What You Think
Parlimen perlu kembali ke tujuan asal — Shahrulazwad Ismail
Malay Mail

OGOS 16 — Parlimen ialah kuasa tertinggi pemerintahan sesebuah negara demokratik. Parlimen terdiri daripada ahli-ahli yang dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka. Oleh itu, mereka digelar sebagai wakil rakyat. Pilihanraya dilakukan untuk memilih ahli-ahli Parlimen. Ramai sedia akui bahawa Parlimen memegang amanah yang diberikan oleh para pengundi. Amanah yang dipikul agar negara ditadbir demi kebajikan rakyat. Inilah tujuan asal Parlimen.

Sepanjang zaman diseluruh dunia, seringkali berlaku ketidakpuasan hati rakyat terhadap Parlimen yang dianggotai wakil-wakil rakyat ini. Ini berlaku di mana-mana sahaja negara yang mengamalkan prinsip demokrasi dan rakyat masih boleh membuat perubahan melalui undian di pilihanraya.

Sistem Parlimen negara ini merupakan warisan daripada sistem pemerintahan British yang disebut Sistem Westminster.  Parlimen terbahagi kepada dua iaitu Dewan Rakyat (di UK disebut House of Commons) dan Dewan Negara (di UK disebut House of Lords). Sama seperti di UK, sistem pemerintahan Parlimen negara ini ialah Raja Berperlembagaan dimana Yang Di Pertuan Agong ialah Ketua Negara yang memilih Perdana Menteri daripada kalangan ahli-ahli Parlimen yang pada pendapat Baginda mendapat keyakinan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk memimpin kerajaan.

Berbeza dengan USA, Parlimen mereka disebut sebagai Kongres yang terbahagi kepada Dewan Perwakilan (House of Representatives) dan Dewan Senat (Senate). Presiden pula diundi secara terus oleh rakyat. Tiada monarki di USA. Sistem mereka digelar Sistem Washington.

Rakyat hanya mampu memainkan peranan sejauh mana yang dibenarkan oleh sistem Parlimen itu sendiri. Melalui Sistem Westminster, rakyat mengundi ahli-ahli Dewan Rakyat. Ahli-ahli Dewan Rakyat akan memilih salah seorang daripada mereka sebagai Perdana Menteri. Lazimnya, majoriti ahli-ahli Parlimen adalah daripada parti yang sama yang telah memenangi pilihanraya dan menjadi parti pemerintah yang membentuk kerajaan. Ahli-ahli parti yang sama akan memilih calon mereka yang sedia ada sebagai Perdana Menteri dan selalunya ialah Presiden parti mereka sendiri. Tiada peraturan yang mewajibkan tetapi begitulah tradisinya hasil daripada kuasa majoriti itu sendiri. Rakyat tiada kuasa secara langsung untuk mengundi secara terus mana-mana ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri.

Ini berbeza dengan Sistem Washington di mana pengundi akan mengundi ahli-ahli Kongres dan juga mengundi calon Presiden mereka untuk menduduki Rumah Putih (White House). Seringkali Kongres boleh terdiri daripada majoriti satu parti dan Presiden mewakili parti yang lain maka wujudnya semak dan seimbang (check and balance). Namun begitu, adakalanya timbul konflik berpanjangan antara Kongres dan Rumah Putih atas dasar kepentingan politik parti masing-masing.

Ahli-ahli Parlimen bertanggungjawab memilih pemimpin dikalangan mereka yang paling layak untuk memimpin kerajaan pemerintah. Itulah amanah yang diberikan kepada ahli-ahli Parlimen yang diundi oleh rakyat. Sewajarnya, amanah terhadap rakyat adalah keutamaan berbanding kesetiaan kepada parti sendiri.

Namun begitu, dalam sistem Parlimen di seluruh dunia terdapat unsur yang boleh mempengaruhi amanah ini. Ahli-ahli Parlimen daripada satu parti yang sama adalah sepakat dalam setiap keputusan. Malahan terdapatnya “Whip” iaitu ahli Parlimen dari parti politik yang tugasnya untuk menjaga disiplin parti, memastikan kehadiran ahli-ahli parlimen dari parti yang sama untuk proses undian penting termasuklah kesepakatan agar mengundi mengikut keputusan parti. Memang begitulah sistem demokrasi berparlimen yang terpakai hingga ke hari ini.

