Opinion
Sukar untuk mencari pemimpin politik yang berintegriti?
Tuesday, 06 Oct 2015 8:11 AM MYT By Bartholomew Chan

6 OKTOBER—Minggu lalu ketika isu keperluan negara untuk memiliki pemimpin-pemimpin politik bertaraf dunia dibangkitkan dalam artikel penulis, sama ada secara kebetulan atau tidak, kelakuan dan gelagat beberapa pemimpin politik khususnya seorang Timbalan Menteri menarik perhatian.

Sekali lagi, gelagat serta komen-komen kurang sopan dan sensitif  yang diluahkan oleh segelintir pemimpin politik membuktikan mereka ini gemar bercakap tanpa berfikir terlebih dahulu.

Baru-baru ini, komen seorang Timbalan Menteri yang mengingatkan masyarakat Tionghua untuk tidak merungut masalah mereka kepada China dan secara sinis mengeluarkan kenyataan tampar tidak kena pada tempatnya.

Sekali lagi, sikap talam dua muka dan sindrom penafian terserlah apabila pemimpin berkenaan menafikan dia mengeluarkan kenyataan tampar tersebut dan menegaskan kenyataan itu sekadar jenaka semata-mata.

Sampai bila perbuatan atau sikap sedemikian perlu berterusan? Hakikat bahawa kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut boleh keluar dari mulut seorang Timbalan Menteri adalah sesuatu yang cukup mengejutkan. Lebih memalukan, perbuatan tersebut tidak mendapat teguran secara menyeluruh daripada pihak berkuasa.

Yang bersuara menyelar komen kurang sopan Timbalan Menteri rata-ratanya terdiri daripada kalangan pemimpin kerajaan yang sudah bersara seperti Mantan Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan beberapa pemimpin lain.

Barangkali, Timbalan Menteri tersebut lupa bahawa beliau bukanlah pemimpin untuk sesebuah kaum sahaja tetapi mewakili semua kaum di negara ini. Beliau juga perlu ingat bahawa beliau mendapat mandat daripada rakyat. Oleh yang demikian, adalah penting segala tutur kata dan karakter melambangkan masyarakat pelbagai kaum.

Sebagai seorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, beliau tidak seharusnya angkuh dan beranggapan bahawa hubungan dengan rakyat bersifat sehala walhal rahsia untuk membentuk hubungan baik dengan mereka ialah bersifat dua hala. Pendek kata, hubungan pemimpin-rakyat haruslah didasari oleh semangat hormat-menghormati, toleransi dan muhibah.

Perlu diingatkan bahawasanya, segala tutur kata dan tingkah laku mereka diperhatikan oleh umum. Umum akan menggunakan tutur kata dan tingkah laku mereka ini sebagai penanda aras untuk memilih wakil rakyat yang disukai mereka pada pilihan raya umum kelak.

Bayangkan apakah Timbalan Menteri akan berasa gembira jika perkataan yang sama ditujukan kepada beliau? Ataupun beliau dihina dengan kata-kata yang kurang enak? Sudah pastinya tidak kan? Maka kerana itu, setiap daripada kita tidak harus bertindak mengikut emosi dan disebabkan terlalu marah, melakukan sesuatu perkara di luar kawalan kita. Ibarat kata pepatah kerana seekor nyamuk, keseluruhan kelambu dibakarnya.

Bukankah lebih baik jika wakil-wakil rakyat kita bersikap profesional dan berkelakuan seperti seorang profesional yang sentiasa memberikan tumpuan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat? Cukuplah dengan budaya berpolitik yang keterlaluan dalam segala tindak-tanduk dan kembalilah ke pangkal jalan dengan menghayati prinsip utama seseorang politikus menceburi arena politik pada awalnya.

Wakil-wakil rakyat kita haruslah bersikap ‘gentleman’ dan bermain politik dengan cara yang betul, bukannya menggunakan isu perkauman, agama dan aspek-aspek lain untuk meraih sokongan. Mana-mana pihak yang masih menggunakan isu perkauman sebagai senjata adalah mereka yang tidak berpijak pada bumi nyata.

Tidak dinafikan politik perkauman akan terus bertapak di negara kita memandangkan kebanyakan parti politik negara melihat ianya senjata paling ampuh untuk membangkitkan emosi rakyat. Selagi rakyat masih mempunyai persepsi bahawa agama dan kaum mereka tergugat, selagi itulah negara akan terus bergelumang dalam politik perkauman yang tidak berkesudahan. Apakah ini yang kita mahukan untuk anak cucu kita?

Justeru, jadilah seorang pemimpin berani dan mengakui kelemahan tersebut. Apabila isu tersebut terus dipolemikkan, timbul pula kecenderungan oleh pihak tertentu untuk menuduh pihak media telah memutarbelitkan perkataan yang diluahkan.

Jika sekali dua media melakukan kesilapan fakta, kita boleh faham. Namun, adalah sesuatu yang tidak munasabah untuk mengatakan pihak media salah petik kenyataan berulang kali. Takkanlah standard dan kualiti wartawan di negara kita begitu teruk sehingga mereka didakwa melakukan kesilapan fakta?

Pemimpin-pemimpin politik kita wajar mencontohi sikap ‘statemenship’ dan integriti pemimpin-pemimpin politik di Asia Timur seperti Jepun dan Korea Selatan. Di sana, integriti dan kredibiliti merupakan segala-gala buat mereka. Itu sebabnya setiap kali apabila ada antara pemimpin yang melakukan kesalahan, mereka akan memohon maaf secara terbuka dan meletak jawatan. Lebih ekstrem lagi, ada yang mengambil nyawa sendiri.

Mereka melakukan sedemikian kerana mereka malu dengan perbuatan buruk mereka. Mereka memohon maaf kerana mereka tahu apa yang dilakukan itu tidak betul dan bercanggah dengan norma-norma masyarakat. Mereka berkelakuan sedemikian kerana malu berhadapan dengan rakyat secara umumnya.

Bagaimana pula dengan wakil-wakil rakyat kita? Sedarkah mereka? Bersediakah mereka untuk menjadi teladan kepada rakan-rakan sejawat mereka di negara lain? Ataupun terus menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa? Pilihan sememangnya terletak di tangan wakil-wakil rakyat kita!

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

 

 

 

 

 

 

ALOR SETAR, 5 Okt—Pelajar Kolej PolyTech Mara (KPTM) Alor Setar Nur Ezzati Rosli (kanan) membantu rakannya Nabila Khairul Salleh (tengah) memakai penutup muka yang diagihkan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) Kedah hari ini.

Mara PolyTech College (KPTM) student Nur Ezzati Rosli (right) helps to adjust her friend’s facemask in Alor Setar. Malaysia has been experiencing haze situation as. — Bernama pic

Related Articles

 

You May Also Like