OKTOBER 26 — 1 Muharram 1436 H bersamaan 25 Oktober 2014, umat Islam di seluruh dunia menyambut tahun baru mengikut kalendar Islam. Bersempena dengan itu, Majlis Sambutan Maal Hijrah 1436H telah berlangsung di PICC, Putrajaya dengan tema Perpaduan Nadi Transformasi Negara.

Hijrah itu ‘berpindah’ dalam bentuk pengertian yang lebih praktikal sifatnya. Kita manusia tidak akan kekal di satu tempat kerana kehendak fitrah alam dan manusia.

Melihat diri dan kehidupan saya sendiri sebagai seorang pengembara yang menumpang di bumi tuhan ini, setiap waktu dan musim adalah proses dan pembelajaran. Ada langkah kita kadang kadang tepat, ada masa kita tersilap pula dan ada masa kita gagal dalam langkah kita.

Kita hidup dan belajar membentuk kefahaman dalam mengkaji dan mengenal makna kehidupan. Kita boleh pilih mana kita mahu, mengejar yang di dalam ataupun yang di luar. Di dalam itu apa yang jiwa mahu, di luar itu apa yang nafsu mahu. Bersederhanalah dalam segala hal dan kehendak.

Advertisement

Saya mempunyai beberapa siri hijrah yang penting dan menarik untuk disemat ke dalam diari hidup. Bahkan semua manusia juga sama seperti saya, saya percaya itu.

Hijrah juga bagi saya bukan sahaja tentang perkara perkara baik yang kita lalui, perkara yang tak menarik juga sebahagian dari hijrah kita juga. Ada orang yang dalam perjalanannya, tersilap langkah telah memilih jalan gelap dan sukar dalam hidupnya.

Hijrah saya yang pertama sewaktu saya mula melangkahkan kaki keluar rumah menuju ke kota tahun 1985 dengan impian untuk menjadi pemuzik dan penyanyi. 9 tahun kemudian kemudian barulah nampak pencapaiannya dari segi kreativiti dan karya bilamana saya diterima sebagai artis rakaman Luncai Emas pada tahun 1993.

Advertisement

Hijrah berikutnya pada 1995 apabila saya berniat untuk menamatkan zaman bujang, di saat akhir kontrak bermain muzik di Klang dibatalkan sehingga membuatkan saya terpaksa meninggalkan kerjaya sebagai pemuzik di kelab mahupun pub dan bekerja sebagai seorang ‘technician’ di sebuah syarikat telekomunikasi walaupun selama 6 bulan sebelum menyertai Yamaha Music dari 1996 hingga 2004.

Kelahiran anak saya yang ke dua yang mengidap autisma juga memberikan impak yang besar dalam hidup dan pandangan saya terhadap kehidupan ini. anak saya lahir pada 1998 dan sewaktu dia disahkan mengidap penyakit itu, semangat saya terhenti untuk beberapa musim dan untuk saya, kehidupan ini memang tidak adil dan tidak akan berlaku adil kepada manusia.

Itu kita katakan ujian dan dugaan yang perlu kita hadapi, samada kita suka mahupun tidak. Melihat sekeliling ataupun di KL Sentral sahaja, saban hari saya melihat ramai golongan manusia yang tidak bernasib baik atau cacat anggota badan mereka. Kehidupan ini adalah refleksi untuk kita selalu bercermin dan menilai kemahuan dan kehendak diri.

Kita perlu belajar bagaimana untuk memahami dan menerima hukum alam. Menafi akan menjadikan kita manusia pendendam dan itu tidak membawa apa makna kebaikan dalam hidup kita pun. Adakah kita diberi banyak pilihan dalam hidup ini?

Perkara yang paling sukar untuk saya buat dalam hidup apabila memilih haluan kerjaya menjadi seorang busker atau pemuzik jalanan. Itu berlaku dalam tahun 2004 apabila saya memilih untuk meletak jawatan sebagai seorang pekerja di Yamaha Music.

Menjadi busker adalah cita cita yang tertanam sejak tahun 1990 lagi sebenarnya. Sehingga tahun 2000 barulah saya mula memberanikan diri untuk bermain muzik di jalanan. Lokasinya di Pasar Seni waktu itu bersama beberapa orang rakan yang sehaluan.

Saya tidak fikir ianya langkah sumbang seorang pengembara apabila memilih hala hidup yang nampak tidak konvensional kerana takdir masih akan berjalan selagi kita hidup dan bernyawa.

Cuma agak ralat kerana waktu itu menjadi seorang busker di sebuah negara membangun yang mana banyak mata yang masih menilai kita sebagai pengemis dari menilai dari sudut seni dan kreativiti yang kita miliki sebagai insan seni.

Bertambah pula dalam keadaan saya yang sudah berkeluarga. Jika kita menjadi busker sewaktu kita bujang, itu adalah yang terbaik jika itu yang terjadi. Tapi itulah, bicara takdir segalanya sudah tertulis.

Apabila saya dicekup polis dan bermalam di lokap pudu jail pada tahun 2005, itulah antara siri hijrah yang perlu saya lalui sehingga membuat keputusan untuk tinggal dan bekerja di Ipoh, Perak sehingga 2009 saya kembali ke Kuala Lumpur meneruskan kembara hidup seorang pengembara yang menumpang di bumi tuhan ini.

Dari musim ke musim, kita akan berpindah, samada dari segi pemikiran mahupun dalam bentuk fizikal. Dari bayi kita dilahirkan ke dunia, membesar hingga menjadi manusia yang dewasa. Kita lalu dan tempuh apa yang datang, apa yang menghalang, kerana kita tahu bukan senang untuk jadi senang.

Dalam artikel saya yang lepas, ada saya bercerita tentang ‘loser’ yang katanya gagal dalam hidupnya. Akhirnya saya menegur atau menasihatinya dengan ayat-ayat yang berbentuk ‘provok’. Akhirnya dia mengakui yang apa yang saya katakan adalah benar dan dia mengakuinya.

Kesannya sejak hari itu, ‘loser’ itu sudah tidak kelihatan lagi sehinggalah baru baru ini dia muncul kembali di hadapan saya sewaktu saya menyanyikan lagu Tears in Heaven. Pada mulanya saya tidak mengenalinya kerana penampilan dan gayanya memang berbeza dari dulu sewaktu di zaman ‘loser’nya. Gayanya nampak kemas dan nampak bersemangat dalam menjalani hidup.

Dia memberikan senyuman dan menunjukkan tanda bagus sebelum berlalu pergi dan lenyap dari pandangan. Saya bersyukur jika dia telah berjumpa jalan yang lebih baik dan bermanfaat dari sebelumnya.

Walau siapapun kita, kita hanyalah seorang pengembara yang menumpang di bumi tuhan ini.

Selamat menyambut Awal Muharram 1436H.

* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.