Opinion
Belajarlah menghormati orang lain jika kita mahu orang lain menghormati kita
Monday, 26 Jun 2017 7:18 AM MYT By Bartholomew Chan

JUN 26 — Setiap daripada kita pastinya pernah terserempak dengan pekerja-pekerja am seperti pengawal keselamatan, tukang sapu sampah mahupun pegawai bawahan di tempat kerja ataupun ketika bersiar-siar di pusat membeli-belah.

Apa reaksi anda? Adakah anda sempat menegur sapa ataupun memberikan senyuman kepada mereka yang berkenaan? Adakah anda berasa jijik dan kekok apabila berhadapan dengan individu-individu tadi?

Ataupun anda tidak memberikan sebarang reaksi atau merasakan tidak perlu untuk berbuat demikian? Lagipun, apa manfaat dan gunanya untuk bertegur sapa dengan golongan sebegini yang bukan menjadi golongan penting dalam sesebuah organisasi. 

Jika ada antara anda yang mempunyai perangai sedemikian, mungkin sudah tiba masanya perbuatan berkenaan dihentikan. Apa yang ditonjolkan itu sebenarnya tidak mencerminkan kita sebagai seorang umat manusia yang bertamadun. Mana-mana agama sekalipun tidak mengajar penganutnya untuk memandang rendah terhadap orang lain.

Apa susahnya untuk kita bertegur sapa atau bertanya khabar kepada mereka ini? Mungkin ramai yang menganggap bahawa teguran sebegini tidaklah penting, namun bagi mereka, teguran atau sapaan itu ibarat satu penghormatan buat diri mereka yang cukup bermakna.

Di alam fana ini, segalanya adalah bersifat sementara tidak kiralah perkara itu melibatkan harta, pangkat, kedudukan hatta nyawa kita sekalipun hanyalah pinjaman semata-mata. Jadi, mengapa kita perlu bersikap angkuh, bongkak dan memandang rendah terhadap orang lain? Mengapakah perlu untuk menunjuk-nunjuk kuasa dan pangkat mereka seolah-olah segala yang dimiliki itu akan kekal selama-lamanya?

Ingatlah bahawasanya segala perbuatan yang dilakukan di dunia ini sedang diperhatikan oleh Tuhan, memetik lirik lagu From A Distance dendangan penyanyi terkenal, Bette Midler  yang berbunyi "God is watching us, god is watching us, god is watching us from a distance.”

Dalam kehidupan seharian, kita tidak seharusnya memandang serong terhadap mana-mana individu biarpun kita tidak mengenali mereka. Sebaliknya, kita harus berbaik sangka dan melayan golongan masyarakat biarpun setaraf daripada segi kekayaan, pangkat mahupun ilmu, dengan baik dan ikhlas. Tidak mustahil satu hari nanti, kita mungkin memerlukan pertolongan mereka.

Sesungguhnya, setiap daripada mereka mempunyai peranan dan tanggungjawab terhadap kerja yang diamanahkan oleh majikan mereka. Justeru, sebelum mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan, letakkan diri kita dalam kedudukan mereka dan anda akan faham mesej yang cuba disampaikan di sini. Pada kita, peranan mereka mungkin tidak sebesar mana tetapi cukup besar setidak-tidaknya di mata keluarga dan komuniti mereka. 

Bayangkan jika tidak ada siapa pun yang mahu me­lakukan kerja sebagai tukang sapu atau tukang angkat sampah. Sudah tentu dapat kita bayangkan keadaan bahkan bau dan bersepahnya tong sampah di merata tempat.

Bayangkan pula jika tidak ada individu yang bertugas sebagai pengawal keselamatan atau pak guard di bangunan-bangunan awam dan pangsapuri. Siapa yang hendak mengawasi keselamatan kawasan kediaman kita yang ditinggalkan ketika pulang berhari raya?

Jika kita belajar untuk menghormati pekerjaan orang lain, sudah pasti kita akan tahu menghargai pera­nan mereka dan tidak sewenang-wenangnya memandang rendah apatah lagi mengeluarkan kata-kata dalam nada menghina.

Oleh itu, belajarlah menghormati orang lain jika kita mahu orang lain menghormati kita.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Related Articles

 

You May Also Like