Opinion
Susahnya menjadi Melayu

23 NOVEMBER —Tidak mudah menjadi Melayu di Malaysia. Buat itu salah buat ini salah, semuanya serba salah. Sebagai orang Melayu, penulis ingin berkongsi “keluh kesah” yang sering diluahkan dua jenis kelompok Melayu. Penulis bahagikan kepada kelompok A dan kelompok B.

Kelompok A

Advertising
Advertising

Jenis ini sering menghabiskan masa berbicara tentang dosa yang dilakukan si polan seperti tidak solat, tidak menutup aurat dan seumpamanya. Nadanya seperti bagus kerana mengingatkan, namun kebiasaannya tidak bermaksud begitu kerana merasa unggul pahala itu yang lebih utama. Jenis hendak menang dan merasa lebih dekat dengan syurga. Perasaan puas terpancar di wajah apabila mengetahui masih banyak umat seagama yang melakukan dosa.

Jenis ini sangat kuat prejudisnya terhadap bangsa lain terutama Cina yang dianggap sebagai pendatang dan babi. Jenis ini menganggap Malaysia adalah milik Melayu dan semua masalah yang wujud adalah dicipta bangsa Cina.  Jenis ini berpandangan rasuah dan kezaliman yang dilakukan pemimpin Melayu tidak perlu dipermasalahkan selagi mana tampuk kerajaan tidak jatuh ke bangsa bukan Melayu. Jika dipimpin bangsa lain yang amanah dan baik itu adalah sebuah dosa besar yang harus dilawan sampai ke titisan darah terakhir. 

Jenis ini juga percaya bahawa Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu sehingga Cina mualaf dianggap masuk Melayu. Jenis ini sering beristighfar melihat Islam di Indonesia yang menurut mereka masih songsang amalannya kerana bercampur aduk dengan adat dan tradisi. Mereka rela bodoh tentang sejarah dan kebudayaan alam Nusantara yang sangat kaya kerana bagi mereka semua itu syirik dan bidaah. Jenis ini juga sering mewajarkan bencana alam yang terjadi di Indonesia dengan alasan-alasan di atas.

Jenis ini sangat mementingkan kehalalan makanan. Maka jangan hairan jika ada dakwaan tentang makanan itu dan ini tidak halal dengan mudahnya tanpa ditapis kebenaran disebarkan di media sosial. Rasuah masih boleh diterima akal, tapi kehalalan tidak sama sekali. Halal adalah harga mati. Jenis ini juga tidak peduli jika barangan dan perkhidmatan halal yang dibeli itu dalam prosesnya berlaku ketidakadilan seperti membayar gaji murah kepada pekerja . Paling penting ada sijil halal, peduli apa dengan hal-hal lain.

Kelompok B

Jenis ini mudah terpancing dengan hukuman-hukuman yang diberikan oleh umat seagamanya seperti contoh hukuman rambut dibakar kerana tidak menutup aurat. Jenis ini cenderung mencari alasan membenarkan dosa-dosa mereka berbanding cuba memperbaiki diri. Banyak juga yang membawa alasan mereka lebih mementingkan kemanusiaan tetapi realitinya tidak pula begitu. Contohnya mereka dengan mudah menghukum kawan-kawan mereka yang tidak minum arak dan berzina sebagai membosankan dan tidak terbuka.

Jenis ini menganggap kepelbagaian kaum yang ada adalah suatu rahmat dan harus dirayakan. Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak harus digembleng kekuatannya secara bersama. Jenis ini juga sangat terbuka dan banyak di kalangan mereka berbicara di dalam Bahasa Inggeris kerana katanya bahasa untuk kemajuan. Namun jenis ini biasanya sangat prejudis terhadap bangsanya sendiri. Semua masalah di Malaysia kerana bangsa ini mulai dari pemalas, tidak menguasai Bahasa Inggeris dan seumpamanya. Mereka merayakan kepelbagaian yang ada di luar tetapi sampai lupa kepelbagaian yang ada di dalam bangsanya sendiri.

Jenis ini sering menganggap model Islam di Indonesia sebagai yang terbaik. Disebutnya Jaringan Islam Liberal, keterbukaan Gus Dur dan seumpamanya. Tanpa melihat konteks, pengalaman Indonesia cuba dipaksakan dan barang siapa yang menolaknya akan dilabel sebagai tidak toleran. Hakikat bahawa Islam di beberapa provinsi (negeri) di Sumatera seperti Sumatera Barat, Sumatera Utara, Sumatera Selatan, Riau dan Aceh yang mirip seperti di Semenanjung Malaysia sengaja tidak dibahas. Contoh adalah maraknya peraturan syariah di provinsi-provinsi tersebut.

Jenis ini juga tidak terlalu memntingkan kehalalan makanan kerana menurut mereka adalah suatu kerugian tidak menikmti beragamnya jenis makanan di dunia.  Jenis ini juga cenderung menyindir industri halal dan pelancongan syariah sebagai suatu kemunduran dan hanya memanfaatkan agama untuk kepentingan ekonomi. Mereka akan mudah terbakar rasionalnya apabila terkait dengan agama sehingga meracau menyebut agama sebagai candu.

Begitulah susahnya menjadi Melayu. Melabelkan sebagai baik dan jahat adalah makanan harian seolah-olah hidup itu hanya hitam dan putih. Budi pekerti semakin ditinggalkan dan diganti dengan rasa yang paling benar. Ruang dialog dihilangkan kerana membuang masa tanpa ada pemenang. Zaman ini menjadi Melayu dan memilih jalannya sendiri baik A atau B atau campuran keduanya adalah satu bentuk kesusahan. Dibodohi dan dimiskinkan kerajaan Melayu di satu sisi, ditindas di sektor swasta di satu sisi. Anggap saja kesusahan ini satu cabaran tersendiri.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like