Opinion
Harga barangan naik: Penguatkuasaan perlulah tegas!
Monday, 25 May 2015 6:17 AM MYT By Bartholomew Chan

25 MEI — Isnin depan, genaplah dua bulan semenjak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan oleh kerajaan.

Sepanjang dua bulan yang lalu, reaksi bercampur-campur kedengaran baik dari kalangan orang awam, pemimpin-pemimpin NGO mahupun pemimpin-pemimpin politik.

Bagi mereka yang terhimpit dan terdesak dengan pelaksanaan sistem cukai baharu ini, mereka tidak teragak-agak untuk menyuarakan ketidakpuasan hati dan menyifatkan GST sebagai satu sistem percukaian yang membebankan. Dari kalangan penyokong pro-GST pula, mereka melihat sistem percukaian baharu ini sebagai jalan terbaik untuk memacu ekonomi negara ke hadapan.

Dalam kesibukan pihak Kastam menguatkuasakan sistem percukaian baharu ini, terdapat juga kalangan pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan. Pihak penjaja umpamanya dikatakan menaikkan harga barangan yang dijual mereka secara sewenang-wenangnya tanpa menghiraukan kebajikan rakyat.

Realitinya, mereka berjaya memanipulasi lompong dan kelemahan dalam aspek pelaksanaan GST untuk menaikkan harga barangan yang dijual. Bagi mereka, kekeliruan dan kecelaruan dalam kalangan orang ramai terhadap mekanisme GST memudahkan lagi tindakan mereka.

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini menyelar kenaikan harga barangan selepas pelaksanaan GST akibat perbuatan segelintir penjaja yang tidak bertanggungjawab, hujah berkenaan ada logiknya.

Menurutnya, jika rakyat ingin marah dan melepaskan geram - lepaskanlah geram terhadap kumpulan penjaja yang tidak beretika itu. Pihak kerajaan tegas Najib, akan memperhebat penguatkuasaan dan mengheret mereka yang bertanggungjawab itu ke muka pengadilan.

Apa yang diluahkan oleh PM itu memang dirasai oleh semua rakyat. Disebabkan oleh perbuatan segelintir penjaja yang tidak beretika, majoriti rakyat terpaksa menanggung beban kenaikan harga barangan.

Akan tetapi, tindakan menyalahkan penjaja hanyalah sebahagian daripada masalahnya. Menyalahkan penjaja untuk kenaikan harga barangan tidak akan menjawab persoalan mengapa ini boleh berlaku. Sebaliknya, semua ini banyak bergantung kepada aspek penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

Salah satu daripada masalah yang sinonim dengan budaya kita menangani masalah di negara ini ialah kita bersifat reaktif apabila berlakunya sesuatu masalah walhal sikap proaktif yang dituntut. Sikap reaktif ini hanya mengukuhkan persepsi umum bahawa penguatkuasaan dilakukan secara bermusim dan hanya diaktifkan apabila mendapat liputan media yang hangat.

Apa yang disebutkan ini ada kaitannya juga dengan masalah “trust deficit” dan persepsi negatif orang awam terhadap agensi penguatkuasa. Oleh yang demikian, ada baiknya jika semua agensi penguatkuasa yang dipertanggungjawabkan, menyelaraskan operasi kerja mereka.

Juga, pastikan penguatkuasaan dilakukan secara tegas dan konsisten terhadap mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan secara tidak beretika. Tidak ada lagi tolak ansur yang wajar diberikan oleh pihak berkuasa terhadap golongan yang dimaksudkan ini.

Isu penjaja menaikan harga barangan sesuka hati bukanlah perkara baharu sebaliknya sudah berlarutan sejak sekian lama. Masa untuk beretorik sudah berakhir dan mereka yang bersalah wajar disedarkan bahawa sebagai penjaja, mereka juga mempunyai tanggungjawab sosial kepada rakyat, bukannya sekadar mengaut keuntungan semata-mata.

Jika mereka tahu apa yang dilakukan mereka itu adalah salah, seharusnya mereka tidak melakukan kesalahan itu dari awal lagi. Sebarang usaha untuk berkompromi atau bertolak-ansur dengan golongan ini tidak harus dibenarkan. Yang salah tetap salah dan mereka yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan yang setimpal.

Kerajaan harus menghantar satu mesej yang tegas bahawa sebarang salah laku tidak akan mendapat tempat dalam masyarakat dan kebajikan rakyat adalah menjadi keutamaan. Jika tidak, lebih ramai pihak yang akan memperlekehkan autoriti pihak berkuasa.  Mahukah kita sampai ke tahap itu?

Dalam hal ini, pihak berkuasa dan pengguna boleh memainkan peranan mereka masing-masing. Pengguna sebagai contohnya boleh menggunakan kuasa pengguna mereka untuk mengadu penjaja yang ingkar kepada pihak berkuasa manakala pihak berkuasa pula tidak perlu gentar dan melaksanakan penguatkuasaan secara tegas dan konsisten.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like