What You Think
Pengampunan buat Anwar — Abdullah Ahmad
Malay Mail

FEBRUARI 25 — Sudah sah Anwar memohon pengampunan atas sabitannya. Datin Seri Wan Azizah telah mengemukakan petisyen pengampunan ke istana negara pada 24 Februari, iaitu hari terakhir ianya boleh dibuat. Tindakan ini tentulah dengan persetujuan Anwar sendiri setelah pilihan ini dihalusi dan diberi pertimbangan teliti dari berbagai sudut. Ramai mengharapkan agar usaha ini berhasil kerana inilah satu-satunya jalan terakhir untuk memperbetulkan segala ketidakadilan dan penganiayaan terhadap Anwar. Apa pun, sementara menunggu keputusan Lembaga Pengampunan, sekurang-kurangnya Permatang Pauh masih kekal bersama PKR.

Dalam pada itu, pelbagai reaksi timbul ekoran dari tindakan ini. Rata-ratanya mempersoalkan apakah memohon pengampunan itu bermaksud Anwar mengaku bersalah?

Dalam kes liwat 2, Anwar telah dibicarakan di-tiga peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan terakhir, Mahkamah Persekutuan. Disemua peringkat perbicaraan tersebut Anwar bukan sahaja tetap dengan pengakuan tidak bersalahnya tetapi tegas menyatakan dirinya telah teraniaya oleh konspirasi politik jahat yang ingin menamatkan karier politiknya. Diperingkat “mitigation” pun Anwar tidak pernah memohon supaya hukumannya diringankan. Tetapi beliau terus menyatakan dirinya tidak bersalah, teraniaya dan tidak mendapat keadilan sewajarnya dari mahkamah, satu tindakan yang dilihat sebagai menyerang badan kehakiman.

Secara keseluruhannya, perlakuan serta ketegasan Anwar sepanjang perbicaraan sangat konsisten dengan seseorang yang teraniaya dan sesungguhnya tidak bersalah. Anwar bertindak atas dasar berani kerana benar.

Mungkinkah mahkamah telah menghukum orang yang sebenarnya tidak melakukakan kesalahan seperti yang didakwa?

Memohon pengampunan tidak wajar dilihat sebagai pengakuan bersalah. Lembaga Pengampunan bukan menentukan sama ada seseorang perayu itu bersalah atau tidak kerana soal itu telah diputuskan oleh mahkamah. Lembaga Pengampunan hanya menimbang untuk membatalkan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah, sama ada keseluruhannya (pengampunan penuh) atau sebahagiannya (pengurangan hukuman). Anwar tidak mungkin akan memohon pengampunan sekiranya beliau disyaratkan untuk mengaku bersalah.

Dalam sejarah negara ini, terdapat beberapa kes pengampunan yang melibatkan tokoh-tokoh politik. Dalam tahun 1976, Dato Harun Idris yang pada ketika itu Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda Umno telah dijatuhkan hukuman enam tahun penjara kerana kesalahan menerima rasuah RM250,000.

Bagaimanapun, Dato’ Harun kemudiannya dibebaskan setelah mendapat pengampunan penuh. Seorang lagi pemimpin UMNO yang mendapat pengampunan ialah Dato’ Mokhtar Hashim, bekas Menteri Belia dan Sukan. Dalam tahun 1982, Dato’ Mokhtar telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah membunuh seteru politiknya, Datuk Taha. Hukumannya kemudian dikurangkan kepada penjara seumur hidup dan akhirnya Mokhtar mendapat pengampunan dan dibebaskan selepas merengkuk selama 10 tahun dipenjara.

Datuk Harun Idris dan Dato’ Mokhtar Hashim berjaya mendapat pengampunan mungkin setelah Lembaga Pengampunan menimbang dan mengambil kira sumbangan mereka kepada negara. Jika itulah menjadi pertimbangan utama, maka Anwar wajar mendapat pengampunan dan dibebaskan. Datuk Harun pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar dan Datuk Mokhtar pula bekas seorang Menteri tetapi Anwar adalah mantan Timbalan Perdana Menteri.

Sungguhpun demikian, mengharapkan Anwar dibebaskan melalui pengampunan tidaklah semudah yang difikirkan. Pertamanya, walaupun kuasa pengampunan berada ditangan Yang DiPertuan Agong (YDA) mengikut perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, tetapi berdasarkan perkara 40 Perlembagaan yang sama YDA harus bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan. Dalam kes Anwar, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dianggotai oleh Peguam Negara, Menteri Wilayah Persekutuan serta 3 orang lagi ahli jawatankuasa yang dilantik. Jadi, melihat dari keanggotaan Lembaga Pengampunan, apakah peluang Anwar untuk mendapat rekomendasi yang positif ? dan wajarkah kita untuk terlalu mengharap?

Sebagai benteng terakhir, Kita percaya Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh YDA akan menimbang rayuan Anwar secara bijaksana dan berhikmah dan dari perspektif yang berbeza dari yang dilihat mahkamah. Selebihnya kita serahkan pada yang maha kuasa kerana apa yang berlaku tentu ada hikmah disebaliknya dan dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita semua.

* Ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like