17 OKTOBER—Teka-teki dan penantian orang awam mengenai siapakah yang bakal menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 akhirnya terjawab sudah petang Jumaat lalu.
Sultan Muhammad V dari Kelantan dipilih sebagai Agong yang Baru bagi menggantikan penyandangnya ketika ini, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang akan tamat penggal perkhidmatannya pada 13 Disember depan.
Pemilihan Sultan Muhammad V juga selaras dengan sistem penggiliran yang diamalkan oleh Majlis Raja-Raja sejak sekian lama. Sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia adalah sangat unik. Ia amat berbeza di negara-negara lain yang turut mempunyai pemerintahan beraja.
Jika di negara-negara luar, pemerintahan beraja boleh berterusan selama berdekad-dekad lamanya tetapi di Malaysia, tampuk pemerintahan akan bertukar tangan setiap lima tahun sekali.
Pemilihan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dan Sultan Nazrin Shah sebagai timbalan baginda menyaksikan gandingan dua Sultan yang bukan sahaja muda tetapi mempunyai kaliber masing-masing. Seorang berpendidikan di Oxford manakala seorang lagi pula di Harvard, masing-masing dengan gaya kepimpinan tersendiri.
Apa yang menariknya, gandingan Sultan yang muda memberikan bayangan jelas bahawa stail kepimpinan Baginda dan timbalannya akan lebih berbeza yakni lebih bertenaga, berkarisma dan lain daripada yang lain dan inilah yang diharap-harapkan oleh rakyat jelata.
Baginda juga merupakan seorang pemimpin yang sangat merendah diri dan cukup disenangi dalam kalangan rakyat jelata. Personaliti baginda yang lebih gemar mendampingi rakyat tanpa protokol yang keterlaluan seperti yang dilaporkan dalam media massa membolehkan baginda memahami masalah rakyat dengan lebih dekat.
Perasaan kasih dan sayang rakyat jelata kepada baginda khasnya di Kelantan membuktikan bahawa raja dan rakyat sebenarnya berpisah tiada. Rakyat menyanjung tinggi dan menghormati Sultan kerana mereka bukan sahaja adalah kuasa penstabil dalam sesebuah negara bahkan penyatu kepada semua rakyat.
Faktor ini juga dapat menerangkan kepada kita semua mengapa mendiang Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej yang memerintah Thailand selama 70 tahun begitu dihormati dan disanjung tinggi oleh rakyat di sana. Kemangkatan Bhumibol baru-baru ini begitu diratapi dan ditangisi oleh jutaan rakyat Thailand sehingga majoriti daripada mereka sanggup berkhemah di luar hospital Siraraj, untuk mendoakan kesejahteraan mendiang. Ada pula yang menangis teresak-esak mendengar kemangkatan mendiang dan tidak kurang juga yang melaungkan slogan "Long live the king.”
Di Malaysia bagaimana pula? Secara umumnya, perasaan hormat dan kesetiaan kepada raja masih cukup utuh dan menebal. Bagi rakyat, institusi diraja melambangkan kedaulatan sesebuah negara dan dilihat sebagai penyatu dalam menyelesaikan sesuatu konflik atau isu yang besar.
Apa yang kita harapkan ialah semangat kecintaan dan hormat yang ditunjukkan oleh rakyat Thai terhadap Raja Bhumibol juga diperkukuhkan di negara ini. Seperti mana yang terkandung dalam Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara, rakyat Malaysia juga mempunyai tanggungjawab untuk menumpahkan taat setia kepada raja yang dipilih.
Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa institusi beraja sebenarnya memainkan impak yang cukup penting dalam kestabilan sesebuah negara seperti Malaysia. Tatkala negara berada di persimpangan dan memerlukan satu hala tuju yang jelas, kepimpinan dan ketokohan baginda ditagih dan mampu memacu negara ke hadapan!
Marilah kita mendoakan agar baginda diberikan kesihatan yang baik dan moga-moga negara tercinta ini akan beroleh manfaat hasil daripada kepimpinan baginda untuk tempoh lima tahun akan datang. Sesungguhnya, perwatakan dan sikap baginda yang amat merendah diri serta berjiwa rakyat bakal menjanjikan suatu kepimpinan berbeza yang dinanti-nantikan oleh rakyat jelata.
Daulat Tuanku!
* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.
You May Also Like