11 MAC — Jikalau zaman persekolahan adalah penting bagi menentukan personaliti seseorang, zaman di universiti adalah lebih penting. Universiti menjadi gedung melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan paling penting sekali, menjadi penentu kepada masa depan negara.

Sudah banyak penulisan yang membincangkan kononnya golongan mahasiswa hari ini adalah lesu dan tidak ke hadapan dalam isu-isu negara. Mungkin ada benarnya, tetapi menyalahkan mahasiswa tanpa mencadangkan penyelesaian adalah jauh lebih teruk.

Saya secara peribadi berpendapat ramai rakan saya di universiti cuba melakukan sesuatu untuk perubahan yang lebih baik. Belajar itu adalah tanggungjawab, tetapi usaha untuk memajukan diri dan negara tidak kurang pentingya.

Media sosial seperti Twitter dan Facebook acap kali menggusarkan saya melihatkan sebilangan sikap mahasiswa yang lebih suka menjadi armchair critic. Mengkritik di sebalik telefon pintar adalah mudah; tetapi mengambil bahagian dan membawa perubahan adalah jauh lebih sukar.

Advertisement

Saya berasa bangga melihat rakan-rakan saya di universiti yang sentiasa mengambil bahagian. Ada yang aktif berpolitik di luar kampus, ada yang sibuk dengan aktiviti sukarelawan, ada yang sibuk dengan aktiviti kebudayaan dan ada yang sibuk dengan pertandingan sukan mewakili universiti.

Mereka ini semuanya mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin membawa perubahan yang lebih baik. Tidak kisahlah bidang apa yang disertai sekalipun, pokoknya mahasiswa harus ambil bahagian. Jikalau mahasiswa merasakan rakan-rakan mereka tidak cakna isu negara, pastikan lebih banyak aktiviti ilmiah dianjurkan di universiti. Begitu juga di lapangan sukan, sekiranya pasukan kurang bersedia, harus ada lebih banyak masa untuk latihan.

Saya juga berasa bangga melihat perkembangan rakan-rakan mahasiswa yang menuntut di luar negara. Menerusi persatuan-persatuan mahasiswa di sana seperti di United Kingdom dan Australia, pelbagai akitiviti dianjurkan untuk memastikan mahasiswa di sana tidak akan lupa mengenai realiti dalam negara. Negara melabur besar untuk menghantar golongan ini ke luar negara, maka mereka juga harus ada rasa tanggungjawab untuk ambil bahagian dalam setiap perkara.

Advertisement

Mahasiswa tidak boleh berpeluk tubuh dan memilih untuk mengkritik sahaja tanpa sebarang tindakan yang bermakna dan boleh membawa impak. Hal ini disebabkan mahasiswa hari ini adalah cerminan kepada masa depan negara.

Untuk memastikan negara kita menjadi lebih baik, mahasiswa harus terus mengambil bahagian dalam memastikan proses pembinaan negara berjalan lancar. Sudah tiba masanya sikap ‘tunggu dan lihat’ atau ‘neutral’ perlu dikikis. Untuk maju ke hadapan, mahasiswa harus pilih pendirian dan ambil bahagian.

Tidak ada salahnya untuk bersuka ria di universiti. Sememangya zaman universiti adalah antara zaman yang paling bebas dan menyeronokkan. Namun begitu, apabila masa memerlukan mahasiswa untuk ambil bahagian dan menyumbang, panggilan itu harus dijawab. Adalah amat malang untuk seorang mahasiswa yang bijak, tetapi mengambil pendirian untuk berpeluk tubuh dalam usaha memajukan masyarakat dan negara menjadi semakin baik.

Sama ada pentas politik luar, aktiviti kesukarelawanan ataupun berlatih sukan untuk universiti, semua ini hanyalah platform. Apa yang paling penting adalah untuk ambil bahagian agar apabila mula berkerja nanti, mereka kekal dengan semangat patriotisme dan akan sentiasa ambil bahagian dalam apa jua keadaan.

Tugasan dan tutorial memang penting, tetapi ambil bahagian untuk memajukan negara adalah tanggungjawab mahasiswa!

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.