Opinion
Honesty... such a lonely word!
Monday, 07 Sep 2015 7:31 AM MYT By Bartholomew Chan

7 SEPTEMBER — Dua perkataan berikut iaitu jujur dan berterus-terang merupakan sikap yang telah diterapkan dalam diri kita sejak di bangku sekolah lagi. Kita sering diingatkan oleh guru Pendidikan Moral dan Islam agar tidak bercakap bohong di dalam kelas mahupun kepada kedua ibu bapa dan guru kelas kita.

Pada ketika itu, kita semua hanya mengangguk dan mengiyakan apa yang diajar oleh guru-guru sekolah kita. Kita semua tahu apakah akibat dan impaknya jika kita bercakap bohong.

Perasaan takut dan risau segera terpancar pada wajah kita seolah-olah tidak ada hari esok buat kita semua. Begitulah kuat dan teguhnya nilai-nilai moral dalam diri masyarakat dahulu kala hinggakan mereka tidak perlu diberitahu bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah atau sebaliknya.

Justeru, jika seseorang telah melakukan kesalahan, kesudahan yang menanti sudah pasti. Mereka mungkin didenda untuk berdiri di luar kelas ataupun dirotan oleh kedua ibu bapa kita. Alangkah eloknya jika sikap sedemikian masih terus diamalkan oleh semua tak kiralah anda itu seorang penjawat awam, pemimpin politik,orang yang berpangkat mahupun orang-perseorangan.

Hakikatnya, sikap jujur dan berterus-terang dalam kalangan masyarakat semakin hari semakin luntur. Daripada urusan di tempat kerja, urusan jual-beli di pasar hinggalah hubungan dengan rakan-rakan karib kita, ada kalanya masing-masing mempunyai pandangan berbeza terhadap isu tersebut.

Keadaan tersebut banyak dipengaruhi oleh keadaan persekitaran semasa di dalam negara, keadaan politik dan juga kesungguhan seseorang itu untuk mengangkat sikap tersebut sebagai suri-teladan yang perlu diamalkan.

Dalam kalangan pemimpin politik umpamanya, perkataan jujur dan berterus-terang dilihat seolah-olah tidak wujud. Maklumlah jika seseorang pemimpin politik menggunakan kejujuran dan sikap berterus-terang, belum tentu hayat kerjaya politik mereka akan bertahan.

Contoh semasa yang ada di hadapan mata kita sudah cukup untuk membuktikannya. Dalam erti kata lain, pemimpin-pemimpin politik terpaksa berpolitik dan perlu mengambil kira keperluan serta perasaan sentimen semasa di sekelilingnya.

Keghairahan berpolitik tanpa mengira sentimen semasa dan keadaan sekeliling bukan sahaja akan mengundang musibah kepada dasar perjuangan yang diperjuangkan bahkan juga kelangsungan kerjaya politik seseorang pemimpin. Oleh yang demikian, mahu tidak mahu, mereka terpaksa “toe the line.”

Tetapi, adakah jenis pemimpin-pemimpin politik yang kita mahukan? Di manakah perginya pemimpin-pemimpin politik atau politikus yang berjiwa negarawan dan sentiasa mengambil kira keperluan serta suara hati rakyat secara keseluruhannya? Ke manakah perginya pemimpin-pemimpin politik yang berani memperjuangkan kebenaran yang didahagakan oleh rakyat marhaen?

Jika begitu sukar untuk memperjuangkan kebenaran, maka apa gunanya untuk pemimpin-pemimpin politik berkecimpung dalam arena politik dahulunya? Melainkanlah jika motif utama di sebalik pembabitannya dalam arena politik adalah sesuatu yang lebih besar berbanding dengan agenda asal.

Rakyat marhaen tidak akan menyalahkan pemimpin-pemimpin politik jika mereka tidak mahu memperjuangkan kejujuran dan kebenaran. Tetapi mereka akan berasa marah dan terkilan jika kepercayaan dan mandat yang mereka berikan dikhianati.

Kejujuran dan kebenaran itu adalah satu amanah yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab. Suatu tanggungjawab yang mengkehendaki mereka menunaikan amanah yang diberikan dengan penuh keikhlasan dan meletakkan aspirasi rakyat dalam perjuangan mereka.

Amat malang jika amanah yang telah diamanahkan oleh rakyat tidak diendahkan dan dianggap sebagai sesuatu remeh. Lebih malang lagi, jika apabila kepercayaan rakyat terhadap pemimpin politik semakin terhakis, ia mungkin mengambil masa lama untuk dikembalikan. Dalam erti kata lain, jika kepercayaan yang diberikan semakin terhakis, maka jangan terkejut selepas ini mereka sukar mempercayai apa yang diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin politik lagi.

Sebarang hubungan antara pemimpin-rakyat yang dijalinkan perlu bersifat dua hala. Sebarang hubungan antara pemimpin politik dan rakyat perlulah dilandaskan kepada “mutual respect” dan “mutual trust”. Dengan adanya kedua-dua elemen yang dimaksudkan, barulah akan wujud perasaan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Barangkali seni kata lagu Honesty nyanyian Billy Joel menceritakan segala-galanya!

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Related Articles

 

You May Also Like