16 NOVEMBER ― Setiap daripada kita mempunyai akal dan fikiran yang dikurniakan oleh Tuhan Maha Pencipta.
Dengan adanya akal dan fikiran, pastinya kita berupaya untuk melakukan sesuatu dengan baik dan rasional. Begitu juga dengan kemampuan kita untuk menilai mana yang baik dan yang tidak baik untuk keperluan diri.
Kemampuan untuk meneliti mana yang baik dan mana yang tidak baik inilah yang membezakan kita dengan makhluk-makhluk yang lain. Akan tetapi, bukan semua manusia yang menghargai mahupun menggunakan kebijaksanaan itu untuk perkara-perkara yang bermanfaat.
Sebaliknya, ada manusia tertentu yang cuba menyalahgunakan kebijaksanaan yang dimiliki untuk tujuan-tujuan yang memudaratkan, mencetuskan kebencian malahan juga memarakkan api perkauman antara satu sama lain.
Sebut sahaja berhubung perkara ini, nama Alvin Tan tiba-tiba terlintas dalam fikiran penulis. Alvin Tan ini seorang manusia yang sukakan perhatian. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa dia sebenarnya mencipta sesuatu dari semasa ke semasa untuk menarik perhatian khalayak kepadanya.
Disebabkan adanya kontroversi yang dicipta, populariti beliau terus melambung. Inilah sebenarnya strategi Alvin. Beliau tidak kisah dengan pandangan ataupun kecaman orang lain. Pada Alvin, dia ingin menguji reaksi orang awam terhadap kontroversi yang diciptanya. Baru-baru ini, Alvin kembali lagi dengan kontroversi terbaru dan dilihat kontroversi yang paling menghinakan iaitu menggunakan keratan kertas Al-Quran untuk mengesat najisnya. Alvin kini ‘terpaksa’ mencipta kontroversi ini kerana dia sedar bahawa isu agama akan mengundang reaksi yang ekstrem daripada khalayak.
Seperti yang dijangka, reaksi balas dari kalangan parti-parti politik dan orang kebanyakan terhadap perbuatan biadap Alvin itu ialah mereka terus marah dan mahukan pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan keras terhadap Alvin.
Jelas, mereka yang marah terhadap Alvin telah terpedaya dengan perangkap Alvin ini. Mengapakah kita harus memberikan ruang masa ataupun publisiti kepada Alvin? Sebaik-baiknya, kita jangan berikan langsung ruang dan peluang kepada Alvin untuk menghalalkan tindakannya. Ini kerana, kitaran sedemikian akan berterusan dan tidak akan ada penghujungnya.
Itu sebabnya, penulis sependapat dan bersetuju dengan apa yang dilontarkan oleh Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah yang menyatakan masyarakat tidak perlu memberikan perhatian dan bertindak balas terhadap Alvin. Menurut beliau, biarlah Tuhan sahaja yang mengadili Alvin atas sikap biadapnya itu dan sebarang tindak balas yang melampaui norma-norma yang dibenarkan hanya akan memberi imej buruk kepada agama Islam.
Apa yang dinyatakan oleh Ayahanda Rani Kulup itu tepat sekali dan merupakan cara terbaik untuk melayan individu yang sakit seperti Alvin. Persoalannya, berapa lama lagi kita perlu berasa marah dan bertindak melulu terhadap orang sebegini? Seandainya kita didatangi dengan 100 kes menyerupai masalah yang dicetuskan oleh Alvin, apakah pendirian dan tindakan kita? Marah? Pukul? Sampai bila?
Jika kita memilih untuk bertindak secara melulu dan berkelakuan seperti Alvin, maka tiada bezanya antara kita dengan Alvin. Masyarakat perlu buktikan bahawa perbuatan segelintir individu yang tidak bertamadun tidak akan dapat mengganggu emosi mereka.
Pada masa yang sama, kita tidak boleh salahkan mereka yang membuat laporan polis berhubung perkara ini. Sebagai seorang insan biasa, siapa yang tidak marah terhadap perbuatan biadap sebegini? Namun begitu, ada cara yang lebih bijak dan sesuai apabila berhadapan dengan insiden terbabit.
Benar juga kata Abdul Rani yang mengatakan tindakan terbaru Alvin itu sebenarnya untuk menghalalkan permohonan suakanya di Amerika Syarikat. Alvin sememangnya menantikan sesuatu untuk menjustifikasikan permohonan suaka yang dipohonnya. Maka, mengapakah kita harus memberikan ruang dan peluang kepada Alvin?
Jujur kata, Alvin bukanlah seorang individu yang berani. Jika benarlah Alvin berani dan gah seperti yang digembar-gemburkan menerusi media sosial, maka dia seharusnya kembali ke tanah air dan lakukan perkara ini di sini. Apa perlunya dia bersembunyi dan melakukan perbuatan terkutuk ini di negara orang?
Jika diamati dengan lebih teliti, Alvin sebenarnya seorang individu yang penuh dengan kebencian. Dia percaya dengan mencipta kontroversi demi kontroversi sebegini, dia akan dijulang sebagai seorang hero. Malangnya, dia tidak sedar bahawa kebijaksanaan yang dimiliki itu juga menjadi faktor kepada kejatuhan dan kemalapan masa depannya.
Keputusan Facebook untuk menurunkan laman FB Alvin merupakan satu keputusan yang tepat masanya bagi menghantar satu mesej penting kepada pengguna media sosial bahawa sebarang salah laku atau tindakan memuat naik paparan yang berbaur penghinaan tidak akan dikompromi.
Kepada Alvin, jika anda benar-benar ikhlas untuk memohon maaf atas perbuatan terkutuk anda itu, seharusnya anda berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan tindakan yang dimaksudkan. Tiada gunanya untuk memohon maaf jika ia hanya sekadar untuk meredakan kemarahan dan bukannya terbit daripada keinsafan sendiri.
Alvin, anda sepatutnya malu dengan diri anda sendiri.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.
You May Also Like