5 OKTOBER ― Jika kita seorang singer songwriter atau pun ahli dalam sebuah band yang kalau dalam genre yang kita perjuangkan lari dari tema komersial, adakah muzik kita itu akan diterima? Perkara yang paling menarik jika ianya terjadi ialah kita bikin album dan ianya meletup dan selesailah masalah hidup.

Kita bekerja untuk hidup di dunia kerana duit. Apa cara asal halal, kita akan melakukannnya demi duit untuk meneruskan kehidupan.

Masalah hidup di dunia ini hanya duit sahaja. Biasanya sukses akan dinilai dengan duit. Itulah yang berlaku pada kebanyakan band-band luar negara yang terkenal seperti Pink Floyd.

Sejak era Syd Barret mereka muncul dengan konsep psychedelic dan progresif rock dan diterima peminat pemuzik di sana, bertambah bila album “Dark Side of the Moon” diterbitkan dengan konsep muzik elektronik, eksperimen dan progresif album tersebut mampu terjual sehingga belasan juta unit di UK sahaja.

Advertisement

Siapa tak mahu jadi penyanyi dan pemuzik yang berjaya? Berjaya pula dengan nilai dan idealisma mereka yang solid. Kerja senang, pendapatan lumayan. Tak perlu bangun pagi untuk ke pejabat. Tak perlu berebut rebut atau bersesak dalam kesesakan lalu lintas waktu balik pejabat.

Saya pun kalau boleh akan senang hati jika setiap kali album saya diterbitkan, akan terjual 50 ribu unit di pasaran. Jika itu yang berlaku, saya tidak perlu bekerja keras busking dari tengah hari sampai ke malam lagi.

Tapi kenyataannya bukan senang nak senang. Kita nak bikin album mengikut konsep dan cara kita. Cara kita memang lari dari konsep mainstream dan kenyataannya pendengar muzik dan karya kita tidaklah ramai.

Advertisement

Banyak band band dari luar negara yang berjaya dan sukses tanpa perlu mengikut telunjuk syarikat rakaman. Mereka berkarya mengikut kehendak dan gaya mereka sendiri. Yes, Rush, Pink Floyd, Radiohead, U2, Nirvana, Metalicca, Iron Maiden antaranya adalah band band yang telah sukses dengan acuan dan trademark mereka sendiri.

Di negara kita, tidak banyak band atau penyanyi solo yang punya “attitude” melainkan mereka hadir dan memeriahkan persada seni tanahair atas faktor “cari makan”.  Jadi apabila sesuatu yang bersifat seni itu dilakukan atas faktor “cari makan”, maka nilai seni dan kreativitinya kuranglah.

Pendengar kita kebanyakannya tidak berminat sangat dengan bahan yang berat berat. Kalau mereka membaca buku, buku yang dibaca itu mesti ceritanya tentang kisah cinta lara dan tidak akan membuat orang pening kepala.

Untuk muzik pula, citarasa pendengar terutama dalam golongan remaja hari ini lebih ke arah Kpop.

Maka band band rock kapak tahun 80an dan 90an dulu contohnya tidak punya banyak pilihan melainkan terpaksa mengikut formula yang telah ditetapkan oleh syarikat rakaman tempat mereka bernaung.

Mega band seperti Rush, Yes, Pink Floyd, Iron Maiden dan Radiohead ini, oleh kerana nama mereka sudah besar di kalangan peminat di seluruh dunia, maka segala macam produk atau jenama yang mereka jual seperti baju dan barangan cenderamata menggunakan nama band mereka, semuanya akan laku di kalangan peminat mereka yang ramai di merata dunia.

Dan mereka ini hadir ke persada seni dengan stail dan acuan mereka sendiri dengan tema yang lebih bijak dan matang sesuai dengan konsep muzik yang mereka bawa. Cuba dengar lirik lirik dan cerita dalam lagu lagu Rush, Yes, Pink Floyd dan Radiohead. Bukankah mereka bukan sekadar band yang kosong, tapi penuh dengan idea, kreativiti dan mesej.

Album terbaru Pink Floyd ‘The Endless River’.
Album terbaru Pink Floyd ‘The Endless River’.

Tidak seperti band rock popular di negara kita yang kalau popular pun lagu mereka judulnya “Isabella”, “Misteri Mimpi Shakila”, “Cinta Tiga Dimensi”. Apa mesej yang kita akan dapat dari lagu lagu yang seperti ini? Lagu dan lirik pun terpaksa menggunakan khidmat komposer dan penulis lirik. Sudahnya band tak dapat apa kecuali glamour. Komposer dan penulis lirik yang dapat untung lebih.

Apabila dalam satu band itu nilai kreativiti mereka tidak menyeluruh, maka usia mereka pun biasanya tidak akan lama dapat bertahan. Akhirnya berpecah dan yang masih mampu cari makan biasanya si penyanyilah. Gitaris, pemain dram, pemain bass terpaksalah buat kerja lain untuk menyara kehidupan.

Terbaru, Pink Floyd akan keluar dengan album baru yang judulnya “The Endless River” (2014) pada bulan november ini jangkaannya. Ini album studio mereka yang ke-15 setelah kali terakhir Division Bell (1993) diterbitkan.

Konsep untuk album ini lebih kepada instrumental dan ambience manakala track tambahan yang belum diterbitkan yang dihasilkan adalah sewaktu pembikinan Division Bell pada 1993. Keyboardist Richard Wright telah meninggal dunia pada 15 September 2008.

Roger Waters pula meninggalkan Pink Floyd selepas album Final Cut (1983) pada tahun 1985. Yang tinggal untuk meneruskan perjuangan, itulah David Gilmour dan Nick Mason.

Ramai kawan kawan saya yang hardcore Pink Floyd tidak sabar mendapatkan album “The Endless River” ini. Apa sahaja tentang Pink Floyd emmang menarik, mantap dan sentiasa ditunggu para peminatnya di seluruh dunia.

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.