11 NOV — Saya kenal baik seorang warga emas berumur awal 60an yang saban hari waktu hari bekerja akan meluangkan sedikit masa singgah melayan lagu lagu yang saya nyanyikan sewaktu busking di KL Sentral.

Selalulah saya berbual dengan pakcik ini yang saya panggil ‘bro’ sahaja. Kadang kadang bila ada masa dia mengajak saya minum sambil bersembang sembang tentang berbagai topik.

Beliau masih lagi bekerja sebagai seorang pensyarah di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi terkenal di ibukota. Masih menggunakan khidmat pengangkutan komuter dari rumahnya di Bangi sampai ke KL Sentral.

Katanya kepada saya baru baru ini, “kadang kadang saya kasihan tengok kamu penat cari duit dari siang sampai ke malam, sampai serak suara, berbanding ada orang pula cari duit dapat juta juta dengan cara mudah, menipu, berlakon dan sebagainya”

Advertisement

Saya kata, itu rezeki masing masing. Pakcik inipun saya tabik juga, walau umur sudah menjangkau 6 series, masih mampu bekerja berulang alik naik komuter setiap hari.

Bayangkan, subuh dah keluar rumah. Pulang petang dalam jam 6 sampai ke rumah jam 9 malam.

Bukan senang nak senang. Kita hidup di dunia ini perlukan duit. Ada duit banyak benda yang boleh kita beli bergantung berapa banyak duit yang kita miliki.

Advertisement

Punya duit yang mencukupi akan menjadikan urusan kita menjadi lebih mudah. Apatah jika kita ini kepala keluarga, apa yang membahagiakan mereka, itulah yang terbaik. Makan pakai mereka, segalanya perlu dibeli dengan duit.

Itu sebab kita lihat orang kaya, pak menteri, golongan bangsawan akan mencari atau membeli hanya yang terbaik untuk mereka. Yang terbaik itu tentulah mahal harganya. Makanan yang terbaik, sekolah yang terbaik yang segala galanya di luar negeri sana. Mereka mampu melakukannya kerana punya duit yang mencukupi bahkan berlebihan.

Kenyataannya manusia akan melakukan apa sahaja untuk duit. Yang halal mahupun haram, itu sudah tidak penting lagi di zaman ini. samada dengan menipu,, merompak, mencuri atau apa sahaja cara atau jalannya, manusia akan melakukannya, demi duit.

Seperti kerja yang saya lalui sekarang, saya perlu tekun dengan apa yang saya kerjakan. Ia membuatkan nilai kejujuran itu lebih tinggi nilainya, sekurang kurangnya untuk diri kita sendiri.

Jika kita bermain di hotel, pub mahupun membuat persembahan busking yang dibayar untuk kita membuat persembahan, kita mungkin membuat persembahan dalam keadaan yang biasa sahaja kerana walau apapun kita akan tetap dibayar untuk membuat persembahan.

Jika kita tidak dibayar untuk membuat persembahan busking, kita akan melakukan kerja muzik dan nyanyi kita dengan sungguh sungguh. Memang semua rezeki datang dari tuhan, tapi untuk ke situ kita perlu berusaha dan tekun.

Seorang lelaki Cina sering datang ke ‘port’ saya sambil menghulur seringgit dua. Dan dia sering menunjukkan tanda ‘bagus’ sambil berkata, “ ini duit akan kasi lu ‘ong’”

Saya ingin berkongsi cerita pengalaman saya sebagai seorang busker. Ada cerita cerita yang biasa, ada pula boleh dikategorikan sebagai luar biasa. Jadi saya ingin ceritakan tentang peristiwa yang agak luar biasa yang pernah saya lalui.

Kejadian ini berlaku pada hari Maal Hijrah dalam beberapa tahun yang lepas. Waktu itu hari jumaat, saya pun menjalankan tugas seperti biasa di KL Sentral.

Di kalangan busker, istilah ‘lemau’ itu maknanya hari yang ‘slow’, baik dari segi pendapatan mahupun ‘mood’. Jadi situasi itulah yang saya lalui pada hari itu.

Hari itu segala galanya murung belaka. Collection, mood, hari pun mendung. Selepas merungut lebih kurang tentang perjalanan takdir yang kurang menarik hari itu, saya mengambil keputusan untuk berehat dalam 10 minit untuk mendapatkan ‘mood’ semula.

Dalam setengah jam selepas itu, datanglah seorang lelaki umur dalam lingkungan hujung 40an berpakaian ranggi serba kuning dengan cermin mata hitam lagak seorang mat rock ke arah saya.

Langkahnya laju sambil berjalan ke arah saya.

Katanya, “ dah lama aku cari kau”. Saya menganggap lelaki itu mungkin terlebih belajar ilmu agama sehingga mengakibatkannya gila isim. Memang agak merapu perwatakannya. Apapun saya layan jugalah kerenah dan lagu permintaannya.

Sehabis sahaja lagu, lelaki itu menyeluk ke dalam poket seluarnya mengeluarkan sejumlah duit dan terus dimasukkan ke dalam poket baju saya. Katanya, “ ini rezeki kamu untuk hari ini”, lantas kami bersalaman dan dia terus berlalu pergi hilang dari pandangan.

Apabila saya seluk poket baju, terdapat 8 helai duit kertas rm 100 yang membuatkan saya terus termenung untuk seketika. Manusia biasa tidak akan memberi sumbangan yang sebanyak itu. sehingga saya akhirnya berkira kira samada lelaki itu manusia ataupun malaikat?

2 tahun selepas itu lelaki itu muncul lagi dengan wajah yang berlainan. Waktu itu lama juga kami berbual dan saya layan sahaja kerenahnya sehinggalah sekali lagi dia berlalu pergi dan hilang dari pandangan.

‘Once in a blue moon’, itulah peristiwa menarik yang saya alami sepanjang hidup sebagai busker. Saya tahu ianya tidak akan berulang lagi, sehingga langit kembali terbuka untuk Dia menunjukkan kebesarannya dalam bentuk dan sifat yang tidak akan kita jangkakan.

Bukan senang nak senang. Kita boleh sahaja menjadikan duit sebagai keperluan utama untuk hidup di dunia, cuma masalahnya apabila kita mula menjadi hamba duit dan bertuhankan duit.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.