What You Think
Wanita Melayu obses dengan tudung — Ariza Mohamed
Malay Mail

16 OKT — Ya! Saya setuju dengan kenyataan ini. 100 peratus.

Ini mungkin akan mengundang kontroversi dan celaan-celaan daripada ‘haters’ sepertimana yang terjadi kepada gadis muda yang mula-mula mengeluarkan kenyataan tersebut. Namun saya juga adalah wanita Melayu yang memakai tudung dan menjaga aurat.

Tanpa perlu kepada statistik, secara pandangan kasar kita memang dapat perhatikan bahawa wanita Melayu memang terlalu obses dengan tudung.

Di bawah ini adalah hasil pemerhatian saya.

Wanita Melayu sanggup berbelanja banyak semata-mata untuk tudung. Pantang ada design terbaru maka wanita-wanita Melayu akan berebut-rebut ingin memilikinya dan menggayakannya. Terdapat bebagai jenis tudung , ada yang dililit, ada yang dipakai sebagai turban, ada yang disilang, ada yang bawal, tidak bawal, ada dengan labucci atau ada yang bertampal-tampal serta berbagai lagi. Tudung-tudung ini ada yang harganya beratus ringgit.

Perniagaan tudung tumbuh bagai cendawan selepas hari hujan. Kadang-kadang saya terfikir apakah orang-orang Melayu tiada perniagaan lain yang boleh dibuat selain menjual tudung? Deretan kedai di kawasan perniagaan orang Melayu hampir semuanya menjalankan perniagaan yang sama. Bahkan ada yang mencapai status jutawan dengan menjual tudung. Ini memang suatu bukti wanita melayu terlalu obses dengan tudung. Cuba lihat apa terjadi apabila Ariani mengadakan jualan besar-besaran? Wanita-wanita Melayu sanggup menunggu dan beratur sejak awal pagi. Apakah ini bukan obses namanya?

Wanita Melayu tidak tahu membezakan antara memakai tudung dan menutup aurat. Kawan-kawan dari luar negara kadang-kadang merasa aneh dengan cara pakaian wanita Melayu. Ada yang memakai tudung tetapi berlengan pendek. Ada yang memakai tudung tetapi berbaju ketat dan jarang. Ada yang tudungnya sekadar menutup kepala tetapi membiarkan dada terbuka. Nampak jelas kecetekan ilmu pengetahuan agama wanita Melayu. Wanita Melayu tidak memakai tudung kerana tuhan. Mereka memakai tudung kerana nafsu, kerana fesyen, kerana obses. Tentu sekali tidak semua, namun rata-rata begitulah.

Wanita Melayu cuma obses dengan tudung tetapi tidak obses dengan ilmu. Wanita Melayu tidak suka menambah ilmu. Bahan bacaan mereka yang paling banyak pun cuma novel-novel cinta murahan. Mereka tidak obses dengan cara-cara untuk memperbaiki diri, keluarga dan bangsa. Bahkan mereka sangat tidak obses untuk mencari ilmu agama yang konon kerananya mereka memakai tudung.

Wanita Melayu sibuk menghias diri dan obses dengan tudung tetapi tidak mahu menghias peribadi. Kecantikan peribadi, kermuniaan akhlak, kesopanan dan kesusilaan, lemah lembut dan prihatin dengan nasib bangsa adalah nilai-nilai yang sudah semakin terhakis. Wanita Melayu tidak mementingkan nilai tetapi mementingkan kecantikan luaran. Oleh sebab itu, jutawan-jutawan Melayu kebanyakkannya adalah jutawan kosmetik! Sedangkan penjual-penjual kosmetik ini tiada seorang pun adalah pakar dermatologi-mereka tiada asas langsung dalam sains kulit, tetapi membeli bahan dasar yang sama dari negeri China dan mengadunnya dengan beberapa bahan dan warna. Namun, kerana ghairah dengan kecantikan segera, ramai wanita-wanita Melayu ini sanggup mengambil risiko.

Wanita Melayu obses dengan tudung tetapi tidak berminat dengan kerja-kerja kebajikan. Sekali lagi tidak semua, namun mungkin kebanyakkannya. Berapa ramai anak-anak gadis yang terlanjur, anak-anak lelaki yang menghisap dadah, anak-anak gelandangan, wanita-wanita yang terbiar, orang-orang miskin, pelajar-pelajar lembam, OKU dan sebagainya yang memerlukan perhatian. Namun berapa kerat sahaja wanita Melayu yang terlibat dalam gerakan-gerakan ini.

Wanita Melayu juga terlalu obses dengan tudung sehingga membahagikan dunia menjadi dua sahaja-wanita bertudung dan tidak bertudung. Dan tentunya wanita yang bertudung adalah yang lebih mulia dari yang tidak bertudung pada pandangan mereka. Saya sama sekali tidak ada keraguan bahawa arahan menutup aurat adalah dari Tuhan dan saya adalah orang yang menjaga aurat sejak remaja dan hingga kini alhamdulillah masih konsisten. Saya menggalakkan remaja menutup aurat namun saya juga tidak setuju untuk merendahkan dan menghina wanita-wanita tidak bertudung. Saya percaya sampai masanya dengan kefahaman yang benar mereka akan akhirnya menutup aurat dan mungkin akan lebih baik daripada kebanyakan kita. Saya berharap kita dapat menilai mereka dengan keperibadian mereka dan bukan hanya dengan secebis kain menutup kepala. 

Akhir sekali saya berharap agar semua wanita Melayu bangkit untuk memperbaiki diri, menambah ilmu pengetahuan, menghias diri dengan peribadi dan akhlak yang baik, kata-kata yang indah dan berbudi bahasa, melakukan kerja-kerja kebajikan dan melibatkan diri untuk tujuan-tujuan murni. Sudah sampai masanya kita dikenali kerana keperibadian indah kita warisan turun temurun kaum Melayu dan akhlak Islam sehingga tidak ada siapa yang akan berani mengatakan wanita Melayu terlalu obses dengan tudung!

* Ini adalah pandang peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online. 

Related Articles

 

You May Also Like