Opinion
Jangan cuba jadi ‘hero’ di media sosial
Monday, 27 Jul 2015 8:03 AM MYT By Bartholomew Chan

27 JULAI — Setiap daripada kita pastinya pernah mendengar pepatah berikut: pena lebih tajam daripada pedang atau dalam Bahasa Inggerisnya, “the pen is mightier than the sword.

Dengan hanya sebatang pena, seseorang penulis itu bukan sahaja berupaya mempengaruhi pandangan dan pendapat orang awam terhadap sesuatu isu, malah ia juga mampu menjatuhkan seseorang pemimpin biarpun apa yang ditulis tidak semestinya benar.

Akan tetapi, jika anda merasakan pena adalah lebih tajam, mutakhir ini dalam era ICT, satu lagi medium yang dilihat lebih efektif, dahsyat dan memberikan kesan besar adalah media sosial. Media sosial kini mendominasi aspek kehidupan harian manusia baik dari cara kita berkomunikasi, cara kita menjalankan perniagaan bahkan juga penyampaian berita terkini kepada pembaca.

Mahu tidak mahu, media sosial menjadi pilihan utama majoriti rakyat kerana ia lebih mudah, menjimatkan masa dan bebas berbanding dengan medium-medium konvensional yang lain.

Di Malaysia, fenomena ini semakin menjadi-jadi. Kebelakangan ini, kedengaran begitu banyak isu yang menjadi viral di medium gara-gara tindakan individu tertentu menyebarkan di medium sosial seperti Facebook dan Twitter. Ketaksuban rakyat di negara ini dalam menyebarkan berita-berita yang belum ditentukan kesahihan telah mengundang kebimbangan dan tanda-tanya terhadap etika serta sikap mereka dalam menyampaikan maklumat.

Bukankah ketika menyampaikan sesuatu maklumat, perkara pertama yang perlu diberikan keutamaan adalah aspek kebenaran dan kesahihan fakta. Malangnya, tidak ramai daripada kita yang menyedari dan ambil kisah terhadap aspek ini. Bagi mereka, kepantasan untuk menyebarkan maklumat menjadi keutamaan daripada mengutamakan kebenaran.

Justeru, apabila penyebaran maklumat itu dilakukan tanpa menentukan kesahihan terlebih dahulu, ia memberikan kesan negatif dan kemudaratan dari aspek psikologi kepada orang lain.

Malah, perkara tersebut turut mendapat teguran daripada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari. Hakikatnya, apa yang dibangkitkan oleh beliau ada asasnya. Dewasa ini, terdapat pelbagai isu yang diviralkan di media sosial oleh pengguna media sosial. Sama ada perbuatan berkenaan dilakukan secara tidak langsung atau sebaliknya, tindakan mereka itu seolah-olah menunjukkan isu atau insiden baru sahaja berlaku.

Misalnya, isu cadangan kerajaan untuk menutup laman Facebook yang pernah diketengahkan dalam akhbar-akhbar utama pada 2014, telah disebarkan semula oleh pihak-pihak tertentu, baru-baru ini. Akibat berita itu menjadi viral semula, ramai yang membantah dan marah sambil menyelar tindakan kerajaan untuk melaksanakan dasar berkenaan walhal ia adalah tidak benar sama sekali. Penyebaran berita terbabit nampaknya dibuat tatkala diskusi berkenaan dengan baik buruknya media sosial semakin diperdebatkan ketika ini.

Apa yang pasti, penyebaran berita yang dimaksudkan itu tidak mungkin berlaku secara kebetulan

Hakikatnya, wujud motif dan niat tersembunyi oleh mereka yang berkepentingan dengan hasrat untuk menguji reaksi balas para pengguna media sosial. Di sinilah, pengguna media sosial haruslah bijak dalam menilai berita-berita yang disiarkan di media sosial.

Dalam konteks ini, pastikan berita-berita yang disebarkan harus mempunyai sumber yang sahih. Kedua, segala sumber yang diperoleh perlu ditentukan kesahihan terlebih dahulu. Hanya selepas segala informasi telah disahkan, barulah buat pertimbangan sama ada berita berkenaan wajar disebarkan kepada orang lain.

Bagaimanapun, jika informasi-informasi yang diterima itu berupaya mencetuskan ketegangan dan huru-hara, maka ada baiknya penyebaran informasi sedemikian dikaji semula. Kajian semula terhadap penyebaran informasi tidak bermakna kebebasan bersuara disekat seperti yang didakwa segelintir pihak.

Isu kebebasan bersuara sebenarnya tidak berbangkit kerana penyebaran maklumat tetap berjalan selama ini cumanya bentuk maklumat yang akan disebarkan dan bagaimana ia disebarkan. Bayangkan jika informasi-informasi yang disebarkan adalah tidak tepat, tidak ada jaminan bahawa orang lain akan menerimanya dengan tenang seperti kita. Mereka mungkin melakukan sesuatu di luar dugaan kita.

Oleh sebab itu, pengguna media sosial perlu mengelak daripada menggunakan platform ini sebagai senjata untuk menjatuhkan dan memburuk-burukkan orang lain. Mengapa tidak gunakan media sosial untuk tujuan yang berfaedah seperti menjalankan perniagaan dalam talian ataupun membantu golongan yang kurang bernasib baik?

Meskipun terdapat segelintir individu di luar sana yang ingin mencari publisiti murahan dengan menyebarkan berita-berita yang kurang tepat, medium perantaraan seperti media sosial tidak harus dipersalahkan. Pada hemat penulis, pihak yang seharusnya dipersalahkan adalah pengguna media sosial itu sendiri. Mereka perlu sedar bahawa kebebasan yang diberikan itu bukan kebebasan mutlak tetapi kebebasan bersyarat.

Kebebasan yang diberikan tidak bermakna mereka boleh melakukan apa sahaja dengan sewenang-wenangnya. Kebebasan yang diberikan itu sebaliknya menuntut untuk semua pengguna media sosial menjadi pengguna yang bertanggungjawab dan berhemah.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like