MAY 26 — “Katakan, Chong Wei vs Misbun atau Lin Dan vs Misbun atau Lin Dan vs Taufik Hidayat (Indonesia), ketika itu, siapakah yang disokong?” — Dr. Ridhuan Tee Abdullah
Untuk mengulas sedikit tentang pertanyaan yang diutarakan oleh Dr. Ridhuan Tee, saya sebagai seorang “Cina Malaysia” yang mungkin termasuk dalam golongan “ultra kiasu” yang dimaksudkan oleh Dr. Ridhuan Tee, ingin dengan jelas memberitahu kepada Dr. Ridhuan Tee and seluruh rakyat Malaysia bahawa jika benar-benar berlakunya Lin Dan vs Misbun, saya amat pasti bahawa saya akan menyokong Misbun.
Saya ingin memberitahu bahawa saya dan juga majoriti rakyat Malaysia menyokong pasukan Malaysia dalam Piala Thomas ini bukan kerana pemain-pemain kita adalah Cina tetapi hanya atas sebab mereka mewakili Malaysia. Jadi jika Misbun vs Lin Dan benar-benar berlaku, asalkan Misbun adalah mewakili Malaysia, saya percaya majoriti rakyat Malaysia tidak kira sama ada mereka adalah berasal dari golongan “ultra kiasu” tetap akan menyokong Misbun.
Saya masih ingat bahawa beberapa tahun yang lalu, semasa Malaysia memasuki perlawanan akhir Piala Suzuki dalam bola sepak, saya yang bukan peminat bola sepak pun berada di depan TV untuk menyorak untuk pasukan Malaysia. Sebabnya hanya satu, kerana saya sebagai rakyat Malaysia bangga dengan prestasi pasukan negara kita dan berharap pasukan Malaysia akan memenangi piala tersebut biarpun saya tidak tahu langsung tentang peraturan bola sepak. Apa yang saya tahu hanya adalah bola itu kena memasuki pintu gol.
Jadi saya memang tidak faham apa yang ada kena mengena dengan sukan dan kaum. Apa yang saya tahu tentang sukan hanya adalah tentang kemahiran seseorang pemain dan sikap pemain itu dan juga apa yang penting sekali adalah negara ataupun kelab yang diwakili oleh pemain tersebut. Oleh itu, saya berharap Dr. Ridhuan Tee sebagai seorang yang akademik bolehlah melihat sesuatu perkara dengan lebih luas dan dari sudut yang lain dan bukannya hanya dari sudut kaum dan agama sahaja.
Selepas membaca artikel Dr. Ridhuan Tee, saya bertanya kepada diri sendiri, “Jika Dr. Ridhuan Tee vs Misbun dalam badminton, siapa yang akan saya sokong?”. Saya amat pasti saya akan menyokong Misbun kerana saya berasa beliau adalah lebih layak dari segi kemahiran dan sikap beliau untuk mendapatkan sokongan saya berbanding dengan Dr. Ridhuan Tee walaupun Ridhuan Tee ini adalah “Cina Malaysia”.
* This is the personal opinion of the writer or organisation and does not necessarily represent the views of The Malay Mail Online.
You May Also Like