25 OGOS — Sepanjang hayat kita, pasti dan sudah tentunya kita semua pernah merungut, mengadu atau dalam terma bahasa Inggerisnya, "complain." Ada yang akan merungut kerana melihat ada sesuatu yang tidak kena di hadapan matanya dan ada pula yang merungut semata-mata untuk merungut. Terdapat juga kalangan manusia yang merungut dan mencari kesalahan orang lain dalam sesuatu isu dan sentiasa menganggap dirinya sempurna sifatnya. Komen dan aduan yang dilontarkan bukan sahaja berat sebelah malah mencerminkan sikap pentingkan diri sendiri. Keghairahan untuk merungut itu ada kalanya menjadikan seseorang itu hilang pertimbangan dan emosi, serta sentiasa melihat sesuatu isu hanya daripada perspektif dirinya sahaja. Contoh yang ada di hadapan mata kita cukup banyak. Misalnya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - inilah antara agensi-agensi yang sentiasa mendapat cemuhan, kritikan dan maki-hamun daripada pihak tertentu kerana dakwaan mereka gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik. Misalnya, MCMC umpamanya sering kali dilontarkan dengan pelbagai tuduhan - daripada label tidak bertaring oleh pemimpin politik, tidak adil oleh pembangkang dan lembik oleh sebuah kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Begitu juga dengan SPRM dan PDRM yang menerima tempias yang sama. Mereka yang mengutuk dan mencemuh tidak pula mengambil tahu apa yang sedang dilaksanakan oleh agensi-agensi berkenaan sebaliknya hanya mahu tindakan demi tindakan diambil. Inilah telatah dan sikap kebanyakan rakyat kita. Cepat menghukum, cepat menilai dan hanya berfikir dari satu sudut sahaja. Lebih buruk lagi, mereka hanya pandai merungut apabila terdapat sesuatu yang tidak memihak kepadanya. Akan tetapi, apabila sampai ke peringkat untuk memberikan sumbangan atau buah fikiran untuk menyelesaikan masalah, tidak pula mereka bangun dan lantang memperjuangkan idea mereka. Semuanya membisu begitu sahaja. Apa yang ingin penulis tegaskan di sini ialah usahlah merungut hanya semata-mata untuk merungut. Usah juga mempersoalkan mahupun mengajar agensi-agensi tersebut bagaimana untuk menguruskan sesuatu masalah. Usah juga melihat kesalahan orang lain. Bagaimana dengan diri kita? Apakah kita telah melakukan penambahbaikan dan berazam untuk melihat kelemahan diri terlebih dahulu? Kepada mereka yang selalu merungut itu, apakah yang telah anda sumbangkan bagi membantu mengatasi masalah yang berbangkit? Ataupun sememangnya anda tidak berminat untuk mengetahui apa sebenarnya yang sedang berlaku? Merungut merupakan satu manifestasi kemarahan dan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu keadaan atau isu. Namun demikian, ada baiknya jika manifestasi kemarahan itu dizahirkan secara berhemah dan bijak. Sikap suka merungut tidak banyak membantu meleraikan keadaan malah tidak keterlaluan untuk melabelkan sikap ini sebagai suatu sikap yang pentingkan diri. Nasihat kepada semua agar bermuhasabah diri sebelum merungut. Apa yang wajar ditonjolkan di sebalik sikap yang pentingkan diri ini adalah kesungguhan dan kebolehan orang yang merungut itu untuk tampil dengan idea-idea bernas dalam menyelesaikan sesuatu krisis. Merungut akan tetap wujud dalam diri kita selagi ego menguasai perwatakan kita. Kita akan tetap merungut terhadap pelbagai perkara tetapi seboleh-bolehnya jangan biarkan sikap negatif itu membinasakan kita. Jika anda suka merungut, mungkin ada baiknya cermin-cermin diri dahulu sebelum mencari kesalahan orang lain. Manusia adalah hamba Tuhan yang lemah dan kepadaNya kita sentiasa memohon petunjuk dan hidayah. Itulah yang diharap-harapkan oleh kita semua untuk menjadi insan mukammil yang baik.
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
You May Also Like