What You Think
Bertindak tegas terhadap perusuh Low Yat dan penyebar khabar angin — Parti Rakyat Malaysia (PRM)
Malay Mail

16 JULAI — Parti Rakyat Malaysia (PRM) hendak pihak berkuasa  mengambil tindakan tegas terhadap penjenayah dan mereka yang menyebar khabar angin yang menyebabkan berlakunya rusuhan di Plaza Low Yat di kawasan  Bukit Bintang Kuala Lumpur pada Sabtu   11 Julai 2015 yang lepas.

Tindakan tegas akan mencegah sesiapa daripada mengambil kesempatan mengguna media sosial memutar-belitkan keadaan, di sini kes kecurian telefon bimbit di Plaza itu menjadi penipuan, seterusnya mencetus peristiwa rusuhan dan jika tidak terkawal akan menjadi pergaduhan perkauman, menimbulkan suasana gelisah dan panik di kalangan masyarakat.

Daripada laporan, pengendalian  pihak polis dalam kes kecurian di  Plaza Low Yat itu mendedahkan pihak polis tidak profesional, dan kelemahan polis ini secara tidak langsung menyebabkan rusuhan berlaku, peristiwa bukan sahaja merisaukan orang ramai bahkan mencemari nama negara sebagai masyarakat yang aman tenteram dan harmoni.

Ketua Polis Negara mengakui bahawa pegawai polis yang bertugas melepaskan seorang suspek yang berpakat dengan suspek pencurian tanpa merujuk kepada pegawai atasan. Suspek yang dilepaskan menyebar cerita lain pula. Kes jenayah pencurian  diputar-belit menjadi penipuan. Cerita diputar-belit bersebar di media sosial, tercetus peristiwa rusuhan Plaza Low Yat yang nyaris berubah kepada pertembungan perkauman. Pada ketika sentimen percanggahan perkauman dan keagamaan di negara kita makin runcing, peristiwa itu membimbangkan rakyat dan mencetus kegelisahan dan ketidak-tenteraman dalam masyarakat.

PRM selalu dengar kata-kata dan cerita bahawa pihak polis menyeru orang ramai bekerjasama untuk membanteras jenayah, tetapi orang ramai merintih, menunjukkan mereka tidak puas hati dengan sikap dan profesionalisme polis. Mereka  mengadu walaupun penjenayah seperti pencuri, penyamun, peragut atau pemecah rumah apabila diberkas oleh orang ramai dan  dihantar kepada polis untuk tindakan selanjutnya, penjenayah tersebut dengan senang dilepaskan begitu sahaja tanpa dikenakan apa-apa tindakan. Oleh itu, penjenayah itu balik melakukan perbuatan jenayah lagi.

Ekorannya,  penjenayah yang tidak dikenakan apa-apa hukuman dan dapat dibebas, menjadi lebih berani.Perbuatan polis begini sebenarnya menyampaikan mesej yang silap kepada penjenayah kerana mereka dapati  tidak ada risiko jika diberkas, dan tidak perlu masuk ke dalam penjara. Kes Plaza Low Yat jelas membayangkannya. Kadar jenayah naik dan orang ramai bertambah risau akan keselamatan diri dan keluarganya dan kurang yakin akan peranan polis.

Dalam masyarakat kita, kawasan kediaman dipagari dan dijaga (guarded and gated) kian bertambah kerana keselamatan penduduk digugat pejenayah. Penduduk makin tidak mengharapkan profesionalisme polis untuk menjaga keselamatan dan ketenteramanan kediaman.

Peristiwa Plaza Low Yat mendedahkan kelemahan polis. Jika polis profesional dalam mengendali kes curi di Low Yat, rusuhan sepatutnya boleh dielakkan. Keadaan cemas  dan sentimen perkauman tidak akan dicetuskan di kalangan masyarakat. 

Dalam keadaan kini, tindakan tegas perlu diambil terhadap perusuh dan penyebar khabar angin. Jika tahap  profesionalisme polis meyakinkan, dan kelemahan diatasi, orang ramai yakin akan keupayaan polis membanteras jenayah, pasti bekerjasama dengan polis. Polis dapat juga mencegah mereka yang ingin ambil kesempatan supaya tidak berani mencetuskan sentimen perkauman di kalangan masyarakat majmuk. Peristiwa rusuhan Plaza Low Yat dapat dielakkan.

PRM berpendapat cadangan IPCMC harus dilaksanakan.

* Ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like