Opinion
Perkasakan peranan guru, bukannya mengekang mereka
Monday, 08 Jul 2019 7:13 AM MYT By Bartholomew Chan

8 JULAI — Tugas menjadi seorang guru sekolah kini tidak semudah yang disangka.

Jika ada antara anda yang berfikir bahawa tugas guru hanyalah mengajar, anda silap! Dewasa ini, cikgu perlu membahagikan masa antara proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dan tugasan-tugasan lain seperti menyiapkan laporan, menyemak buku dan tidak ketinggalan kerja-kerja perkeranian. Demikian nasib guru-guru sekolah kita.

Advertising
Advertising

Namun demikian, itu bukanlah perkara yang merunsingkan penulis. Sebaliknya, berita-berita negatif mengenai profesion perguruan sejak belakangan ini yang nampaknya menjadikan guru-guru menjadi sasaran mudah kritikan dan momokan pihak tertentu.

Kepada yang cenderung mengkritik dedikasi guru-guru sekolah, barangkali mereka tidak sedar akan tanggungjawab berat yang perlu dipikul mereka. Justeru apabila seorang pelajar dipikul oleh seorang guru di sebuah sekolah baru-baru ini, ibu kepada pelajar berkenaan datang memarahi guru yang dimaksudkan itu, ia mengundang pelbagai reaksi.

Menurut ibu kepada pelajar tersebut, guru berkenaan tidak seharus memukul anaknya walaupun guru itu dihina dengan perkataan yang kurang sopan. Apa logiknya alasan yang diberikan oleh ibu kepada pelajar terbabit? Adakah anak mereka itu tidak boleh dihukum biarpun dia telah melakukan kesalahan? Apakah pelajar-pelajar sekolah sekarang kebal dan langsung tidak boleh dikenakan tindakan?

Bukankah apabila ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah, tanggungjawab untuk menjaga dan mendidik terletak pada bahu guru-guru sekolah? Jadi, mengapa mereka perlu cepat melatah dan memaki-hamun guru? Dalam hal ini, barangkali mereka tidak perlu mengajar guru-guru bagaimana untuk mendidik para pelajar.

Pada masa yang sama, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya memberikan perhatian dan mungkin juga menyemak kembali peraturan-peraturan lama yang sudah tidak relevan dengan keadaan semasa. Dahulunya apabila guru-guru merotan kita, tidak timbul soal ibu bapa akan datang ke sekolah untuk meminta penjelasan mengapa anak-anak mereka dihukum.

Malah, guru-guru sekolah ketika itu diberikan kuasa untuk mendidik para pelajar dengan baik. Para ibu bapa pula dengan penuh yakin memberikan kepercayaan kepada guru-guru sekolah untuk melakukan apa yang sepatutnya terhadap anak-anak mereka.

Malangnya, guru-guru sekolah kini berhadapan dengan bermacam-macam kekangan mengenai apa yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan terhadap seseorang pelajar. Sejujurnya, guru-guru sekolah tidak seharusnya dibataskan dengan pelbagai jenis kekangan mengarut sehingga membantutkan peranan mereka sebagai seorang pendidik yang berkesan.

Jika tidak kerana didikan, tunjuk ajar dan ketegasan guru-guru sekolah, penulis tidak mungkin dapat mengecapi apa yang dinikmati sekarang. Kerana merekalah, penulis mampu menjadi seorang insan yang berguna bukan sahaja kepada keluarga bahkan juga masyarakat dan negara.

Ingatlah bahawa guru-guru sekolah juga adalah manusia yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Tetapi kesilapan itu tidak bermakna mereka boleh dimaki, dihina ataupun diperkotak-katikkan secara sewenang-wenangnya.

Pokok-pangkalnya, hormatilah guru-guru kita yang telah banyak berjasa. Jangan sesekali menidakkan sumbangan mereka hanya disebabkan oleh satu kesilapan kecil. Apa yang berlaku baru-baru ini adalah satu episod yang menyedihkan. Guru-guru sekolah seharusnya diberikan penghormatan tinggi dan diletakkan pada kedudukan yang sepatutnya.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Related Articles

 

You May Also Like