8 FEBUARI — Sudah dua minggu berlalu sejak akhbar Utusan Malaysia menyiarkan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bertarikh 25 Januari 2015 dengan tajuk ‘Rotan anak bakal jadi kesalahan jenayah’ yang ditulis oleh Zulkifli Sainuddin. Pada tarikh sama, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengeluarkan kenyataan akhbar penuh bertajuk ‘Rotan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kepada kanak-kanak’.
Jika diteliti kedua-dua kenyataan ini, saya mendapati ia seolah dua kenyataan yang bercanggah. Di akhbar, Menteri dilaporkan sebagai berkata :
“ hukuman terhadap kesalahan merotan anak perlu dilaksanakan kerana negara telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) “
“ walaupun merotan anak merupakan sebahagian budaya masyarakat kita, tetapi kita perlu akur dengan perjanjian CRC yang memandang serius perkara tersebut “
Manakala kenyataan akhbar KPWKM pula menyebut :
“ peruntukan yang dicadangkan bukanlah bermaksud supaya setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah “
“ perlakuan merotan, sekiranya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau mental boleh terjumlah kepada melakukan kesalahan jenayah “
Saya melihat trend penulisan di akhbar atau portal akhbar online agak membimbangkan, kerana boleh menimbulkan keraguan dan seolah-olah sengaja untuk mencetuskan isu. Samada menteri yang silap dalam menyampaikan ucapan atau media yang tersilap dalam melaporkan, saya melihat ia perlu dibendung. Kita dapat lihat, setelah tersebar petikan akhbar itu, ramai pengguna media sosial Facebook membuat kenyataan melulu sehinggakan ada yang menggunakan bahasa kesat. Bagi saya, mereka juga tidak boleh disalahkan sepenuhnya, kerana mereka cuma melaporkan dari akhbar. Tidak kurang juga beberapa institusi dan NGO yang mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan Menteri KPWKM dan menggesa larangan itu ditarik balik. Sedangkan, hal sebenarnya ialah perkara ini masih di peringkat cadangan dan belum diangkat untuk diluluskan sebagai satu rang undang-undang baharu. Kedua, bukan rotan yang dijadikan pokok isu oleh KPWKM, tetapi perlakuan merotan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal dan mental yang menjadi perhatian KPWKM.
Berbalik kepada kewajaran rotan atau tidak, saya melihat isunya sebenarnya lebih besar dari sekadar merotan. Ia berkait dengan pendidikan dan penjagaan kanak-kanak itu sendiri. Ibu bapa perlulah memainkan peranan dengan sepatutnya dalam proses mendidik dan menjaga anak mereka. Proses mendidik ini termasuklah merotan jika mereka membuat kesalahan, sebagai satu hukuman kepada mereka. Ada juga ibu bapa yang menggunakan kaedah lain dalam menghukum. Apa yang penting ialah, hukuman yang dibuat ialah hukuman yang berhikmah. Perkara ini sebagaimana petikan firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125, terjemahannya : “serulah ke jalan Tuhanmu dengan berhikmah dan contoh teladan yang baik”. Sayyid Qutb menafsirkan hikmah sebagai “kemampuan pendakwah untuk memerhati realiti setiap sasaran dakwah dan keadaan mereka, lalu menyampaikan Islam dengan cara yang paling sesuai, kepelbagaian cara bercakap dan isi kandungan yang bersesuaian dengan kadar akal dan pemikiran yang belum mampu dipikul mereka“. Filasuf barat pula banyak menggambarkan maksud hikmah sebagai kebolehan untuk berfikir dan bertindak menggunakan pengetahuan, pengalaman, pemahaman, akal dan gerak hati. Dalam konteks hubungan ibu bapa dan anak, tafsiran ini membawa maksud ibu bapa perlulah menggunakan cara yang paling sesuai untuk mendidik anak-anak mereka.
Di sini jelas bagi kita bahawa tindakan sesetengah ibu bapa yang menggunakan rotan (atau tali pinggang dan alatan lain) untuk memukul anak-anak mereka (sehingga membawa maksud mendera) sebagai suatu tindakan yang perlu dicegah dan dibendung. Begitulah juga dengan cadangan KPWKM dalam peruntukan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu ini. Ibu bapa yang mengabaikan soal pendidikan dan penjagaan anak-anak tidak wajar bahkan tidak layak menggunakan rotan dalam menghukum anak-anak mereka, kerana ia jauh sekali dari konsep hikmah dan tidak bertepatan dengan nilai-nilai kemanusiaan.
Berkenaan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), saya melihat penyertaan Malaysia ke dalam konvensyen ini membawa maksud bahawa hak kanak-kanak terjamin. Antara lainnya, dalam perkara 18 di bawah sub topik ‘Tanggungjawab Ibu Bapa’ dinyatakan bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab utama untuk membesarkan kanak-kanak dan negara perlu memberi bantuan sewajarnya. Dalam perkara 27, disebut mengenai pengiktirafan hak kanak-kanak dalam perkembangan fizikal, mental, kerohanian, kemoralan dan sosial mereka. Perkara 28 & 29 menyentuh mengenai hak kanak-kanak kepada pendidikan. Ternyata, perkara-perkara ini amat baik untuk kanak-kanak.
Berkenaan dakwaan Kementerian menerima bulat-bulat undang-undang Barat dan dakwaan liberal serta pengabaian terhadap hadith Rasulullah mengenai rotan dalam mendidik anak, saya rasa sudah banyak penjelasan yang dibuat oleh pihak yang lebih berautoriti. Antaranya perkongsian daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di laman Facebook, boleh rujuk di sini https://www.facebook.com/JabatanKemajuanIslamMalaysia/posts/885008878216349. Justeru saya melihat masyarakat jangan terburu-buru melabel dan perlulah melihat konteks sesuatu perkara itu sebelum mengaitkannya dengan mana-mana teks Al-Quran, hadith atau pandangan ulama’ dan sarjana.
Akhir sekali saya berharap agar pihak Kementerian terus berfikir, mengeluarkan dan melaksanakan idea-idea untuk menyelesaikan masalah-masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Kementerian perlu bekerja untuk rakyat, bukan bersenang-lenang goyang kaki dalam pejabat. Kedua, masyarakat terutama mahasiswa mengamalkan sikap menyelidik (dalam surah Al-Hujraat ayat 6 ada menerangkan mengenai konsep ‘tabayyun’) sebelum mengeluarkan pandangan mengenai sesuatu perkara. Jangan terlalu terburu-buru kerana mungkin sahaja kita tidak tahu. Namun demikian, saya memuji sikap mahasiswa yang merespon isu ini kerana ia menggambarkan bahawasanya anda benar-benar layak digelar seorang mahasiswa. Ketiga, media perlulah melaporkan berita yang benar dan tepat sahaja, jangan hanya berfikir untuk melariskan jualan akhbar dengan tajuk-tajuk yang bersifat populis dan kontroversi semata-mata, kerana ia boleh menimbulkan banyak keburukan dari kebaikan.
*Mohd Ammar Atan merupakan presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM)
** Ini adalah pendapat peribadi penulis atau persatuan dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.
You May Also Like