SEPTEMBER 28 — Seorang kenalan saya dengan riak yang sedih bercerita tentang isterinya yang sedang menderita penyakit barah lidah tahap 4. Mempunyai anak 4 orang dan rutin hidupnya terpaksa berulang alik dari tempat kerja ke Hospital Kuala Lumpur ( HKL) kemudian rumah.

Berkhidmat dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad ( KTMB ) selama belasan tahun hingga ke hari ini, dia diberi kelonggaran dalam menjalankan tugas atas masalah yang sedang dihadapi. Beruntung kenalan saya ini kerana mendapat majikan yang prihatin akan nasib pekerja.

Memang berat dugaan yang dihadapi, membuatkan saya termenung betapa nilai kesempurnaan yang ada pada kita ini terlalu rapuh sebenarnya. Tidak ada jaminan untuk kita di zaman yang penuh dengan penyakit hari ini.

Saya masih tidak punya jawapan tentang segala masalah dan ujian yang melanda umat manusia. Saya cuma dididik agar lebih menerima takdir dari menafikannya.

Advertisement

Bersembang pula dengan seorang lagi kawan, pun berkisar tentang penyakit juga. Dia mengidap sakit paru paru. Umurnya sudah menjangkau 50an, jalan pun sudah tidak segagah dan sehebat dulu, katanya.

Baru baru ini dia dimasukkan ke ICU kerana masalah paru parunya. Katanya, walau kita tinggal di hospital kerajaan mahu pun di hospital swasta, nilai sakitnya tetap sama.

Bezanya mungkin pelawat atau saudara mara yang datang akan merasa lebih selesa kalau bilik sakit kita ekslusif dan first class, tapi kita yang merupakan pesakit, nilai dan rasa sakitnya tetap sama tidak kiralah di manapun kita berada.

Advertisement

Dalam usia yang semakin menginjak ke hadapan, topik yang sinonim adalah hospital, ubat ubatan hospital mahupun tradisional, pantang dan segala macam hal yang terpaksa kena ambil tahu dan ambil berat walau tak suka.

Hari ini farmasi adalah salah satu cabang perniagaan yang paling menguntungkan. Hospital pula setiap waktu dan ketika akan sentiasa sesah dengan pesakit. Sampaikan tempat letak kereta pun sentiasa penuh sepanjang masa.

Zaman ini kalau umur 40 tahun keatas kita perlu bersedia sebab berbagai penyakit akan mendaftar untuk menjadi sahabat kita sehidup dan semati. Dia akan menjadi kawan kita sampailah kita tidak bernyawa lagi.

Saya katakan kita lebih mudah mendapat penyakit, salah satunya kerana faktor makanan yang kita makan hari ini penuh dengan ubat ubatan dan bahan pengawet yang akhirnya merosakkan sistem dalam badan kita. Bayangkan, sampaikan ulat pun takut nak makan sayur walau itu makanan kegemarannya.

Kita pula kalau membeli sayur, nak yang cantik sahaja. Kalau yang sudah dimakan ulat kita tak nak. Nyatalah kita ini memang jenis yang suka menilai pada permukaan cuma.

Bayangkan, sayur sayuran adalah makanan yang penting dan berkhasiat, pun apabila sampai kepada kita nilai khasiatnya sudah berkurangan kerana bercampuk aduk dengan segala macam bahan yang terkandung di dalamnya, sampaikan ulat pun takut nak makan.

Sudahnya hidup kita ini penuh dalam ketakutan dan terlalu berjaga jaga, pun tak boleh juga. Kita tidak punya banyak pilihan dalam hidup ini sebenarnya. Take it or leave it, hidup perlu diteruskan selagi hidup!

Hidup di kota ini pun kita terdedah dengan penyakit juga. Bangun pagi menuju ke parking yang penuh sesak, kereta lain blok kereta kita kerana ruang parking yang terbatas, ini mungkin akan menjadikan darah kita naik di pagi hari lagi. Sampai ke jalanraya kita mengadap jalan yang sesak teruk antara jam 7 pagi hingga 9 pagi.

Sampai di tempat kerja pula kalau angin tak baik, kena marah dengan bos pula atau kita mengamuk dengan pekerja bawahan kita jika mereka tidak menjalankan tugas yang diberikan.

Semua ini akan mengundang penyakit seperti darah tinggi dan jantung. Ini bukan main main, ini betul betul. Dua penyakit ini boleh membawa maut. Lihatlah betapa mudahnya maut datang menjemput kita.

Zaman ini juga banyak sangat virus baru dan lama yang muncul dan mengganas dan yang terbaru virus Ebola. Ebola menjangkiti manusia dan haiwan mamalia seperti monyet, gorilla dan chimpanzee.

Ia dijangkiti oleh sejenis virus dikenali sebagai Ebola yang dinamakan bersempena nama sebuah sungai di Republik Congo dan mula dikesan pada tahun 1976.

Saya tabik kepada mereka yang berumur 60an keatas yang masih steady dan cergas. Ramai kawan saya yang umur sudah menjangkau 6 series masih sihat walafiat, bergerak kesana dan kemari lagak seperti orang muda.

Arwah emak saya meninggal dalam usia 88 tahun. Sehingga usianya mencecah 80 tahun, dia masih sihat dan boleh berjalan walau tak sekuat usia di waktu mudanya. Saya belum tentu boleh mencapai ke tahap emak saya itu, sebab ini pun dah macam macam penyakit yang nak singgah.

Apabila penyakit nak datang tanpa kita undang, terpaksalah kita tepis dengan makan ubat dan jaga makan minum. Selagi kita mampu mencegah, itu adalah terbaik. Sebab kalau dah singgah dan melekat dalam sistem badan kita, memang payahlah nak keluar balik.

Yang terbaik, bila bangun pagi kita masih selesa buang air kecil dan besar, itu sudah cukup menandakan kita masih ok lagi..

Atau kita masih punya satu pilihan lagi. Lupakan hospital, farmasi dan ubat ubatan. Hidup sperti biasa walau sakit, buat macam tak sakit.

* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.