Apa perasaan kita sebagai ibu bapa jika anak kita dibuli di sekolah, asrama ataupun di mana mana? Tentulah hati kita tidak gembira dan kalau boleh tidak mahu perkara itu berlaku. Itu sebab ramai ibu bapa hari ini agak berat hati untuk menghantar anak mereka ke sekolah asrama termasuklah saya.

Kerap tersebar berita tentang kes buli pelajar di internet mahupun di media hari ini. Kerap sangat ianya berlaku sehingga seakan tidak ada jaminan yang anak kita akan selamat walaupun mereka di dalam kawasan sekolah mahupun asrama.

Kita sebagai ibu bapa berhak merasa risau akan tahap keselamatan anak kita kerana kalau kita mahu perkara yang tidak diingini tidak akan berlaku kepada anak anak kita.

Katakanlah jika anak kita dibelasah budak budak senior sehingga mengakibatkan kecacatan atau lumpuh sehingga ke akhir hayat, siapa yang perlu kita salahkan jika ini terjadi?

Advertisement

Zaman dulu pun ada kes buli juga, di zaman kita yang dikenali sebagai Gen X ( generasi yang lahir antara tahun 1965-1976 ), cuma zaman itu mana ada Internet dan YouTube? Budak budak waktu itu ramai yang nakal juga, tapi budak budak di zaman ini saya kira lebih menakutkan.

Di zaman kita dulu, kalau di sekolah saya ada seorang guru disiplin yang namanya Cikgu Amin, memang terkenal kerana kegarangannnya. Ke sana sini dengan rotan di tangan. Pelajar yang nakal kena rotan sewaktu perhimpunan itu perkara biasa.

Sewaktu arwah bapa saya berjumpa guru kelas saya pada hari pertama waktu persekolahan di tahun 1974 dulu, perkara pertama yang dipesannya kepada guru, “ rotan anak saya kalau dia nakal, asal jangan sampai patah riuk sudahlah”

Advertisement

Kesannya tahap disiplin mampu dikawal dan kalau adapun kes buli, ianya masih terkawal. Murid perlu dididik agar sentiasa menghormati para guru. Ini kalau guru pun mereka tak hormat bahkan diajak bertumbuk, susahlah kalau begitu.

Itu sebab saya bersetuju jika rotan kembali digunakan terhadap pelajar yang nakal, dengan tujuan untuk mendidik.

Generasi Y pula dari kalangan mereka yang lahir dari tahun 1977 hingga 1997. Inilah generasi yang bakal mencorakkan negara di masa hadapan.

Saya tidak akan terkejut jika di zaman ini budak budak sekolah akan berani membawa pistol ke sekolah. Mereka nampaknya akan berasa megah jika dilabel sebagai ‘budak jahat’. Mungkin bagi mereka itu lambang remaja yang ‘cool’ di abad ke-21 ini.

Generasi Y hari ini terdedah di satu zaman di mana dunia dan keseronokan mereka yang nyata adalah Internet, game dan YouTube. Jadi tidaklah menghairankan jika kita ke internet cafe, ramai budak budak sekolah ini akan bersidai di situ dari siang sampailah ke subuh hari, sebab internet cafe biasanya dibuka 24 jam sehari.

Kebanyakan mereka ini manja, masih merasa selesa jika mahu ditatang seperti minyak yang penuh. Hidup nak sentiasa bergaya walau poket kosong. Pakai hanphone yang mahal harganya, bekerja belum sampai setahun sudah pakai kereta. Sudahnya hidup dikelilingi hutang.

Pengaruh dan kesan teknologi hari ini memungkinkan apa sahaja perbuatan yang baik mahupun salah tidaklah menjadi satu dosa kepada mereka melainkan kepuasan dalam menunjukkan nilai kedewasaan  mengikut kefahaman mereka di mata dunia.

Kesannya apa sahaja berita, ianya sangat mudah dan pantas tersebar dalam beberapa minit sahaja menerusi Facebook mahupun YouTube. Dan untuk itu, susah untuk mereka terlepas dari hukuman dan kesannya, ibubapa yang akan menanggung kesan dan kekecewaan akan sikap anak mereka yang liar dan sukar dikawal itu.

Saban hari di KL Sentral, saya melihat gelagat para remaja hari ini yang penuh warna warni. Ada yang sudah pandai ber’couple’ walau masih di sekolah rendah. Ada yang lagak mereka macam gangster datang secara berkumpulan, macam nak pergi bertumbuk sahaja lagak mereka. Ada juga pelajar yang dicekup oleh pihak penguasa di situ kerana menghidu gam.

Dan yang agak sedihnya ramai yang di kalangan mereka ini orang Melayu yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah Pantai Dalam dan Kampung Medan.

Persekitaran adalah faktor utama yang perlu kita sebagai ibu bapa titik beratkan. Memang di luar itu penuh dengan nilai kebebasan berbanding di dalam. Namun dalam usia yang sangat mentah dalam menilai erti kebebasan dan keseronokan, saya rasa di dalam itu masih yang terbaik.

Ibu bapa perlu lebih berperanan dalam hal mendidik anak anak. Kita sudah tentulah mahu yang terbaik untuk anak kita.

Saya ingin berkongsi tentang lagu Pak Abu yang saya tulis pada tahun 1992, mengambil mood lagu-lagu Doel Sumbang yang penuh dengan unsur kritik sosial walau dalam bentuk yang humor.

Liriknya bercerita tentang kisah kawan sekampung saya yang nakal. Saya sertakan sebahagian dari liriknya, moga bermanfaat untuk sama-sama kita renungkan cerita dan mesejnya:

Hei Pak Abu

Hei Pak Abu anakmu ponteng sekolah, dia ada dimeja snooker

Seluar hijau baju tengkorak, rokok dibibir tak mahu lepas

Minggu lepas kau tempeleng cikgunya

kerana merotan anakmu dikhalayak ramai

Sebab dia kurang ajar

Diselaknya skirt pelajar perempuan sekelas

Virus orang kita semua mahu jadi dewasa

Gangster sini, gangster sana

 

Hei Pak Abu anakmu ada di lokap, ditangkap polis kerana mencuri

10 tin Guiness Stout di restoran Ah Chong, bersama 3 rakan sekelas

Hei Pak Abu anak perempuanmu dah lari rumah

Ikut jantan motor yang menjadi idolanya

Kerja dikilang tak mahu lagi,

konon nak jadi model pakwenya boleh rekomenkan

 

Hei Pak Abu, anak perempuanmu buat hal lagi

dia sudah mengandung hasil perkongsian dengan pakwenya

Mana kau nak letak mukamu

Sana sini orang berkata

Anak-anak di zaman ini sukar di kawal lagi

Guru sekolah dilarang merotan

Kalau dicuit mak bapak melenting

 

Hei Pak Abu

 

Hei Pak Abu – Abum ‘Pesta Jiwa’ ( 2001)

* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis.