Opinion
Ketabahan dan kesabaran rakyat hadapi tempoh sukar diuji
Monday, 01 Feb 2016 8:27 AM MYT By Bartholomew Chan

1 FEBRUARI — Tempoh sekarang merupakan tempoh yang cukup mencabar bukan sahaja untuk pemimpin-pemimpin politik negara bahkan juga rakyat marhaen.

Dibelenggu dengan harga minyak di pasaran dunia yang jatuh merudum sejak akhir-akhir ini dan ditambah pula dengan kejatuhan mata wang Ringgit berbanding dengan beberapa mata wang asing dunia serta juga suhu politik negara yang makin bergelora, nampak gayanya situasi sedemikian dijangka berterusan.

Tambah pula dengan pengumuman penstrukturan semula Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak pada tengah hari Khamis lalu, seolah-olah memberi isyarat bahawa rakyat perlu berhadapan dan bersabar dengan tempoh-tempoh sukar seperti yang dialami ketika ini.

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh dua tahun Bajet negara terpaksa distruktur semula ekoran keadaan ekonomi yang kurang menentu. Keputusan kerajaan untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif proaktif pada penstrukturan semula Bajet minggu lalu disambut baik oleh pelbagai pihak dan tidak kurang juga yang sangsi.

Apapun dalam situasi ekonomi yang sedemikian, barangkali kita sebagai rakyat marhaen merupakan golongan yang paling terkesan dengan sebarang perubahan. Apabila kadar tol dinaikkan, rakyat juga yang terpaksa berbelanja lebih. Apabila kadar cukai dinaikkan, rakyat juga perlu menyusun kembali trend perbelanjaan mereka. Begitu juga dengan apabila situasi politik tidak menentu, rakyat jugalah yang akan menerima tempiasnya.

Jadi, apakah yang sepatutnya rakyat lakukan? Duduk diam atau mempelbagaikan tindakan mereka khasnya dalam mencari sumber pendapatan tambahan? Ataupun melakukan demonstrasi di jalanan seperti yang berlaku tahun sudah?

Semuanya kini adalah berkisar kepada ‘survival of the fittest.’ Bermakna siapa yang rajin dan bijak berusaha, mereka akan dapat mengharungi tempoh-tempoh sukar dengan baik. Tapi bagi mereka yang tidak mahu berusaha maka tertinggallah mereka di belakang. Semudah itu.

Selain daripada terus mengeluh dan tidak berbuat apa-apa, bukankah lebih baik untuk manfaatkan akal fikiran dan gunakan kebijaksanaan yang diberikan oleh Tuhan untuk melakukan pelbagai aktiviti yang boleh menjana pendapatan tambahan. Sesungguhnya, Tuhan hanya membantu mereka yang membantu diri mereka. Inilah langkah terbaik untuk kita mempersiapkan diri berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan.

Reaksi balas yang diberikan oleh menteri-menteri Kabinet bahawa penstrukturan semula Bajet sebagai langkah yang tepat, sememangnya sudah dijangka. Namun apa yang lebih penting dan ditunggu-tunggu oleh rakyat selepas ini ialah bagaimana ia dilaksanakan dan pemantauannya.

Sering kali, apabila ia melibatkan bab pelaksanaan dan pemantauan, di sinilah berbangkitnya kelemahan apabila berlakunya pembaziran atau ketirisan seperti mana yang pernah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara saban tahun. Lebih kritikal lagi, apakah wakil-wakil rakyat kita juga cakap serupa bikin dalam tindakan mereka lebih-lebih lagi yang membabitkan isu perbelanjaan? Inilah yang diperhatikan oleh rakyat mutakhir ini.

Tindakan merangsang kembali ekonomi negara bukan sekadar mengurangkan perbelanjaan semata-mata tetapi juga melibatkan bagaimana sesebuah kerajaan itu menguruskan wang sedia ada untuk perkara-perkara yang lebih berfaedah dan secara telus lagi terbuka.

Rakyat berhak untuk mengetahui apakah sebenarnya yang dibelanjakan dan bagaimana ia dibelanjakan kerana ini melibatkan soal duit rakyat juga. Ya tidak dinafikan asas ekonomi negara masih berada di landasan yang kukuh tetapi itu tidak bermakna pemerintah sedia ada dan mereka yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir urus perbelanjaaan negara boleh mengambil mudah dengan situasi semasa yang ada kini.

Sebaliknya, tahap kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan kejutan luar ataupun external shocks dan situasi tidak dijangka perlulah dipertingkat dari semasa ke semasa. Di sinilah juga kewibawaan dan pengurusan krisis kerajaan akan diuji. Seperti mana yang berlaku pada 2014 apabila berlakunya dua nahas pesawat negara secara mengejut, sekali lagi kredibiliti negara akan menjadi perhatian dunia. Bersedialah sepanjang masa.

Jika rakyat mampu berhadapan dengan situasi ini dengan baik, maka tidak ada  sebab mengapa selepas ini rakyat perlu berasa was-was dan bimbang dengan masa depan mereka. Sesungguhnya, kekuatan dalaman sesebuah negara dan rakyat dicorakkan semasa berlakunya sesuatu krisis. Kita mahukan rakyat negara ini menjadi rakyat yang cekal, kuat dan tabah berhadapan dengan sebarang krisis yang menimpa.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like