Opinion
Mengharapkan tahun 2016 yang lebih baik untuk Malaysia!
Tuesday, 29 Dec 2015 7:39 AM MYT By Bartholomew Chan

29 DISEMBER— Tinggal 72 jam sahaja lagi, kita bakal melangkah ke tahun baharu 2016.

Tahun 2015 yang penuh dengan pelbagai suka-duka akan melabuhkan tirainya sekali gus menandakan berakhirnya satu tahun yang cukup mencabar bukan sahaja kepada rakyat bahkan negara secara keseluruhannya.

Jika 2015 dilihat sebagai tahun yang mencabar, tahun baharu 2016 dijangka lebih mencabar tatkala dengan keadaan politik negara yang bergelora, keadaan ekonomi yang tidak menentu, kos sara hidup yang melambung naik dan perasaan syak-wasangka yang makin menebal antara satu sama lain.

Apa yang berlaku di negara kita mutakhir ini wajar membuka mata para pemerintah agar sesuatu tindakan segera diambil bagi menangani masalah berkenaan sebelum ia bertambah buruk.

Isu keganasan yang semakin menjadi-jadi di seantero dunia dengan kemaraan Daesh atau Islamic State (IS), menjadikan agenda pemerintah negara kini semakin kritikal. Kritikal kerana terdapat kalangan rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan dakyah jahat IS dan bersedia untuk melancarkan keganasan di Malaysia.

Kritikal juga kerana IS akan mengambil kesempatan ke atas mana-mana negara yang dilanda kemelut politik lantaran menyebabkan wujudnya “vacuum of power” di sesebuah negara seperti yang kita lihat di beberapa buah negara di Timur Tengah seperti Libya, Yaman, Iraq dan Syria.

Seperti tahun-tahun sudah, kebiasaannya tidak terlintas dalam fikiran penulis untuk menanamkan azam Tahun Baharu kerana kebarangkalian azam itu berjaya direalisasikan adalah kosong.  Apapun, di sebalik kesangsian terhadap azam Tahun Baharu itu, harapan untuk melihat beberapa perkara berikut akan dapat dicapai pada tahun 2016 nanti.

Antaranya, rakyat Malaysia secara keseluruhannya termasuk penulis sendiri amat mengharapkan agar para pemerintah sedia ada menunaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat dengan penuh integriti dan telus. Dalam konteks ini, rakyat sesungguhnya mahu melihat sebuah kepimpinan yang sentiasa berpaksi pada bumi nyata dan bersedia untuk membantu rakyat sepanjang masa.

Pendek kata, rakyat mahu agar pemimpin-pemimpin politik negara supaya memberhentikan politiking yang keterlaluan, budaya berpolitik yang bersifat kebudak-budakan serta usaha segelintir pihak untuk mempolitikkan sesuatu isu. Cukuplah dengan kesemua kerenah yang tidak bermanfaat ini kerana ia tidak membantu memacu kemajuan negara.

Lebih penting lagi, pemimpin-pemimpin politik harus berhijrah ke suatu budaya politik baharu yang lebih progresif tanpa mengabaikan dasar-dasar perjuangan sebenar berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan negara. Semua sedia maklum, rakyat sudah meluat dengan situasi politik semasa yang semakin hari semakin parah dengan bermacam-macam teori konspirasi dan usaha untuk menjatuhkan pemimpin itu dan pemimpin ini.

Selain itu, rakyat juga ingin melihat parti-parti politik yang mewakili kepentingan kaum masing-masing untuk menjalankan tanggungjawab mereka tanpa banyak prejudis. Usahlah bermain-main dengan isu-isu sensitif yang boleh memarakkan kemarahan kaum masing-masing kerana tahap sensitiviti rakyat terhadap isu-isu sebegini masih tinggi.

Justeru, parti-parti politik arus perdana di kedua-dua pihak mestilah mempamerkan kematangan mereka ketika berpolitik dan memperjuangkan sesuatu isu. Jangan sesekali melihat sesuatu isu daripada perspektif kaum dan agama semata-mata. MCA dan MIC merupakan parti-parti politik yang memperjuangkan kepentingan kaum Tionghua dan India namun itu tidak bermakna mereka tidak boleh membantu kaum lain. Masanya sudah tiba agar parti-parti politik negara melangkah setapak ke hadapan dengan berkelakuan sebagai sebuah parti politik yang bersifat Kemalaysiaan.

Pada masa yang sama juga, adalah menjadi harapan agar semua rakyat tidak terlalu emosi apabila menerima atau terdengar khabar-khabar angin yang tidak benar. Para pengguna media sosial perlulah lebih beretika ketika menyebarkan sebarang maklumat kepada rakan-rakan lain.

Pastikan maklumat yang diterima disahkan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa. Tanya kepada diri sendiri juga adakah wujud keperluan untuk berkongsi maklumat yang belum ditentukan kesahihan.

Mereka juga perlulah berwaspada dengan sebarang kandungan yang disajikan. Elak daripada bertindak melulu dengan sebarang kandungan maklumat yang diragui. Benarlah kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Dr. Salleh Said Keruak bahawa wujud kecenderungan untuk pihak media tertentu untuk mensensasikan berita dengan memberikan tajuk berita yang tidak sama dengan kandungan yang diberikan. Di sini, para pengguna media sosial perlu bijak menilai isi kandungan yang disajikan.

Jangan sesekali terperangkap dengan mainan media-media tertentu yang mempunyai kecenderungan untuk mencari tajuk berita yang sensasi, kontroversi dan provokasi. Hakikatnya, tajuk berita seharusnya berpaksi kepada intipati sesebuah berita dan bukannya dibuat di luar konteks. Sebagai pembaca yang bijaksana, mereka perlulah melakukan tapisan kendiri terhadap kandungan berita yang dibaca. Kaedah ini juga perlulah diamalkan ketika mereka memberikan komen-komen dalam laman blog.

Akhir sekali, agenda paling utama buat pemimpin-pemimpin politik kita ialah untuk membangunkan Malaysia. Inilah tanggungjawab paling mustahak yang wajib dilaksanakan oleh pemerintah. Gunakan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu untuk melaksanakan segala perancangan demi memakmurkan negara dan rakyatnya.

Jika kesemua hasrat yang dibangkitkan tadi dapat direalisasikan dengan jaya dan baiknya, maka tidak ada sebab mengapa Malaysia dan rakyatnya tidak boleh maju ke hadapan. Natijahnya, manusia hanya boleh merancang tetapi Tuhan yang menentukannya.

Moga-moga 2016 akan menjanjikan tahun yang lebih baik kepada semua. Sama-sama kita panjangkan doa ini kepadaNya agar segalanya akan berjalan dengan lancar. Mudah-mudahan!

SELAMAT TAHUN BAHARU 2016!

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Related Articles

 

You May Also Like