Opinion
Pembaharuan dan perubahan menuntut komitmen semua
Monday, 15 Jan 2018 7:43 AM MYT By Bartholomew Chan

15 JANUARI — Dalam dua artikel sebelum ini, penulis memberi penekanan kepada aspek perubahan yakni dari segi sikap kita dalam mengharungi Tahun Baharu 2018. Kita sudah pun memasuki minggu ketiga dalam tahun 2018.

Hakikatnya, sudahkah anda melakukan perubahan seperti mana yang dijanjikan dalam azam Tahun Baharu sebelum ini? Ataupun masih mencari rentak dan inspirasi untuk melakukan perubahan?

Bercakap mengenai perubahan, di manakah kita dalam konteks sikap ketika bekerja? Adakah kita ini seorang yang serius, bertungkus-lumus dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam apa jua tugasan yang diberikan oleh majikan kita?

Ataupun kita ini sentiasa suka mengelak, suka mengadu-domba dan memberikan masalah kepada majikan? Adakah kita ini juga seorang yang kuat melawan cakap, kaki fitnah dan membuat kerja separuh jalan?

Jika anda merupakan seorang yang suka memberi alasan, mengelak dan memberi masalah seperti mana yang disebutkan tadi, maka anda sebenarnya mempunyai masalah sikap yang serius. Begitu juga dengan komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. 

Sekiranya tabiat buruk sedemikian tidak dapat dikikis, apa yang pasti, mutu kerja kita akan terus merudum sekaligus memberi impak negatif kepada prestasi syarikat. Dan apabila prestasi syarikat merosot, ia akan memberi kesan rantaian yang berterusan.

Itu sebabnya, masalah lama yang berlaku pada tahun-tahun sudah perlu diketepikan. Seseorang itu harus melangkah ke hadapan dengan sikap dan semangat yang baharu. Ibarat kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk itu dijadikan sempadan. 

Apabila melangkah ke hadapan sekalipun, wajarlah kita memikirkan strategi terbaik untuk melaksanakan pembaharuan itu. Jika strategi A tidak menjadi, maka gunakanlah strategi B sebagai alternatif. Jika strategi B juga gagal, maka bersedialah dengan pelan alternatif tambahan.

Dalam kehidupan seharian, kita sering berhadapan dengan pelbagai kemungkinan yang tidak diduga. Seperti mana kita membuat persiapan untuk menghadapi hari mati, begitu jugalah sikap kita apabila berada di tempat kerja. Janganlah sesekali berada dalam zon selesa dan yakin bahawa keadaan sedia ada akan kekal selama-lamanya. Sebaliknya, kita perlu menjangka atau ‘anticipate’ dan menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa agar kita tidak terperangkap dalam takuk lama.

Selain itu, tanamkan semangat ingin mempelajari sesuatu yang baharu kerana dengan adanya ilmu yang ditimba, banyak manfaat yang boleh diperoleh. Tidak rugi untuk kita mempelajari sesuatu baharu kerana lebih banyak ilmu yang ditimba, ia akan membuka minda kita terhadap perkara-perkara baharu. Lagipun apabila sudah mempelajari perkara-perkara baharu, ilmu berkenaan boleh dikongsi pula dengan orang lain. Perkongsian ilmu mampu memakmurkan rakyat dan negara.

Benarlah kata orang bahawa bekerja itu boleh diibaratkan sebagai satu jihad dalam kehidupan. Seseorang itu bekerja bukan sahaja untuk mencari sesuap nasi dan menyara kehidupan keluarga malahan juga satu usaha dalam memperbaiki kehidupan ke tahap yang lebih baik.

Penulis sedang mengorak langkah untuk melakukan perubahan dalam hidupnya. Anda bagaimana?

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Related Articles

 

You May Also Like