Opinion
Jangan abai Bahasa Kebangsaan
Monday, 24 Oct 2016 7:30 AM MYT By Bartholomew Chan

24 OKTOBER — Bulan Bahasa Kebangsaan diadakan pada bulan Oktober setiap tahun. Pelbagai jenis program diatur sepanjang bulan ini dan November untuk memartabat dan memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan di negara ini.

Pada 20 Oktober 2016 yang lalu, telah berlangsungnya majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat nasional. Tema bulan Bahasa Kebangsaan untuk tahun ini ialah "Satu Bahasa, Satu Jiwa, Satu Bangsa.”

Namun begitu, majlis pelancaran tersebut berlangsung dan berlalu tanpa banyak publisiti mahupun heboh di seluruh negara berbanding dengan acara atau perkara-perkara lain yang jauh lebih besar impaknya.

Mungkin juga disebabkan dengan situasi semasa di dalam negara serta pelbagai dugaan dan pengaruh yang mendatang, maka signifikan dan perhatian orang ramai terhadap Bahasa Kebangsaan kian luntur. Nampaknya, masyarakat kita lebih gemar untuk menyebarkan fitnah di media sosial dan terjebak dalam bermacam-macam aktiviti yang kurang memberikan manfaat.

Situasi ini mengundang pelbagai tanda-tanya.

Pertama, adakah rakyat Malaysia kini sudah tidak berasa megah dengan bahasa Kebangsaan? Kedua, sejauhmanakah semangat memperkasakan bahasa Kebangsaan kita sudah tidak diendahkan? Bagaimana pula dengan peranan pihak media? Juga, di manakah peranan individu seperti kita sendiri? Adakah kita hanya mendabik dada dan menunggu pihak berkuasa untuk campur tangan?

Soal sama ada rakyat Malaysia tidak bangga dengan penggunaan bahasa Kebangsaan tidaklah begitu tepat. Masih ada dalam kalangan individu seperti penulis sendiri serta pejuang-pejuang bahasa yang lain yang mahu melihat Bahasa Melayu dipertingkat. Mereka ini tanpa mengira siang dan malam, bertungkus-lumus memperjuangkan integriti dan prestij bahasa Kebangsaan negara. Daripada penganjuran seminar, kolokium, serta aktiviti-aktiviti kebudayaan, semuanya sudah dilakukan. Begitu dengan siri mesyuarat untuk membincangkan mengenai penggunaan bahasa Kebangsaan. 

Namun, golongan yang bangkit mempertahankan kedaulatan bahasa Kebangsaan hanyalah sebilangan kecil sahaja. Justeru, usaha ini tidak mungkin akan beroleh kejayaan jika hanya beberapa pihak sahaja yang menggalas tugas ini. Sebaliknya, semua pihak baik dari kalangan ibu bapa, kepada guru-guru sekolah, orang-perseorangan sehinggalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemimpin-pemimpin politik harus mengambil berat terhadap isu ini.

Bak kata pepatah; Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jika PBT tidak mempunyai kesungguhan untuk memperjuangkan bahasa Kebangsaan, maka biarlah kita sebagai rakyat marhaen sendiri mempertahan dan memperjuangkannya.

Jika pemimpin politik juga tidak berminat untuk berbuat demikian, tidak mengapa kerana rakyat sendiri yang akan menggemblengkan usaha bagi memastikan bahasa Kebangsaan tidak pupus ditelan zaman di negara sendiri.

Kepada PBT dan pemimpin politik, mereka haruslah keluar dari kepompong pemikiran bahawa setiap isu yang diperjuangkan mesti diselitkan dengan political mileage untuk kepentingan mereka. Berjuanglah secara serius, ikhlas dan berani membuat sesuatu keputusan yang mungkin tidak popular tetapi akan memberikan manfaat kepada generasi akan datang.

Kepada pihak media pula, pastikan bahasa Kebangsaan yang diguna pakai dalam penulisan artikel mereka adalah betul dan tepat. Jangan sesekali menggunakan bahasa Kebangsaan yang salah bukan sahaja dari aspek tatabahasanya bahkan juga dalam aspek penggunaan struktur ayat.

Berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, amatlah mustahak jika sidang pengarang semua media memberikan perhatian khusus kepada perkara berkenaan. Ini kerana, masih terdapat segelintir media yang masih degil dan merojakkan bahasa Kebangsaan secara sewenang-wenangnya.

Contohnya, kecenderungan pihak media untuk menggunakan perkataan atas talian untuk menterjemahkan perkataan "online” sedangkan terjemahan yang tepat ialah dalam talian. Begitu juga dengan perkataan di kalangan. Umum mengetahui perkataan "di” lazimnya diguna untuk merujuk kepada lokasi. Oleh itu, penggunaan yang tepat ialah dalam kalangan.

Pihak media perlulah lebih fleksibel dan tidak menggunakan alasan bahawa penggunaan perkataan-perkataan yang tidak mematuhi hukum bahasa adalah disebabkan oleh housestyle dalam penerbitan mereka. Apa masalahnya jika mereka mengikut hukum-hukum tatabahasa yang betul? Bukanlah lebih baik jika mereka mengikut hukum-hukum yang ditetapkan daripada menjadi bahan ketawa orang awam nanti.

Isu kedaulatan bahasa Kebangsaan kita, Bahasa Melayu bukanlah satu perkara baharu. Sebaliknya, isu ini sudah pun dibangkitkan dari semasa ke semasa dan tidak menampakkan sebarang kesudahan. Acapkali dibangkitkan dalam media buat seketika, akan timbul desakan dan keluh-kesah pihak yang berkenaan tetapi selepas itu, tenggelam begitu sahaja.

Bagaimanapun, janganlah membiarkan isu kedaulatan Bahasa Melayu dibangkitkan secara bermusim. Ia haruslah diteruskan secara konsisten. Sesungguhnya, Bahasa Melayu tidak boleh dibiarkan mati di negara sendiri. Jika tidak, kita harus bertanya kepada diri sendiri, apakah relevan dan perlu lagi untuk menyambut Bulan Bahasa Kebangsaan selepas ini jika status Bahasa Melayu masih di takuk lama.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Related Articles

 

You May Also Like