What You Think
Perjalanan ke Morocco ― Mujahid Yusof Rawa
Malay Mail

11 JUN ― Morocco dalam bahasa Arab ialah Maghrib, ia sebuah negara monarki yang masih bertahan dengan pemerintahan beraja. Negara yang penduduknya sekitar 40 juta orang terkenal dengan nama-nama tempat

seperti Casablanca dan Marakesh, syurga untuk pengunjung yang mencari pertemuan Arab dan Eropah.

Negara yang berbangga dengan pengaruh Perancis ini menjadikan bahasa Perancis sebagai bahasa kedua selepas bahasa Arab. Namun kebanyakkan papan tanda di kedai-kedai lebih suka menulis bahasa penjajahnya malah di restoran yang kami nikmati makan tengahari menyediakan menu dalam bahasa Perancis dan menyebabkan sukar untuk kami memahami kecuali dengan melihat gambar-gambarnya.

Mengenali Morocco

Sebelum ini saya membaca Morocco daripada buku-buku sejarah Islam, Morocco adalah merupakan tempat pelancaran kempen Islam ke Eropah melalui Sepanyol. Andalusia jatuh ke tangan Islam melalui kawasan ini begitu juga kempen Islam menguasai Siccily atau As Saqaliyah bermula dari kawasan ini.

Kaum Berbers yang kemudian memeluk Islam adalah kaum yang digeruni kerana keberanian mereka meluaskan pengaruh Islam ke Eropah. Kerajaan Idrisiyyah, Fatimiyyah, Aghlabiyyah dan Kalbiyyah adalah nama-nama kerajaan yang meluaskan pengaruh Islam sebelum kejatuhan kuasa Islam di Eropah pada tahun 1059 Masehi.  Daerah Maghrib merupakan benteng dan titik tolak penting untuk memahami perkembangan Islam di Eropah, begitulah sejarah meletakkan Morocco dalam peta dunia dan peta Islam secara khusus.

Casablanca dan Humphrey Bogart

Saya menghadiri mesyuarat eksekutif Kesatuan Parlimen Negara Islam (Parliamentary Union of OIC Member States - PUIC) bagi persediaan konferensi yang dijangka akan di adakan di Mali pada tahun 2015.


Datuk Mujahid Yusof Rawa bersama rombongan ke negara Maghribi. ― Gambar ihsan pejabat Datuk Mujahid Yusof Rawa

Malaysia berjaya mendapat tempat dalam Jawatankuasa Eksekutif ketika di Tehran sebelum ini bagi mewakili kelompok negara Asia. Bagi meneruskan kesinambungan, saya dan Datuk Seri Reezal Merican MP Kepala Balas diminta hadir kerana semasa konferensi di Tehran kami menyatakan hasrat Malaysia menyertai Jawatankuasa Eksekutif untuk membentuk agenda mesyuarat dan dalam agenda empat jawatankuasa khas termasuk isu wanita.  Saya menerima arahan untuk hadir di sini dengan berat hati kerana Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-13 sudah bermula pada 9 Jun lepas dan saya terpaksa tidak hadir selama seminggu ini namun menyedari ianya juga adalah tanggungjawab negara bagi bagi mewakili Parlimen Malaysia, maka saya bersedia memikulnya. Meskipun demikian, saya juga teruja pada waktu yang sama untuk menjejak kaki saya di bumi Maghrib.

Casablanca adalah bahasa Sepanyol dengan bahasa Arabnya ialah Darul Baidha’ yang membawa maksud ‘rumah putih’. Saya pernah mendengar Casablanca dari sebuah filem yang mengambil sempena nama ini dibintangi oleh Humphrey Bogart dan Ingrid Bergman.  Filem ini merupakan kisah perjuangan dan cinta berlatarbelakang peperangan dunia kedua.  Semasa saya di bangku sekolah, saya menyangka Casablanca adalah negara di Eropah, hanya setelah membaca tentang sebuah negara bernama Morocco barulah saya memahami ia adalah sebuah negara Arab dari sudut bahasa dan bangsanya.

