21 JANUARI — Barangkali, saat-saat yang paling bermakna dan manis buat kebanyakan pelajar sekolah ialah berakhirnya peperiksaan awam yang diduduki oleh mereka sama ada UPSR, PTS, SPM mahupun STPM.
Bagi para pelajar, inilah saat ‘kemerdekaan’ yang mereka dapat kecapi selepas berhempas-pulas menelaah buku dan berada di sekolah selama 12 tahun (6 tahun di peringkat rendah dan 6 tahun di peringkat menengah).
Bermakna selepas detik ini, mereka tidak perlu lagi memakai baju sekolah, berhadapan dengan guru kelas mahupun terpaksa bangun awal untuk tiba ke sekolah sebelum loceng berbunyi.
Dengan ‘kemerdekaan’ yang dikecapi ini, maka berakhirlah sudah talian perhubungan mereka dengan institusi pendidikan yang mereka kenali sebagai sekolah. Kini, sudah tiba masanya untuk membawa haluan masing-masing sama ada untuk melanjutkan pelajaran ataupun memulakan kerjaya mereka.
Dalam pada itu, terdapat juga satu pandangan lain yang mengatakan bahawa inilah masa dan ketikanya untuk para pelajar kembali ke sekolah untuk menabur bakti dan memberikan sesuatu kembali. Inilah persepsi yang sering terbawa-bawa dalam fikiran kebanyakan daripada kita bahawa sikap mengenang budi kepada sekolah tidak harus dikesampingkan.
Kedua-dua pandangan berkenaan ada asas dan sebenarnya tidak salah. Bergantung kepada siapa yang anda temui dan apa yang ditanyakan, kemungkinan untuk mendapatkan reaksi yang serupa adalah tipis.
Bagi golongan yang tidak mempunyai sentimen dan kecintaan kepada sekolah sebagai contohnya, sudah tentu mereka tidak mahu dikaitkan dengan sekolah dan begitulah sebaliknya.
Berlainan pula ceritanya di St. John’s Institution (SJI), sebuah institusi pendidikan tersohor yang telah melahirkan begitu ramai tokoh-tokoh ternama yang telah mengharumkan nama negara.
Bagi pelajar-pelajar di SJI, para pelajar di sini cukup bertuah kerana mempunyai sebuah alumni sekolah yang begitu proaktif, kuat dan responsif kepada keperluan mereka. Bukan itu sahaja, semangat Johannian yang utuh dalam kalangan ahli alumni banyak membantu dalam melancarkan segala agenda yang ingin dilaksanakan.
Kepimpinan SJAA di bawah teraju Encik Isham Ishak bersama-sama pasukannya turut turun padang dan melihat sendiri permasalahan yang dihadapi oleh bekas-bekas pelajar sekolah tanpa mengira kaum dan agama. Melalui pendekatan sedemikian, alumni sekolah akan mendapat gambaran yang sebenar mengenai masalah-masalah berbangkit dan sekaligus tampil dengan idea-idea untuk menyelesaikannya.
Bekas-bekas pelajar sekolah harus bijak merebut peluang dan turut serta dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak alumni sekolah. — Foto ihsan Bartholomew Chan
Pada masa yang sama, SJAA turut memberi penekanan kepada program-program bersikap inklusif yang memberikan fokus kepada kebajikan bekas-bekas pelajar, menyantuni mereka yang sakit serta memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Sikap inklusif yang ditunjukkan itu amatlah tepat pada masanya kerana peranan alumni pada hakikatnya adalah berkhidmat untuk semua bekas pelajar.
Menyedari hakikat tersebut, bekas-bekas pelajar sekolah berkenaan seharusnya bijak merebut peluang keemasan ini untuk turut serta dan memberikan sokongan kepada program-program yang dijalankan oleh SJAA. Sekiranya ada panggilan yang meminta pertolongan, sahutlah cabaran tersebut dengan hati yang terbuka dengan melibatkan diri dan memberikan bantuan yang sewajarnya.
Melalui outreach yang dijalankan secara meluas melalui platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp, bekas-bekas pelajar tidak ada alasan lagi selepas ini untuk mengatakan mereka tidak tahu-menahu mengenai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.
Yang penting, janganlah sesekali menjadi peserta pasif, yang langsung tidak mahu mengambil berat terhadap apa yang sedang berlaku. Juga, elak daripada kerap menuding jari dan mengkritik orang lain seolah-olah semuanya adalah tidak betul.
Sesungguhnya, perbuatan sedemikian hanyalah merugikan diri sendiri.
* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
You May Also Like