad dan nyawa, lahir dan batin, itulah cerita kita sebenarnya di dunia ini. Jasad itu zahir yang berubah-ubah yang melalui proses demi proses. Dari kecil kita membesar, fizikal mahupun mental. Tidak ada yang kekal di badan dan kehidupan kita ini melainkan segalanya bersifat pinjaman belaka.

Kita berada di dalam kandungan si ibu sejak detik pertama benih bernyawa dan hidup dalam rahmat kasih dan sayangNya. Sembilan bulan adalah keajaiban dan misteri akan kekuasaan, kebenaran dan kewujudanNya.

Bayi sewaktu lahir tidak kenal apa itu kaya atau miskin sehinggalah nafsu mereka membesar siring dengan usia. Bayi juga tidak kenal apa itu materi melainkan kehendak fitrah itu sendiri. Buka sahaja mata melihat dunia, sang bayi akan mencari susu ibunya kerana lapar. Siapa yang mengajarnya?

Bayi juga tidak mengenal apa itu kehidupan, apa itu agama, apa itu politik, apa itu kepentingan dan apa itu Tuhan.

Seusia bayi sehingga ke usia 1 tahun adalah kebenaran dan kejujuran yang lahir dari jiwa yang tidak berkehendak sehingga menjangkau ke usia 2 atau 3 tahun mereka mula mengenal kehidupan melalui mainan dan benda-benda yang mampu menarik minat mereka.

Bayi akan terus membesar sebagai seorang manusia yang dibekalkan dengan nafsu dan akal fikir untuk mereka memilih apa yang terbaik dalam kehidupan mereka.

Kehidupan ini adalah sekadar mimpi belaka. Benarkah begitu?

Kita tidak mampu mengembalikan masa lalu walau sedetik ianya berlalu. Kita di sini hanya untuk berkongsi setiap detik waktu dan ketika, tidak kira apa juga babak samada sedih mahupun suka, kita hanya punya ‘moment’, selainnya hanyalah butir butir kenangan yang tersimpan di kotak akal kita.

Bercerita seorang pencerita, seorang lelaki mengadu kepada gurunya tentang rasa kecewa dan laranya yang sedang dihadapinya kesan putus cinta.

Sang guru berkata, “ itulah perkara terindah yang sedang kamu hadapi walau ianya menyakitkan”

Cerita yang sedih mahupun suka akan ada dalam diari hidup kita. Menghadapi ‘moment’ di waktu itu adalah perkara terbaik dalam hidup kita kerana itu menandakan kita adalah manusia yang sempurna dari sudut alam dan kejadian berserta sifatnya.

Sifat sifat ombak itu tidaklah statik, tenang sepanjang masa. Akan ada ombak, ribut, taufan, surut dan pasang, begitu juga dengan sifat kita manusia.

Jika hidup kita ini mendatar sepanjang masa, atau gembira sejak lahir sampailah ke tua, lebih baik kita tidak dijadikan sebagai manusia, lebih baik kita jadi malaikat.

Apabila kita kenangkan sesuatu yang berlaku 20 tahun lalu, ianya terasa seperti semalam ianya berlaku.

Itu sebab adalah penting bagi kita untuk menghargai kehidupan ini seadanya. Life is short, hidup ini singkat sesingkat waktu yang datang dan pergi.

Semalam anak kita berumur 1 hari. Hari ini anak kita itu sudah berumur 18 tahun. Pejam celik, kita pun semakin dimamah usia dan akhirnya apabila sampai masanya nanti tertutuplah sebuah diari hidup cerita kita yang bernama manusia ini.

Segala jawapan ada di dalam diri kita sendiri. usul yang asal itu akan menjadikan kita insan yang lebih mengenal apa itu hitam, putih mahupun kelabu dalam konteks yang lebih terbuka.

Kita melihat semalam itu sebagai perkara atau hal yang telah berlaku, biarkan ianya berlalu kerana tidak ada apa yang dapat kita lakukan untuk mengembalikan kenangan dan semalam.

* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.