Casablanca adalah yang paling padat penduduknya membentuk lima juta dari keseluruhan penduduk, adalah bandar komersial dan perniagaan yang terdiri daripada enam daerah dan setiap daerah mempunyai ketua pentadbirannya tersendiri. Sememang pun bangunan di sini kebanyakannya perniagaan dan jalannya lebih sibuk berbanding Rabat.  Ia mempunyai pantai yang indah dan di sana terletak monumen Masjid Hassan II yang terletak di atas laut yang ditambak. Melihat masjid ini dari jauh menjadikan Masjid Putraja dan Masjid Wilayah Persekutuan agak kecil, apatah lagi apabila melihat menaranya yang setinggi 210 meter dan dapat menempatkan 105,000 jemaah pada satu-satu masa.  Senibinanya macam senibina Moors yang memenuhi lanskap bangunan warisan di Andalusia. Agak keterlaluan jika saya menyatakan ia seumpama kita melawat bangunan lama peninggalan Islam di Andalusia namun itulah hakikatnya walaupun masjid ini masih baharu dan selesai pembinaannnya tahun 1993.

Kami tidak dapat solat dalam dewan utamanya kerana pintu hanya dibuka pada waktu-waktu solat sahaja. Melihat pantainya yang di seberang sana sudah menjadi Eropah dalam hanya beberapa batu nautika memberikan ketenangan pada saya dan delegasi setelah hampir 16 jam meredah benua untuk sampai di sini dari Malaysia.

Kalaulah masjid ini wujud semasa filem Casablanca tahun 1942 pasti Humphrey Bogart akan beraksi di sini.

Rabat

Rabat adalah pusat pentadbiran kerajaan, suasananya tidak sesibuk Casablanca, di sinilah tempat kami menginap iaitu Hotel al Hassan. Hotel ini mengambil konsep bangunan lama bercirikan Moors dengan ukiran-ukiran indah ciri Maghribi.  Masuk ke dalam hotel ini seolah membawa kita ke zaman 20-an Maghribi semasa di bawah penguasaan Perancis hatta dalam setiap bilik gambar zaman pada zaman tersebut menghiasi dinding bilik hotel saya.

Kami turut bertemu dengan rombongan Speaker Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam lawatan rasminya ke sini yang sampai lebih awal dari kami. Mereka menginap di hotel yang sama serta pada malam kami sampai iaitu 9 Jun semua daripada kami menjadi tetamu kepada Duta Malaysia di Morocco di kediamannya.

Pada majlis makan malam itu kami bertemu dengan beberapa Senator dari Dewan Negara dan sempat bertukar-tukar pandangan. Jarang sekali suasana ahli dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara dapat duduk berbual sekali.

Walaupun Dewan Negara adalah dewan yang lebih tinggi kerana Dewan Rakyat statusnya adalah dewan rendah namun amalannya di Malaysia, Dewan Rakyatlah yang banyak menentukan pelbagai perbahasan rang undang-undang sedangkan perbahasan Dewan Negara hanya untuk meluluskannya secara akhir sahaja.

Kedudukan Senator adalah melalui pelantikan sedangkan kami adalah melalui pilihan raya.  Suasana di rumah kediaman duta malam itu sangat ceria dan kami menikmati hidangan rendang dan masakan Malaysia yang lain.

Selesai majlis kami diperkenalkan kepada tukang masak yang rupa-rupanya adalah pelajar di sini yang membantu isteri tuan duta kita di dapur.

Hajat lain

Selain daripada memenuhi urusan rasmi Parlimen Malaysia, saya ada satu hajat peribadi di sini. Hajat ini tidak termasuk dalam tentatif program tetapi ia bermakna kepada saya jika saya dapat langsaikannya.

Rugilah setelah merentasi benua ke sini saya tidak mengambil peluang keemasan ini ini.  Hajat ini bukan luar biasa tetapi saya secara peribadi akan merasakan perjalanan ini tidak lengkap tanpanya.

Hajat saya ialah untuk bertemu dengan seseorang yang saya mengenalinya melalui bahan-bahan bacaan saya dan minat saya kepada pendekatan pemikiran Islamnya yang luas lagi terkini. Saya ingin bertemu dengan ulama tersohor Morocco iaitu Syaikh Dr Ahmad Raysuni.

Saya mengenali namanya lewat sahabat saya Ustaz Wan Ji Wan Hussin pengasas Sekolah Pemikiran Al Shatibi yang mempopularkan disiplin ilmu Islam yang luas iaitu ilmu dan pemikiran Maqasid Syariah.

Kebetulan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur April lalu saya sempat memborong beberapa buku Dr Ahmad Raysuni dan mendapati pemikirannya sangat menarik. Malah beliau mendapat jolokan ‘Shatibi Kecil’ (Al Shatibi - ulamak Islam Granada meninggal 790H terkenal dengan bukunya Al Muwafaqat) kerana ketajamannya dalam disiplin ilmu Maqasid Shariah.

