11 APRIL — Petang Jumaat lalu, kesesakan jalan raya di sekitar ibu negara adalah lebih teruk daripada hari-hari biasa.
Tidak, kesesakan kali ini tidak ada kena-mengena dengan keadaan cuaca tidak menentu di Kuala Lumpur mahupun siri demonstrasi oleh mereka yang antikerajaan.
Sebaliknya, kesesakan tersebut berpunca daripada tindakan segelintir pemandu teksi yang bertindak memprotes terhadap kegagalan pihak berkuasa untuk mengharamkan perkhidmatan Uber dan GrabCar.
Tindakan kira-kira 500 pemandu teksi meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan sekitar ibu negara bukan sahaja menyusahkan orang awam yang menggunakan kenderaan untuk berulang-alik bahkan juga mengukuhkan lagi persepsi umum bahawa imej negatif pemandu-pemandu teksi di negara ini sememangnya berasas.
Amaran pemandu-pemandu teksi bahawa mereka akan melakukan lebih banyak siri protes sehingga Uber dan GrabCar diharamkan seolah-olah dilihat sebagai ugutan kepada pihak berkuasa agar tuntutan mereka dipenuhi. Malahan, pemandu-pemandu teksi ini secara terang-terangan menyatakan mereka sudah meluat dengan sikap pihak berkuasa untuk mengawal selia perkhidmatan Uber dan GrabCar.
Mereka juga percaya bahawa dengan mengharamkan perkhidmatan Uber dan GrabCar, masalah yang melanda industri teksi negara akan berakhir. Para pemandu teksi juga berang dengan promosi RM1 oleh GrabCar yang mana penumpang GrabCar boleh menikmati perjalanan untuk lima kilometre pada harga RM1 sahaja.
Terus-terang, amaran atau ugutan yang disuarakan oleh pemandu-pemandu teksi berkenaan tidak kena pada tempat dan hanya akan memburukkan keadaan. Umum memahami kesusahan yang dihadapi oleh pemandu-pemandu teksi yang kini terpaksa kais makan pagi, kais makan petang gara-gara persaingan yang semakin kompetitif.
Dalam suasana persekitaran yang kian kompetitif, mahu tidak mahu pemandu-pemandu teksi kini perlulah bersaing dengan hati yang terbuka dan bukannya melahirkan kemarahan ataupun bertindak sesuatu di luar jangka.
Pada hemat penulis, perbuatan sedemikian tidak mencerminkan mereka ini mengutamakan keutamaan para penumpang. Tindakan memprotes dan meletakkan kenderaan-kenderaan mereka di tepi jalan sehingga mengakibatkan jalan raya sesak teruk hanya menyusahkan orang ramai yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan teksi.
Apa yang sebenarnya berjaya dicapai menerusi tindakan berkenaan? Adakah pemandu-pemandu teksi berjaya untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit? Ataupun mereka akan terus berputih mata dan hanya membiarkan sumber pendapatan mereka hilang begitu sahaja kerana tindakan itu? Tepuk dada, tanyalah hati.
Benarkah dengan mengharamkan Uber dan GrabCar segala permasalahan pemandu-pemandu teksi di negara ini akan berakhir? Jika anda mengajukan persoalan ini kepada orang awam, ramai yang mungkin mengatakan TIDAK.
Isu-isu berbangkit yang melanda industri teksi negara sebenarnya tidak bermula dengan perkhidmatan Uber dan GrabCar malahan jauh lebih awal sebelum itu. Sebagai seorang pengguna perkhidmatan teksi sebelum ini, penulis fikir ianya lebih menjurus kepada sikap para pemandu teksi kita.
Soalnya, apakah mereka bersedia untuk menyahut cabaran untuk bersaing dan membuktikan kepada para pelanggan bahawa perkhidmatan mereka adalah jauh lebih baik? Persoalannya, mahukah mereka berubah atau terus selesa dengan keadaan sedia ada? Realitinya, keluar daripada zon selesa bukanlah sesuatu yang mudah sebaliknya menuntut kesungguhan seseorang untuk berbuat demikian. Ianya juga bergantung bagaimana seseorang individu itu melihat perubahan tersebut.
Sebagai duta ataupun barisan hadapan dalam mempromosikan imej negara di mata dunia, sebarang tindakan yang dilakukan tidak patut menjurus kepada kepentingan satu pihak semata-mata. Ianya harus juga mengutamakan kepentingan pihak-pihak lain yang mungkin secara langsung atau tidak langsung terjejas gara-gara perbuatan sebegini.
Jika aspek ini juga tidak dapat ditangani dengan baik, bagaimanakah anda boleh mengharapkan bahawa penumpang-penumpang akan kembali menggunakan perkhidmatan teksi anda? Dewasa ini dalam industri teksi, semuanya berkisar kepada perkhidmatan atau service yang diberikan oleh si pemandu. Adanya perkhidmatan baik yang diberikan, maka secara tidak langsung ianya akan mewujudkan satu kepercayaan antara si pemandu dan penumpang. Bukankah itu yang kita ingin lihat?
Kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka akan menimbang untuk mengawal selia perkhidmatan Uber dan Grabcar dalam usaha mengatasi kemarahan pihak pemandu-pemandu teksi biasa di negara ini.
Penulis amat berharap agar sebarang keputusan untuk mengawal selia perkhidmatan Uber dan GrabCar akan memanfaatkan kedua-dua belah pihak.
Cukuplah dengan gelagat dan sikap pemandu-pemandu teksi negatif yang kita baca di dada-dada akhbar. Cukuplah dengan retorik daripada pihak berkuasa yang berjanji untuk menyelesaikan masalah ini. Amarah pemandu-pemandu teksi kali ini hanyalah satu isyarat kepada pihak berkuasa agar lebih tegas menangani isu ini.
Masa untuk bertindak adalah sekarang!
* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.
You May Also Like