19 DISEMBER — Jika soalan berikut yang berbunyi: berapa ramaikah daripada anda yang mempunyai akaun dalam media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram atau WhatsApp, kebarangkalian jawapan yang diterima tidaklah mengejutkan.
Malah, kebanyakan pastinya akan menjawab YA dan mungkin mendedahkan mereka mempunyai lebih daripada satu akaun.
Aplikasi mudah alih sebegini bukan sahaja memudahkan urusan komunikasi antara satu sama lain bahkan juga aktiviti seharian.
Namun begitu, di sebalik kebanjiran aplikasi mudah alih yang jelas memberikan kesenangan kepada pengguna, terdapat kecenderungan dalam kalangan pengguna yang menyalahgunakan platform sedemikian sama ada disebabkan perasaan iri hati, marah ataupun kerana berdendam dengan seseorang.
Disebabkan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu, maka media sosial akhirnya menjadi "mangsa" kepada tindakan mereka yang kurang matang itu. Lantaran itu juga, kedengaran agar media sosial diharamkan oleh pihak-pihak tertentu.
Apa yang jelas, perbuatan ataupun sikap penggunalah yang menjadi penyebab kepada gesaan berkenaan namun yang dipersalahkan dalam hal ini ialah media sosial itu sendiri. Di mana rasionalnya?
Agak melucukan juga setiap kali apabila sesuatu paparan atau posting yang dibuat oleh pengguna di media sosial dikritik hebat, barulah mereka memohon maaf atau melahirkan rasa kesalnya di atas perbuatan mereka yang tidak sepatutnya dilakukan.
Persoalannya, mengapa pengguna-pengguna media sosial tidak memeriksa terlebih dahulu maklumat-maklumat yang ada sebelum ia dimuat naik? Mengapa hanya melahirkan rasa kesal mereka selepas pihak berkuasa mengumumkan akan mengambil tindakan? Adakah mereka sebenarnya sedang menguji kesabaran masyarakat dan pihak berkuasa kerana sedar tiada tindakan tegas akan diambil terhadapnya? Apakah pengguna-pengguna ini begitu jahil sehingga mereka boleh terlepas pandang mengenai paparan yang dimuat naik?
Tidakkah mereka sedar bahawa apa yang dimuat naik akan kekal dalam Internet buat selama-lamanya. Aspek ini yang kerap dilupakan oleh pengguna kerana berpandangan selepas ia dipadamkan, ia tidak akan memberi masalah.
Tidakkah mereka juga sedar apa yang telah dimuat naik, diucap tidak boleh ditarik balik? Ibarat pepatah yang berbunyi terlajak perahu boleh diundur, tetapi terlajak kata buruk padahnya.
Justeru, apabila tindakan diambil terhadap pengguna-pengguna media sosial yang dimaksudkan, mereka tidak seharusnya menuding jari dan menyelar pihak berkuasa kerana mengenakan tindakan terhadapnya. Sebaliknya, mereka yang bersalah itu harus berani untuk bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukannya.
Ini bukan berkisar kepada soal menyalahgunakan kuasa. Tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa adalah berpandukan kepada bukti-bukti yang diperoleh.
Maka kerana itu, kepada "keyboard warrior" yang beria-ia untuk mendapat hits ataupun sambutan terhadap tulisan mereka, lakukanlah secara berpada-pada dan kena pada tempat. Fikirkan juga sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan etika sebagai seorang pengguna media sosial.
Gunakan juga peranan anda sebagai pengguna media sosial untuk menyebarkan berita-berita yang menjurus ke arah kebaikan. Jika peraturan-peraturan ketika berada di bank, sekolah, balai polis boleh dipatuhi, mengapa pula tidak ketika menggunakan media sosial?
Manfaatkan akal fikiran dan bukannya emosi ketika menggunakan media sosial. Fikir dan pertimbangkan juga akan perasaan orang lain.
* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
You May Also Like