Opinion
Masalah banjir di KL: Apakah rakyat kita pengotor?
Monday, 23 May 2016 7:31 AM MYT By Bartholomew Chan

23 MEI — Beberapa minggu yang lalu, bandar Kuala Lumpur dan kawasan di sekitarnya dilanda banjir kilat yang teruk, gara-gara kerana hujan lebat yang turun pada hari berkenaan.

Namun demikian, taburan hujan pada hari berkenaan adalah jauh lebih tinggi daripada hari-hari biasa. Malahan, ratusan kenderaan yang berada di atas jalan raya ketika itu, tersadai kerana digenangi air mencecah paras pintu.

Ini bukan kali pertama banjir kilat melanda Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. Sebaliknya, warga Kuala Lumpur mungkin sudah hilang kira mengenai kekerapan banjir kilat di ibu negara. Terowong Smart sudah pun dibina dan dikatakan ianya akan dapat membantu mengatasi masalah banjir.

Begitu dengan janji-janji pihak berkuasa tempatan sebelum ini bahawa masalah banjir tidak akan menjadi isu besar lagi buat penduduk di sekitar ibu negara. Apa yang dijanjikan itu bagaimanapun tidak kesampaian bahkan situasi sama terus berlaku.

Dalam menilai isu ini, amat penting untuk semua pihak agar tidak melihat perkara ini daripada sudut yang sempit. Ya benar, wujud kelemahan daripada pihak PBT mengenai pelan perancangan mereka untuk mengatasi banjir. Akan tetapi, kita juga perlu ingat bahawa sikap acuh tak acuh segelintir rakyat yang suka membuang sampah-sarap di merata tempat turut menyumbang kepada permasalahan ini.

Kita sering mendengar laungan bahawa Malaysia akan menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Kini, empat tahun lagi sebelum negara kita akan mencapai negara maju, perangai dan tindak-tanduk yang buruk ini masih terbawa-bawa oleh rakyat kita.

Saban hari, ada sahaja insiden baik dalam kalangan penunggang motosikal, pemandu kereta, bas dan lori, yang membuang sampah-sarap secara terbuka tanpa segan-silu. Atas faktor untuk menjimatkan masa dan alasan tiada tong sampah, maka perbuatan tersebut dihalalkan seolah-olah ianya satu amalan biasa. Sampah-sarap kelihatan di merata tempat — longkang, sungai, parit malahan di sekitar kaki lima.

Sikap sebegini tidak harus dibiarkan berlarutan. Jangan sesekali mewajarkan sesuatu perbuatan yang jelas bertentangan dengan norma masyarakat semata-mata hanya kerana untuk kesenangan sendiri. Mereka yang suka membuang sampah-sarap haruslah memikirkan jerih-payah pekerja-pekerja am yang bertungkus-lumus membersihkan kawasan di sekitar ibu negara. Tanpa kelibat dan kudrat pekerja-pekerja am, barangkali bandar raya Kuala Lumpur mungkin tenggelam kerana timbunan sampah-sarap.

Mungkin ramai daripada rakyat di luar sana yang beranggapan kerja-kerja menyapu sampah dan membersihkan kawasan ibu negara adalah tanggungjawab pekerja-pekerja am. Malangnya, takuk pemikiran sebegini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan mencerminkan sikap pentingkan diri sendiri sahaja.

Rakyat wajar mengambil berat mengenai kebersihan bukan sahaja di kawasan perumahan anda sahaja, malahan di mana sahaja kita berada. Bukankah ketika di bangku sekolah dahulu, kita diajar oleh guru-guru sekolah untuk sentiasa menjaga kebersihan bilik darjah? Bukankah kita diingatkan dalam subjek Pendidikan Moral atau Sivik bahawa amalan kebersihan mencerminkan keperibadian seseorang? Apakah rakyat kita begitu mudah lupa dengan apa yang telah dipelajari di sekolah? Juga, apakah rakyat kita pengotor?

Perdebatan mengenai siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab dalam isu banjir akan tetap berterusan selepas ini sekiranya kedua-dua pihak yakni rakyat dan pihak berkuasa tempatan mengambil pendirian untuk terus berada dalam sindrom penafian. Di pihak PBT umpamanya, masa untuk beretorik sudah berakhir. Kecenderungan untuk memberikan bermacam-macam alasan mengenai masalah banjir tidak boleh diterima pakai.

Sekarang adalah masa untuk bertindak. Bererti, PBT perlu bertindak dan bertindak tanpa belas kasihan kepada mereka yang suka mengotorkan kawasan. Memandangkan bentuk hukuman yang dikenakan ketika ini tidak memadai, maka ada baiknya hukuman lebih berat dilaksanakan kelak.

Mungkin ada baiknya juga jika rakyat kita ‘dikejutkan’ dengan pendekatan radikal sebegini kerana selagi PBT mengambil pendekatan yang longlai, maka selagi itulah sikap acuh tak acuh ini akan berlarutan. Apa yang tidak disedari oleh orang ramai ialah sikap pengotor sebegini sebenarnya akan mencetuskan kesan rantaian atau chain-effect yang dahsyat khasnya daripada aspek kesihatan dan kesannya kepada alam sekitar.

Masalah banjir bukanlah masalah baharu di negara kita. Acapkali, berlakunya bah besar, kedengaran pelbagai alasan, teori mahupun sebab-musabab yang tidak masuk akal.

Cukuplah dengan alasan demi alasan yang diberikan. Sampai bila masalah banjir akan selesai? Dan bagaimana pula dengan peruntukan berjuta-juta ringgit yang diperuntukkan untuk mendalamkan sistem perparitan dan longkang — apakah peruntukan yang diberikan benar-benar dimanfaatkan untuk tujuan ini?

Marilah sama-sama tangani masalah banjir ini hingga ke akar-umbi.

Masalah banjir adalah tanggungjawab kita bersama.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Related Articles

 

You May Also Like