Hajat saya kesampaian melalui seorang pelajar tahun akhir, Ustaz Izar yang saya temui semasa majlis makan malam di rumah duta. Bersama dengan anak murid Dr Ahmad Raysuni dari Indonesia iaitu Ustaz Nasrullah calon PhD, beliau berjaya mendapatkan temujanji pada saat akhir.

Sememang rezeki saya kerana secara kebetulan Syaikh Raysuni berada di Rabat walaupun beliau kini mengajar di Qatar. Kalau sudah jodoh apa nak dikatakan lagi, semuanya dipermudahkan Allah SWT. Segala puji bagi Allah.

Pertemuan dua Jam

Ustaz Izar mengetuk pintu bilik hotel saya supaya saya bersiap segera kerana Dr Raysuni bersetuju bertemu kami pada pukul lapan malam. Kami menaiki teksi dari hotel dan hanya sampai pada pukul 8.20 di bangunan Harakah Islah dalam keadaan pintunya tertutup.  Saya sudah kecewa pada mulanya kerana kami sudah terlewat dan menyangka Dr Raysuni sudah meninggalkan pejabatnya kerana beliau sememangnya mempunyai jadual yang ketat.  Namu kami lega apabila pintu automatik dibuka dan seorang penyambut tetamu tersenyum menyatakan Syaikh sedang menunggu di atas. Kami disambut mesra oleh tokoh ini dengan senyumannya dan dibawa ke bilik tetamu dihiasi cara ruang tamu Arab.  Ustaz Nasrullah memperkenalkan saya untuk memulakan perbualan dan saya terus mengambil alih memperkenalkan diri saya sebagai Ahli Parlimen yang hadir ke mesyuarat jawatankuasa eksekutif PUIC.

Saya mengambil kesempatan ‘breaking ice session’ menceritakan sedikit sebanyak tentang PUIC dan hanya beberapa minit kemudian perbualan kami menjadi lebih selesa untuk masuk ‘gear’ kepada persoalan yang lebih menarik.

Saya sempat bertanya kepadanya tentang buku karangannya di tangan saya tentang “Pemikiran Politik Islam” dan isu semsasa dalam bab Perlaksanaan Syariah.  Beliau menjelaskan sambil menunjukkan muka surat yang dimuatkan pendapatnya sambil menyatakan syariah itu luas dan melibatkan pelbagai aspek kehidupan. Gayanya menjelaskan sesuatu begitu teliti seperti tulisannya dan penuh berkeyakinan menetapkan hujahnya.  Ada satu tajuk kecil dalam buku ini yang berbunyi “Syariah..Bila Hudud”. Saya memahaminya sebagai “syariah tanpa hudud, bagaimana ini boleh berlaku?”. Beliau tersenyum sambil menunjukkan muka surat tajuk kecil itu dengan menjelaskan bukan maknanya “syariah tanpa hudud” akan tetapi “bila hudud” yang dimaksudkannya ialah “Syariah Tanpa Sempadan” dan menggunakan perkataan ‘hudud’ secera literal maknanya iaitu “tiada sempadan” dan bukan bermaksud secara istilahnya iaitu hudud dalam undang jenayah Islam.

Saya amat beruntung kerana tuan penulis sendiri menjelaskan maksudnya yang fahaman saya tersasar ketika membacanya.

Hudud hanya satu peratus

Ketika berkongsi pengalaman dalam isu hudud yang hangat diperkatakan, beliau di sebalik cuba memahami realiti politik Malaysia menyatakan bahawa undang jenayah Islam adalah sebahagian dari syariah tetapi bukan segalanya boleh dikatakan syariah.  Sebenarnya beliau menulis panjang tajuk ini dalam buku yang berada di tangan saya ini bahawa syariah itu luas melibatkan semua aktiviti dan pergerakan hidup seorang Muslim daripada aspek ibadah sehinggalah kepada pemerintahan.  Syaikh Raysuni cuba keluar dari pentakrifan syariah secara istilah yang padanya tidak mewakili ruh dan semangat sebenar Syariah dari maksud bahasanya, lalu menjawab persoalan hudud dan perlaksanannya dengan beliau menyatakan: “Hudud hanya satu peratus, anda sepatutnya menumpukan 99 peratus bakinya untuk menzahirkan keluasan syariat.” Bagi Syaikh Raysuni, istilah “syariat diabaikan” tidak pernah berlaku kerana sepanjang sejarah umat Islam walaupun dalam keadaan lemah sekalipun, syariah dengan maknanya yang luas dari segi kehidupan, akhlak, ibadat, mualamah dan lain-lain masih beroperasi segar dalam kehidupan umat ini, cumanya undang jenayahnya sahaja belum, jadi bukanlah bermakna keseluruhan syariat itu diabaikan.

