Opinion
Cina yang menakutkan

8 SEPTEMBER ― Sudah seminggu perhimpunan Bersih 4 berlalu. Bermacam sudut pandang telah dizahirkan di pelbagai media. Media asing juga menyorotnya dengan luas terutama media di Indonesia dan Singapura. Hampir semua akhbar arus perdana di Indonesia menjadikannya berita di muka depan. Ada yang membandingkannya dengan aksi menurunkan Suharto pada 1998.

Penulis tidak dapat hadir buat kali kedua berturut-turut pada aksi di Kuala Lumpur kerana tuntutan kerja. Jika pada Bersih 3 penulis membuat aksi solidariti dengan berkumpul di Pantai Kuta, kali ini tidak lagi setelah diberi amaran untuk tidak melanggar undang-undang negara Indonesia. Hanya foto-foto dengan tulisan yang mampu dilakukan buat mengganti aksi.

Advertising
Advertising

Meski penulis tidak berada di Kuala Lumpur, laporan dari rakan-rakan yang boleh dipercayai kesahihannya menyetujui apa yang dilaporkan media arus perdana iaitu perhimpunan kali ini didominasi kaum Cina. Ada yang berhujah bahawa ini bukan isu kerana kita semua rakyat Malaysia. Namun realitinya ia adalah suatu isu. Sebelum hari perhimpunan, Merdeka Center dalam hasil kajiannya menyebut 70 peratus responden Melayu menolak Bersih 4 dan 81 peratus responden Cina menyokongnya dan pada hari perhimpunan hasil kajian tersebut sepertinya disahkan.

Apa yang mendorong kaum Cina turun beramai-ramai sekaligus mencipta sejarah baru masih misteri di kalangan majoriti kaum Melayu. Banyak andaian-andaian nakal dilemparkan antaranya Cina DAP semakin bongkak, Cina menunjukkan kekuatannya setelah dipermalukan dalam insiden Low Yat dan sebagainya. Meski tidak boleh dibuktikan, ramai di kalangan kaum Melayu mempercayainya.

Rumitnya Malaysia adalah rakyatnya ingin perubahan dan negara ini diperbaiki. Hal ini diingini semua kaum. Hambatannya cuma satu iaitu majoriti orang Melayu termasuk yang pro-perubahan masih takut dengan sosok bernama Cina. Penulis yang masih bergaul dengan orang Melayu sering diingatkan dengan kata-kata, “Hati-hati dengan Cina, mereka itu bangsa penipu” dan “Jangan sampai Cina pijak kepala kita”.

Sebenarnya berada di lingkaran syaitan (Melayu yang perkauman) tersebut amat merbahaya. Namun meninggalkannya juga merbahaya kerana di situ penulis tumbuh membesar dan kegagalan memahami mereka berakibat buruk dalam proses menuntut perubahan. Contohnya menyerukan perubahan tetapi mesej disampaikan di dalam Bahasa Inggeris yang asing.

Pada hemat penulis, selagi orang Melayu masih takut pada ABC iaitu anjing, babi dan Cina, kita boleh lupakan tentang perubahan. Masih ingatkah kita pada arwah Pak Mie yang dicerca kerana anjing-anjingnya? Dan baru terjadi kisah wanita Cina membawa anjing peliharaannya ke dalam pasar raya menggunakan troli yang tersebar luas. Bagi orang Melayu anjing itu mewakili kaum Cina. Mereka membenci anjing bukan kerana anjing tetapi kerana Cina.

Babi turut mengalami nasib sama seperti anjing yang dibenci dan dihina kerana dimakan orang Cina. Bencinya mereka terhadap Cina sampai terlupa bahawa di Bali babi juga dimakan Melayu Bali dan di Filipina dimakan Melayu Filipina. Fakta bahawa Cina menerima Islam terlebih dahulu sebelum Melayu dan lebih ramai umat Islam berbangsa Cina berbanding Melayu gagal mencerahkan mereka. Kebencian yang meluap-luap membuat mereka keliru kerana Melayu Bukan Islam juga pemakan babi dan Cina Muslim pula tidak memakan babi.

Tidak mudah untuk mencerahkan Melayu yang menganut fahaman membenci ini. Apatah lagi masih banyak Cina yang berfikiran sama seperti Alvin Tan dan klon-klonnya yang bersepah di forum-forum berbahasa Cina. Perubahan harus datang bersama-sama, Cina pembenci Melayu harus dicerahkan juga dan dihentam secara keras oleh ahli politik berbangsa Cina terutamanya di pihak pembangkang. Seorang Lim Guan Eng harus berani mengherdik Cina-Cina yang perkauman. Anak-anak muda Cina yang rasional seperti Tai Zee Kin dan Shen Yee Aun sebagai contoh harus diperbanyakkan.

Bersih 4 memperlihatkan bahawa jalan ke arah Malaysia yang lebih adil dan saksama masih jauh dari gapaian. Untuk kebanyakan orang Melayu, biar miskin dan hidup melarat di bawah pemimpin Melayu daripada hidup selesa di bawah pemimpin Cina. Selagi orang Melayu seolah-olah takut kepada Cina berbanding Tuhan mereka, perjuangan masih berliku. Hari-hari ke depan sangat menyukarkan.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like