19 OKTOBER — Menjadi seorang pemuzik dan berbakat dalam muzik adalah anugerah dan kelebihan yang diberi kepada segelintir makhluk di dunia ini. Sekian ramai makhluk di dunia ini hidup dengan watak dan kedudukan mereka masing masing.

Tidak semua orang dikurniakan dengan bakat dan kebolehan di dalam bidang seni. Apatah jika bidang yang diceburi itu mampu menjadi sebuah karier untuk meneruskan kehidupan.

Ada yang jadi doktor, peguam, tukang sapu, jurutera, pemandu dan sebagainya. Ada juga yang walau kerjayanya seorang doktor atau kerjaya professional lain, kerana berbakat di dalam muzik ditinggalkan kerjaya sebagai doktor dan menjadi pemuzik sepenuh masa.

Saya kenal ramai pemuzik. Kebanyakan mereka adalah orang yang jujur. Apabila berjumpa, mereka biasanya hanya akan bercerita tentang muzik dan hal hal yang sewaktu dengannya.

Advertisement

Mereka tidak akan bercerita tentang hal hal yang melibatkan hasad dan dengki, tentang politik yang memeningkan kepala dan apabila topik muzik yang dibicarakan ianya bahkan akan memberi manfaat dan ilmu secara tidak langsung kepada mereka, golongan pemuzik.

Salah seorang kawan baik saya adalah seorang bekas pemuzik pub. Walau hari ini dia sudah punya kerjaya yang baik dan menjamin masa depan selain dari muzik, namun sepanjang saya mengenalinya sejak tahun 2005 dulu, setiap kali berjumpa dia akan bercerita tentang musim lalunya sebagai seorang pemuzik. Bukankah itu satu pengalaman dan perjalanan hidup yang hebat?

Saya tidak fikir jika dia bukan seorang pemuzik , dia akan bercerita tentang kerjaya masa lalunya, kerana jika kita punya kerjaya yang biasa seperti kebanyakan orang awam, apa yang nak kita ceritakan? Semua orang akan melaluinya, berbeza cerita dan pengalaman hidup sebagai seorang pemuzik.

Advertisement

Seperti saya juga seorang pemuzik dan busker, saya bangga dengan kerjaya saya dan akan membukukan kisah hidup saya apabila saya sudah pencen suatu hari nanti kerana itu bagi saya pengalaman yang indah dalam siri hidup yang saya tempuh.

Anak anak saya juga bangga dengan kerjaya ayah mereka sebagai seorang busker, sehingga apabila guru kelas bertanya apa kerjaya ayah, tanpa was was atau merasa rendah diri mereka akan berkata, “ ayah saya seorang busker!”

Begitu juga dengan kawan saya ini, dia akan terus bercerita tentang kisah masa lalunya sebagai seorang pemuzik yang telah melalui fasa demi fasa, dari berpendapatan sebanyak rm 600 sebulan pada hujung tahun 70an, sehingga mampu meraih pendapatan sebanyak rm 3700 sebulan selepas berpuluh tahun bergelumang dalam dunia pub dan hotel.

Sebabnya menjadi seorang pemuzik adalah pilihan yang telah kita pilih dan ianya adalah proses dan pembalajaran tanpa nokhtah.

Hari hari yang dilalui sebagai seorang pemuzik bukanlah sentiasa indah belaka. Sebagai ahli muzik yang bermain secara kontrak dari pub ke pub, paling lama kontrak yang mereka terima mungkin 2 atau 3 tahun, atau juga biasanya 3 ke 6 bulan. Selepas itu mereka akan ke tempat lain jika ada tawaran baru yang mereka terima.

Pengalaman putus kontrak, tak ada job selama 6 bulan, tak ada duit di poket, kena tipu antaranya adalah pengalaman yang indah apabila dikenang walau kita tidak mungkin sanggup untuk melaluinya.

Begitu juga dengan pengalaman hidup saya sebagai busker. Pengalaman dihalau dari restoran, dicekup polis kerana disyaki penagih , bermalam di lokap, dicekup pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), busking di Jalan Alor atau Pasar Seni adalah pengalaman yang indah dan sangat menarik walau saya tidak mungkin sanggup untuk melaluinya sekali lagi.

Hari ini ramai mereka yang ingin menemuramah saya bagaimana hidup sebagai seorang busker. Biasanya saya akan berkata tiada cerita yang menarik untuk saya ceritakan. Apa yang menarik adalah di musim sewaktu ‘struggle’ dulu.

Menurut kata kawan saya, dunia pub hari ini tidaklah semeriah dulu di tahun 70an, 80an dan 90an. Hari ini kebanyakan towkay pub nak jalan mudah tapi menguntungkan. Mereka akan mengambil pemuzik dari Filipina yang dibayar murah, dengan penyanyi perempuan yang seksi dan dengan line up yang simple.

Tidak hairanlah jika kita berkunjung ke pub hari ini hanya ada seorang pemuzik dengan workstation keyboard dan seorang penyanyi perempuan sahaja. Segala muzik sudah diprogramkan. Untungnya towkay boleh save budget. Ruginya pemuzik yang berbakat semakin tidak punya tempat.

Sudahnya mereka yang biasanya full line up 6 atau 7 pemuzik untuk satu band walau punya nama besar di pub pub seluruh Malaysia hanya dibayar sebanyak rm 130 seorang. Persembahan punya hanya 2 kali seminggu. Bagaimana mereka nak meneruskan kehidupan dengan pendapatan sebanyak rm 1000 lebih sebulan?

Bersembang dengan seorang lagi kawan saya yang juga seorang pemuzik klasikal professional, mendengar keluhannya tentang pendapatan seorang pemuzik klasikal sepertinya yang hanya dibayar sebanyak rm 2500 sebulan walau bermain di hotel bertaraf 6 bintang, ianya sangat mendukacitakan.

Tetapi inilah kenyataannya. Saya bersetuju dengan pendapat kawan saya itu. Pendapatan seorang pemuzik dalam aliran jazz, klasikal mahupun flamenco perlulah setimpal dengan tahap professional mereka. Sekurang kurangnya rm 4500 sebulan, itu paling minimum.

Menjadi pemuzik tidak akan menjadikan kita kaya kecuali kita ini memang anak orang kaya. Mungkin seorang dua yang mampu lepas dan sukses, selainnya adalah bersandarkan semata mata hidup dan nasib, roller coaster!

* Pandangan di atas hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat The Malay Mail Online.