Opinion
Anda ada integriti?
Monday, 03 Aug 2015 7:34 AM MYT By Bartholomew Chan

3 OGOS—Isu integriti kini mendominasi cakap-cakap di kedai kopi mahupun dalam dada-dada akhbar tempatan sejak akhir-akhir ini. Semuanya gara-gara kerana isu-isu panas yang sedang berbangkit mutakhir ini. Pelbagai pendapat dan tanggapan diluahkan oleh umum terhadap isu-isu panas yang dimaksudkan kerana percaya isu-isu panas yang dibangkitkan mampu memberi kesan buruk kepada negara. Ketika ini, kedengaran tanggapan dan pendapat yang kebanyakannya negatif dan lebih mencerminkan amarah rakyat seiring dengan suhu politik negara yang tidak menentu dan sikap meluat rakyat terhadap perkembangan semasa negara. Ramai yang ingin tahu ke manakah perginya integriti seseorang dalam isu-isu yang dibangkitkan itu? Adakah integriti itu hanya satu laungan slogan kosong semata-mata dan tidak membawa sebarang maksud yang signifikan? Apakah integriti sudah tidak penting lagi dalam agenda pembangunan negara? Apa yang pasti, integriti bukan satu isu baharu. Malah ia telah dibangkitkan dari semasa ke semasa. Integriti merupakan satu aspek yang subjektif untuk diperdebatkan. Ini kerana bagi sesetengah individu, integriti membawa pengertian yang berbeza. Misalnya, pekerja A mungkin melihat perbuatan memberikan hadiah kepada kawan sebagai tanda penghargaan kerana pernah membantunya adalah sesuatu yang diterima tetapi mungkin dianggap sebagai satu kesalahan oleh pekerja B. Itu sebabnya adalah tidak praktikal untuk kita cuba meletakkan integriti kepada orang lain. Sebaliknya, kita perlu bertanya kepada diri sendiri sejauhmanakah kita mengamalkan integriti baik di tempat kerja, hubungan dengan rakan, hubungan suami-isteri mahupun dengan ibu bapa kita? Seharusnya, integriti bermula dari rumah dan ia harus bermula dari diri kita sendiri terlebih dahulu. Bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin politik negara kita? Apakah mereka benar-benar cakap serupa bikin apabila mereka melontarkan janji-janji ketika berkempen pada pilihan raya? Apakah mereka juga mempunyai sikap talam dua muka apabila menguruskan sesuatu isu, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama? Mengambil isu integriti di tempat kerja sebagai contoh, seseorang pekerja tidak seharusnya melihat aspek tersebut sebagai satu bebanan kepada mereka. Integriti lahir dari keinginan seseorang untuk mempertahankan sesuatu yang benar, sesuatu yang seiring dengan sikap dan prinsip mereka untuk melihat sebuah masyarakat yang progresif, telus dan tidak dinodai dengan rasuah. Malah, mereka sepatutnya berbangga dengan penonjolan sikap sedemikian kerana bukan mudah untuk kita memperjuangkan sesuatu yang dirasakan benar biarpun ada kalanya ditempelak oleh orang lain. Kita tidak perlu rasa gentar untuk mempertahankan apa yang dirasakan benar. Biarpun kebenaran adalah pahit untuk diterima, akan tetapi adalah penting untuk kita sentiasa bersikap jujur dan berterus-terang dengan apa yang kita hadapi. Lebih penting lagi, kita haruslah berani berhadapan dengan sesuatu masalah dengan ikhlas, tabah dan tidak didorong menggunakan taktik pintas untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Sebaik-baiknya gunalah cara atau taktik yang  halal. Dengan adanya integriti, sesebuah organisasi bukan sahaja akan sentiasa dihormati oleh semua bahkan juga memberikan impak positif dari segi tahap kepercayaan umum terhadap kredibiliti dan imej syarikat yang dinyatakan itu. Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan semua agar sikap integriti akan turut diamalkan oleh pemimpin-pemimpin politik kita. Umum mengetahui, pemimpin-pemimpin politik merupakan kumpulan manusia yang paling tidak dipercayai oleh orang awam demikian menurut satu tinjauan pendapat yang pernah dijalankan tidak lama dahulu. Hakikat, tidak sukar untuk mereka untuk menjadikan integriti sebagai tunjang utama dalam asas perjuangannya. Persoalan utamanya ialah adakah mereka bersedia untuk berbuat demikian ataupun hanya berjanji semata-mata untuk memuaskan hati segelintir pihak? Semuanya ini banyak bergantung kepada kesungguhan politik dan diri seseorang pemimpin. Pastinya, ramai daripada kita pernah mendengar frasa “Kepimpinan Melalui Teladan” dan sudah semestinya kita mengharapkan agar pemimpin-pemimpin politik atau wakil rakyat yang dipilih pada PRU-13 yang lalu benar-benar menzahirkan apa yang diharap-harapkan oleh rakyat ketika ini. * Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Related Articles

 

You May Also Like