10 FEB — Saya terpanggil untuk memberikan komen tentang kenyataan yang diutarakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Februari 2014 yang lalu. Hal ini merujuk kepada kementeriannya yang mensasarkan 20,000 guru bahasa Inggeris ke United Kingdom untuk memperkasakan ilmu bahasa itu sendiri. Mungkin ada dalam kalangan kita terfikir sudah ada tanda-tanda urat bahasa Inggeris lebih tertimbul berbanding bahasa kebangsaan. Pada hemat saya, saya puji tindakan kerajaan untuk memperkasa bahasa Inggeris.
Tidak dinafikan ramai dalam kalangan pelajar kita yang masih tak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Ini realitinya. Apakah punca sebenarnya? Saya berharap mereka yang terpilih ini dapat membaiki barah yang ada, bukan menambah barah lagi. Silakan ke sana dengan harapan dapat mengajar bahasa Inggeris seperti “guru-guru Inggeris sejati.”
Persoalannya sekarang, bagaimanakah dengan bahasa kebangsaan? Adakah kerajaan serius untuk mengangkatnya menjadi bahasa ilmu? Seriuskah mereka atau sekadar manis di bibir sahaja? Jika serius di manakah modulnya sekarang? Di dalam kantung DBPkah atau tersangkut di kementerian pendidikan Malaysia? Dapatkah DBP sebagai pelaksana dasar memperjuangkannya? Di sinilah persoalannya sebenar. “Ketidaktetapan” undang-undang (pelaksana dasar) membuatkan bahasa Melayu menjadi semakin lembik dan menuju ke gear belakang. Ingin saya rantaikan di sini bahawa sikap kita (rakyat Malaysia) — pelaksana dasar/undang-undang - kerajaan sangat berkait. Pada pandangan saya, “ketidaktegasan” pelaksana dasar membuatkan bahasa kebangsaan tidak begitu kukuh di dalam negara sendiri. Kenapa perkara ini terjadi? Adakah individu atau pengkaji yang dilantik pernah mengkaji isu ini secara mendalam? Sudah tentunya masalah tidak berpokok kepada orang Melayu yang ingin berbahasa Inggeris, sekali pun menteri atau sesiapa sahaja. Itu bukan soalnya. Bahkan penoreh getah di kampung pun jika berupaya berbahasa Inggeris akan dipandang tinggi kerana ilmunya malah lebih luas jambatan komunikasinya berbanding lepasan universiti yang tidak boleh berbahasa Inggeris. Ini lebih menyedihkan. Pokoknya adalah pelaksana dasar yang memainkan peranan penting untuk melaksanakan polisi bahasa dalam bentuk yang lebih dekat dan berkesan kepada rakyat Malaysia.
Saya bermohon pihak yang berkenaan “LEBIH GARANG” dan tegas dengan setiap idea yang diutarakan untuk disampaikan kepada pihak kerajaan, swasta, dan NGO. Orang Bangladesh (lebih 300 ribu orang kini) yang baru tiga bulan datang ke Malaysia pun boleh bertutur dalam bahasa Melayu berbanding dengan orang-orang parti politik dan NGO di Malaysia. Lebih menyedihkan, terdapat NGO yang sudah tertegak lama yang memberi pendidikan dan membawa suara masyarakat ke akar umbi (pihak pemerintah) pun masih tidak boleh dan tidak mahu bercakap dalam bahasa Melayu. Tak pelik bukan? Pelik jika kita fikir tiada “ORANG GARANG” di dalam negara ini yang lantang menangani soal bahasa kebangsaan. Perkara ini berbalik kepada sikap kita sebagai rakyat Malaysia yang masih tidak mahu bercakap dalam bahasa Melayu. Hatta dalam parlimen pun, siapa yang mampu mengangkat isu bahasa kebangsaan ini untuk kebaikan rakyat Malaysia dan juga kemaslahatan bahasa Melayu pada masa hadapan — tanpa menjadi bahan untuk kepentingan mana-mana parti politik. Di manakah ketegasan undang-undang pula? Di pikul di dalam seluarkah atau di bahu lengan? Tidak mustahil jika ada “ORANG GARANG” ini dapat mengubah landskap bahasa kebangsaan dengan teratur dan strategis; atau mungkin perlunya audit bahasa diwujudkan di setiap negeri dan daerah untuk disampaikan kepada NGO dan parti-parti politik terutamanya.
Undang-undang yang didukung kuat oleh “ORANG GARANG” sahaja dapat merealisasikan impian menjadikan kenyataan!
“Hidup bahasa kebangsaan, hidup ORANG GARANG!”
* This is the personal opinion of the writer and does not necessarily represent the views of The Malay Mail Online.
You May Also Like