Opinion
Sentiasa bersangka baik terhadap orang lain
Monday, 21 Mar 2016 7:41 AM MYT By Bartholomew Chan

21 MAC — Dewasa ini, amat sukar untuk kita melakukan sesuatu yang boleh memuaskan hati pihak-pihak tertentu.

Sebaliknya, lebih banyak langkah diambil untuk menyelesaikan sesuatu isu, tindakan berkenaan bukan sahaja dihujani dengan kritikan bahkan maki-hamun oleh golongan yang tidak rasional.

Apa yang menghairankan, golongan yang mengkritik dan memaki-hamun itu bukan sahaja tidak membantu malah lebih cenderung untuk mengapi-apikan masalah yang berlaku.

Sesungguhnya, golongan manusia sedemikian ada di mana-mana. Daripada pemgguna media sosial kepada pemimpin politik hinggalah orang-perseorangan, semuanya cuba untuk meraih populariti dan perhatian umum bagi memenuhi agenda tersendiri mereka.

Sikap buruk ini juga turut mendapat perhatian Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia yang menegur pengguna media sosial baru-baru ini atas komen-komen negatif terhadap pembawa cokmar emas, Kishva Ambigapathy di Westminster Abbey pada majlis sambutan hari jadi ke-90 Ratu Elizabeth II. Komen-komen negatif tersebut berbangkit selepas Kishva tidak memakai songkok semasa membawa cokmar emas itu.

Dalam reaksi balas menerusi posting FB terbarunya, Raja Zarith hairan dan menyelar segelintir pengguna media sosial yang suka memberikan komen-komen negatif terhadap Kishva yang juga seorang rakyat Malaysia. Menurut Raja Zarith, rakyat Malaysia sepatutnya bersangka baik dan tidak hanya melihat sesuatu isu daripada perspektif sebelah pihak sahaja.

Apa yang dinyatakan oleh Permaisuri Johor itu amat bernas dan tepat pada masanya tatkala budaya mengkritik dan buruk sangka amat berleluasa. Budaya ini juga terbawa-bawa ke dalam arena politik tanah air apabila terdapat pemimpin politik yang suka mencari kesalahan orang lain (dalam konteks ini seteru politik mereka) biarpun kesalahan yang dilondehkan itu tidaklah sebesar mana.

Lebih menyedihkan, apabila seteru politik tersebut cuba melakukan sesuatu yang baik dan berbaik sangka, tindakan itu pula dilabel sebagai satu permainan politik, hipokrit dan drama semata-mata walhal seterunya langsung tidak diberikan ruang untuk menjelaskan pendiriannya. Mencari kesalahan orang lain hanyalah satu jalan pintas untuk mengelakkan perhatian umum terhadap masalah yang dihadapi namun ia bukanlah penyelesaian terbaik tetapi hanya dilihat sebagai suatu tindakan bacul untuk menutup kelemahan sendiri.

Dalam keghairahan mencari kesalahan orang lain, apakah golongan manusia itu tidak terfikir bahawa dirinya juga bukanlah sempurna sifatnya melainkan Pencipta kita? Apakah kita ini lebih baik daripada orang lain sehinggakan kita boleh memberikan penghakiman kepada orang yang kita tidak suka?

Kepada pengguna media sosial pula, elak daripada memuat atau mengeluarkan komen-komen yang kurang enak dalam media sosial jika anda tidak tahu-menahu dan kesahihan sesuatu isu. Semak dahulu kesahihan sesuatu maklumat sebelum memberikan pandangan atau penghakiman terhadap orang lain.

Jika sekadar ingin melepaskan geram dan menunjukkan kejantanannya, ini bukanlah tempatnya. Realitinya, ada cara yang lebih baik untuk seseorang meluahkan perasaan mereka. Seseorang itu tidak semestinya menabur fitnah mahupun mengeluarkan komen-komen yang kurang enak. Mengapa tidak bersangka baik dan mengeluarkan kata-kata yang lebih positif?

Cuba bayangkan jika komen-komen negatif itu ditujukan kepada anda. Apakah perasaan anda? Adakah anda akan berdiam diri sahaja? Trend ini akan berlarutan sehinggalah satu pihak itu mencapai apa yang dihajatinya. Ingatlah pepatah ini “Don’t do unto others what you don’t like others do unto you” jika anda tidak mahu orang lain melayan anda dengan buruk.

Kikiskan prejudis anda!

Ketepikan sikap cemburu dan hasad-dengki yang membara!

Sentiasalah bersangka baik terhadap orang lain. Nescaya hidup anda akan menjadi lebih tenang dan aman.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like