SEPTEMBER 14 — Pada 12 September lalu, saya menghadiri forum santai yang mengganggu pemikiran dengan tajuk ‘Siapa bilang gadis Melayu tak melawan’ yang disampaikan oleh empat ahli panel wanita. Mereka merupakan ahli-ahli Sisters In Islam, Projek Dialog dan Lawyers For Liberty.
Yati Kaprawi, Fadiah Nadwa Fikri, Engku Iman dan Nurhayyu Zainal antara ahli panel yang dijemput membincangkan isu tersebut.
Soalan pertama yang ditanyakan, “apakah definisi Melayu bagi anda semua?”
“Melayu selalunya orang akan kaitkan dengan bercakap dalam bahasa Melayu, memakai baju kurung, lemah-lembut dan bersopan-santun,” ujar Nurhayyu sebagai panel pertama.
Forum itu dilanjutkan dengan soalan “adakah masyarakat Melayu mengamalkan patriarki?” Persoalan tersebut dijawab oleh Yati selaku ahli Sisters In Islam yang tegar dalam memperjuangkan hak kesamarataan gender.
“Pada pandangan saya, patriarki dalam masyarakat Melayu muncul kerana Islamisasi konservatif yang didoktrin oleh para ustaz dan ulama sendiri. Orang perempuan Melayu sering dimomokkan dengan mesti duduk di rumah dan tidak perlu bekerja, hanya perlu melayan suami semata-mata. Ditambah pula dengan hadis-hadis dan ayat Quran tentang kelebihan lelaki dalam hak warisan, kahwin empat dan sebagainya. Semua itu jelas menunjukkan amalan patriarki dalam masyarakat Melayu. Jika kita lihat kepada orang Arab, mereka sangat mengamalkan patriarki sehingga segalanya berasaskan seks. Seks jantina dan mungkin juga ‘seks’ yang dilakukan oleh berlainan jantina. Semua benda nak fikir seks, panggilan nama seks, binatang seks, bulan bintang pun nak berasaskan seks jugak.”
Dakwaan Yati itu anehnya diiringi dengan sorakan dan tepukan apabila panelis mengatakan hal-hal yang kurang sopan dan tidak tepat dengan norma bangsa Melayu yang sebenar. Kebanyakan penonton yang hadir di kalangan bangsa Cina dan India serta beberapa orang “Melayu” yang terkeliru.
Sebagai wanita Melayu muslim yang berbangga dengan definisi panelis pertama, saya tidak faham bagaimana Yati menyimpulkan pemerhatian beliau dan atas kajian apa?
Malangnya, apa yang saya lihat terdapat usaha untuk memecahkan tembok kesantunan Melayu dengan mendedahkan anak bangsa kita ke arah sesuatu yang tidak sopan. Oleh itu, wajarlah teguran dibuat atas kecenderungan sedemikian.
Forum tersebut diteruskan dengan Engku Iman sebagai salah seorang ahli panel, yang mengatakan tentang masalah orang Melayu hari ini yang terlalu suka mengkritik orang lain. “Saya ada post satu karya seni saya dalam Facebook, malah karya seni pun orang-orang Melayu nak kritik, dia orang kata lukisan saya itu ada unsur lucah. Saya lukis gambar perempuan yang nampak buah dada dan saya dikutuk. Sedangkan itu hanyalah seni.”
Iman melihat bahawa masyarakat Melayu sekarang terlalu obses dengan seks dan kerana itu, mereka mengkritik lukisannya.
Saya fikir bukan masyarakat Melayu obses dengan seks. Tetapi kenapa berkarya dengan mendedahkan “asset” yang juga perbuatan ditegah agama? Kritikan Melayu lain itu berasas. Ia normal bagi seorang wanita Melayu akan merasakan perbuatan itu terkeluar daripada norma Melayu sebenar.
Kenyataan itu ditambah oleh Yati, “masyarakat Melayu sekarang dan dulu sudah jauh beza. Saya pun tidak faham kenapa masyarakat Melayu sekarang terlalu fikirkan sangat tentang lucah dan sebagainya. Kalau dulu, perempuan berkemban tidak ada masalah. Tapi sekarang, apabila perempuan berkemban dia kata lucah, tidak boleh tayang body, nanti jadi zina matalah, apalah. Kenapa dari dulu tidak kata macam itu?”
Saya fikir jikalau Yati mengikuti kelas agama, beliau akan tahu sudah lama zina mata, konsep aurat ini menjadi bahan pesanan ustaz dan ustazah zaman-berzaman. Kita terlalu berpandukan filem P. Ramlee untuk dijadikan pedoman cara pakaian zaman dahulu.
Fadiah Nadwa juga menambah, “dulu ada satu kes seorang wanita menyusukan anaknya di tempat awam. Saya terkejut kerana wanita itu dikecam dengan begitu teruk sedangkan dia hanya menyusukan anaknya. Mengapa masyarakat kita terlalu kejam sampai macam itu sekali, di mana hak asasi wanita itu?”
Kenyataan Fadiah Nadwa ini juga sungguh tidak relevan dengan norma Melayu Islam. Hak asasi dan asas malu dalam Islam itu tidak patut dijadikan ukuran. Hak asasi itu merupakan hal yang terlalu rapuh untuk dijadikan hujah dalam situasi tersebut kerana sifat malu seorang muslimah itu terletak pada imannya bukan berasaskan hak asasi semata-mata.
Pelbagai jawapan yang disampaikan oleh para ahli panel sama ada terjawab ataupun tidak dalam forum tersebut wallahu a’lam.
Cuma pada pandangan peribadi saya, segala persoalan yang diutarakan hanyalah dapat dijawab dengan persepsi dan pandangan, tiada jawapan yang tepat meskipun ada ahli panel yang menjawab mungkin belum cukup kuat dengan hujah masing-masing. Sebuah forum yang membincangkan topik wanita tetapi hanya berlandaskan persepsi semata-mata bukanlah suatu hal yang baik, saya kira. Hal ini kerana terdapat unsur-unsur kekeliruan tentang Melayu dan Islam tidak dapat dijawab bahkan diputarbelitkan oleh ahli panel sendiri.
* Nurul Hajjar Atan seorang aktivis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA). Beliau juga bertugas sebagai editor dan penterjemah di sebuah syarikat penerbitan.
** Ini adalah pendapat peribadi penulis atau organisasi dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.
You May Also Like