Beliau bersetuju tentang perlunya suasana kehidupan yang selesa diberikan kepada rakyat dan menyatakan itu juga adalah perlaksanaan syariah.

Kami juga berbincang tentang hukum murtad yang baginya mestilah memenuhi syarat “riddah” iaitu menentang kewujudan Islam, jikalau tidak ada syarat ini dan murtad berlaku atas kerelaan kerana meyakini agama lain dan ia dilakukan tanpa menimbulkan huru hara maka hukuman bunuh tidak dikenakan.

Baginya hukuman bunuh murtad bukan sebahagian hudud tetapi hanya takzir sahaja.  Walaupun seseorang yang murtad tanpa pengkhianatan kepada negara Islam dikenakan hukuman tetapi bukan kepada tahap dihukum bunuh.

Beliau juga mempunyai pandangannya terhadap campur tangan kuasa yakni pemerintah dalam menentukan akhlak berpakaian dan adab umum. Syaikh Raysuni berpendapat biarlah masyarakat yang menentukan piawaian Islam dengan mendidik dan membentuk adab Islam yang betul, jika seseorang menyalahi keadaan ini maka biarlah masyarakat yang membetulkannya dan bukannya melalui penguatkuasaan oleh pemerintah.  Baginya soal pakaian atau aurat sekali pun jika seseorang menyalahinya biarlah dia sendiri merasakannya melalui teguran berhikmah daripada suasana masyarakat yang hidup dengan adab dan sopan memelihara aurat. Keterasingan seseorang dalam pakaiannya sendiri adalah bentuk menyedarkan seseorang yang dia sebenarnya telah menyalahi suasana dan adab masyarakat tersebut.

Pandangan Syaikh Dr Ahmad Raysuni mungkin pada sesetengah daripada kita akan melabelkannya sebagai liberal namun harus diingat bahawa beliau adalah merupakan Timbalan Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan pengarang pelbagai kitab pemikiran Islam terkini, malah pengasas moden kepada pemikiran Maqasidi yang sangat diperlukan hari ini untuk melawan pemikiran jumud, ekstrim dan liberal dalam simpang siur pemikiran ummah hari ini.

Saya berasa amat bertuah kerana pertemuan dua jam itu memberi ruang untuk saya bermutalaah pemikiran saya yang berusaha untuk membawa pemikiran politik Islam dalam waqie dan konteks Malaysia.

Pandangan saya terhadap isu politik dalam neraca Islam lewat penulisan saya dan buku-buku saya yang dianggap kontraversi kini terdedah kepada perbandingan piawaian Syaikh Dr Ahmad Raysuni dalam perbincangan dua jam ini.

Sekurangnya saya bersyukur, fahaman saya tidak lari dari skop pemikiran yang saya manfaatkan daripada Syaikh Dr Ahmad Raysuni ‘As Shatibi Kecil’ zaman ini.

Selamat tinggal

Saya berjaya mendapat tandatangan beliau pada buku hasil nukilannya yang saya beli di Kuala Lumpur. Kami berpisah malam itu dengan harapan saya dapat membawanya ke Malaysia untuk dikongsikan ilmunya nanti.

Pagi ini penerbangan saya akan akan transit Paris dahulu sebelum ke Kuala Lumpur yang akan memakan masa hampir dua hari lamanya sebelum dapat menjalankan tugas kembali di Parlimen.

Saya juga harus mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kecil Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) sejurus sampai di Kuala Lumpur nanti, semuanya hanya boleh saya tumpu setelah dinukilkan sedikit coretan perjalanan ini. Sudah tentu selain menjalankan tugas PUIC ini, pertemuan dengan tokoh ulama Morocco Syaikh Dr Ahmad Raysuni adalah amat bermakna bagi saya.

Pagi ini saya bersiap untuk transit di Paris, mungkin juga Menara Eiffel akan melahirkan ide-ide baru untuk saya titipkan nanti.

Selamat tinggal Casablanca.

*Datuk Mujahid Yusof Rawa adalah Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat.

 *Ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like