Kemampuan seseorang rakyat dalam sistem Parlimen adalah terhad kepada mengundi di pilihanraya. Selebihnya bergantung kepada amanah yang diberikan kepada ahli-ahli Parlimen yang mendapat undi majoriti. Konflik rakyat dengan Parlimen tidak pernah berkesudahan sejak zaman berzaman. Sejarah telah membuktikannya. Malah ada tindakan yang radikal dan tidak wajar diulangi dan dicontohi terutamanya tindakan perang saudara ataupun penggulingan tidak sah.

Pada tahun 1605 di England, The Gunpowder Plot merupakan usaha gagal yang bertujuan mengembalikan kuasa monarki mutlak dengan cubaan membunuh raja ketika itu, King James 1 dengan meletupkan House of Lords pada majlis pembukaan sidang Parlimen dimana Raja memberikan ucapan pengisytiharan. Guy Fawkes merupakan ahli komplot yang ditangkap dengan 36 tong bahan letupan dibawah House of Lords. Imej Guy Fawkes inilah dijadikan topeng watak V for Vendetta dan juga kumpulan penggodam yang menggelar diri mereka Anonymous.

Selain itu, pada tahun 1649 di England selepas Raja Charles 1 digulingkan oleh tentera yang mewakili Parlimen dan akhirnya dibicarakan dan dihukum bunuh, republik Commonwealth of England, Scotland and Ireland ditubuhkan. Parlimen sementara, Rump Parliament ditubuhkan yang sepatutnya memerintah dengan adil dan saksama.

Namun begitu, apabila Parlimen sementara tersebut juga didapati korup ianya dibubarkan oleh Lord Oliver Cromwell. Sepertimana Hang Jebat, tanggapan sejarah terhadap Cromwell terbahagi dua iaitu sama ada sebagai pembela ataupun pengkhianat.

Lord Oliver Cromwell, Lord Protector of the Commonwealth of England, Scotland and Ireland berucap seperti berikut[1][2]:

“It is high time for me to put an end to your sitting in this place, which you have dishonoured by your contempt of all virtue, and defiled by your practice of every vice; ye are a factious crew, and enemies to all good government; ye are a pack of mercenary wretches, and would like Esau sell your country for a mess of pottage, and like Judas betray your God for a few pieces of money.

Is there a single virtue now remaining amongst you? Is there one vice you do not possess? Ye have no more religion than my horse; gold is your God; which of you have not barter’d your conscience for bribes? Is there a man amongst you that has the least care for the good of the Commonwealth?

Ye sordid prostitutes have you not defil’d this sacred place, and turn’d the Lord’s temple into a den of thieves, by your immoral principles and wicked practices? Ye are grown intolerably odious to the whole nation; you were deputed here by the people to get grievances redress’d, are yourselves gone! So! Take away that shining bauble there, and lock up the doors. In the name of God, go!”

‘Bauble’ yang dimaksudkan adalah cokmar Parlimen. Selain itu, terdapat juga versi ucapan berbeza yang diriwayatkan berlaku sepertimana dalam filem tahun 1970 “Cromwell” seperti berikut[3]:

“You are no longer a Parliament, I say you are no Parliament. I will put an end to your sitting.”

Tiada lagi jawatan Lord Protector dengan kuasa sedemikian semenjak peristiwa tersebut. Sekembalinya kuasa monarki melalui sistem Raja Berperlembagaan, mayat Lord Oliver Cromwell digali semula oleh golongan penyokong istana, “royalist” dan digantung terbalik ditempat awam untuk kecaman.

Kedua-dua tragedi tersebut tidak patut berlaku jika Parlimen kembali kepada tujuan asalnya iaitu memikul amanah rakyat.

* Ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.

 


Related Articles

 

You May Also Like